Isu ‘Allah’ tidak reda-reda. Tidak
usah kita sebut tentang undang-undang. Kita bercakap tentang moral kita
yang beragama dan bertuhan.
Kalau kita bercakap diatas dasar undang-undang dan keputusan mahkamah,
orang
yang membunuh manusia lain pun boleh terlepas dengan berbagai-bagai
cara. Undang-undang boleh melepaskan pesalah rasuah dan perogol dan
sebagainya. Ini isu agama yang berkaitan dengan
penganut berbagai agama yang sedang berkelahi tentang isu sensitif ini.
Perkelahian ini berlaku adalah kerana politik. Tuduhan saya ini adalah
tuduhan yang benar dan jika ada yang mengatakan ia tidak benar katalah sekehendak
hati. UMNO Selangor cuba
untuk berdemonstrasi. Puas saya mengkaji dan bertanya kepada alim ulamak
muktabar, tidak ada siapa di antara mereka yang faham tentang Islam bersetuju ini
adalah Islam sebenarnya.
Kalau boleh di kalangan UMNO
Selangor memberitahu kita yang apa yang mereka lakukan adalah tuntutan
agama kita. Setakat ini semuanya bersetuju apa yang diniatkan oleh UMNO
Selangor itu amat bertentangan dengan Islam sendiri yang mengutamakan
keharmonian hidup semua umat Tuhan ini.
Dalam isu ini bukan sahaja mendapat
reaksi negatif dari orang Melayu beragama Islam yang benar-benar mengamalkan
Islam yang sebenarnya. Hanya di negara ini sahaja isu ini hidup kerana isu
seperti ini hidup adalah di sebabkan kelemahan pimpinan yang menonjol sekarang
ini.
Tiada siapa dikalangan pimpinan
dalam kabinet negara yang telah keluar untuk membuat keputusan yang muktamad
dalam hal ini. PM Najib mungkin sedang sibuk untuk pergi merata-rata didunia
ini untuk melihat matahari naik untuk tahun baru ini, dan mungkin beliau tidak
dapat melapangkan masa untuk menyelesaikan isu hangat dan sensitif ini. Beliau
pun telah begitu penat berucap dibanyak tempat maka sememangnyalah beliau
merasakan terpaksa keluar negara dan melihat matahari tahun baru naik
ditempat-tempat lain.
Saya tidak tahu hal ini dan tidak
pula siapa memberitahu saya yang matahari tahun baru itu lain rupa dan
keadaannya di tempat lain. Bagi saya matahari di mana-mana pun serupa sahaja
keadaannya kerana matahari yang naik di negara ini adalah matahari yang sama
dan matahari itu naik dari timur dan turun di barat. Saya pun jika ada rezki
pada tahun hadapan, saya juga nak lihat apa bezanya matahari di negara ini naik
sama dengan matahari naik di negara lain.
Tetapi saya tidak dapatlah hendak
sampai ke Australia
atau Amerika untuk melihatnya. Paling jauh mungkin saya mampu untuk melihat
bagaimana matahari tahun baru naik di Golok atau Hadyaai sahaja. Saya tidak
tahu pulak bagaimana hendak meminta kabinet kerajaan untuk membenarkan saya
menggunakan jet eksekutif mewah tetapi cukuplah dengan kemudahan keretapi
tambang murah yang diberikan kepada warga emas ke Golok atau ke Haadyai itu.
Dalam isu kalimah Allah yang
menjadi isu perkelahian pada hari ini, terbitnya tidak lain dan tidak bukan
kerana ‘vacuum’ yang besar dan meluas di kalangan kepimpinan negara. Jika kita
mempunyai kepimpinan yang kuat dan dihormati isu ini tidak akan pernah timbul
seperti yag kita semua alami sebelum ini. Isu ini hanya timbul apabila politik
negara begitu lemah dan tidak ada tanda-tanda yang Perdana Menteri sendiri
boleh menyelesaikannya.
PM Najib seolah-olah tidak
memahami atau mengakui yang isu ini adalah lebih besar dari isu ekonomi dan
isu-isu lain jika benar-benar hendak melihat kita mendiami negara yang
maju dan ternama. Isu ini jika tidak dapat diselesaikan ia boleh membawa
kehancuran kepada fabrik politik negara kita yang kita sayangi ini, tetapi
pimpinan kita tidak membuat apa-apa untuk menyelesaikannya mungkin kerana tidak
nampak jalan untuk penyelesaiannya. Tetapi yang pastinya ia adalah kerana
kelemahan dan ketidak adanya maya kepada barisan kepimpinan kerajaan hari ini.
Muhyidin minggu lepas telah
memberitahu orang ramai yang niat untuk berdemonstrasi itu adalah
‘prerogative’ mereka
dari UMNO Selangor itu. Jawapan dari seorang pemimpin nombor dua
Tertinggi Parti dan negara itu amat memalukan dan bagaimana beliau
hendak menjadi pemimpin
‘alternative’ kepada Najib yang sedang dilambung kehidupan ‘glamour’
itu?
Jawapan Muhyidin itu membenarkan pandangan banyak pihak yang beliau
bukannya
penyelesaian terhadap kepimpinan negara kita.
Alasan saya yang tidak ada
di antara mereka dalam Majlis Tertinggi UMNO itu mampu untuk memikul
tanggungjawab untuk penyelesaian isu negara pada hari ini, kerana mereka
seperti yang saya sebutkan selalu adalah dari acuan yang sama.
Itu sebabnya saya selalu berkata,
apa yang rakyat perlu lakukan sekarang ini ialah untuk mencari seorang yang lain
untuk membina dan mewujudkan acuan yang lain supaya hasilnya, kita akan berada
dalam ‘ambience’ politik yang baru dan sekali gus akan melenyapkan rasa tidak
berkeyakinan terhadap kepimpinan negara sekarang ini. Sesungguhnya kita sedang
menghadapi krisis keyakinan yang terlalu dan amat serius yang belum pernah
kita alami sejak dari dulu lagi.
Tidak ada siapa yang sanggup
bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini. Isu negara sekarang isu besar dan
jangan sekali-kali dibiarkan ia roboh. Saya mempunyai pendapat, mungkin
pendapat ini pendapat yang ‘isolated’ tetapi saya amat yakin yang isu Allah
inilah yang akan menjahanamkan politik di antara agama dan kaum serta di antara
wilayah di negara ini.
Bagi saya Sabah dan Sarawak boleh membantu untuk penyelesaian keadaan ini.
Sesiapa yang masih mempunyai pemikiran yang masih dingin dan jiwa yang kaya
raya walaupun sebanyak mana pun usianya, boleh menyelesaikan masalah negara ini.
Berjumpa dan berbincanglah untuk kebaikan ini. Kita sudah ‘conclusive’ di antara
kepimpinan tertinggi UMNO hari ini tidak ada seorang pun yang mempunyai ‘cut’
untuk melakukan perubahan ini. Kelalaian parti UMNO ini adalah penyebab kenapa
parti itu sudah tidak ada kepimpinan lagi.
Kita seolah-olah sudah tidak
berkerajaan lagi dan segala masalah berlalu begitu sahaja tanpa penyelesaian.
Ini amat menggerunkan kita. Masa sudah terlalu suntuk dan sesiapa yang
berkedudukan dalam Dewan Legislatif negara wajar bertindak dan carilah pimpinan
yang baru dan jangan terpilih pemimpin yang 'kontroversial' untuk
menyelesaikannya.
Jika ini tidak dilakukan kita
tunggu sahaja kehancuran yang tidak akan dapat diperbaiki lagi.
Bersusah-susahlah dahulu dan lakukan apa sahaja untuk memperbaiki keadaan agar
kita akan bersenang-senang di kemudian hari.
Bermula lah dari sekarang secara
beransur-ansur. Kata orang tua-tua, 'kerja beransur itu tidak bertahan'. Najib
sudah hilang punca bukan sahaja dalam memimpin negara tetapi kehilangan
segala-galanya dalam kehidupan beliau sendiri.
Apa hikmahnya yang akan kita
perolehi dengan kepimpinan buruk sekarang ini hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya.
-/ http://aspanaliasnet.blogspot.com