Kira-kira seramai 200 orang termasuk anak
bekas Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat menyertai perhimpunan
di perkarangan Lebuh Pasar, Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada
Protes Pensil Merah anjuran Gerakan Media Marah (Geramm) yang diadakan
berikutan penggantungan akhbar mingguan berbahasa Inggeris, The Heat.
Antara yang dilihat turut memberi sokongan kepada bantahan itu adalah
bekas Pengerusi Bersih 2 Datuk Ambiga Sreenevasan, Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Datuk Paduka Marina
Mahathir dan beberapa individu lain.
Ambiga dalam ucapannya berkata bantahan ini bukan sahaja dilakukan terhadap The Heat tetapi kepada kebebasan media di Malaysia.
"Ini berkaitan integriti anda sebagai wartawan. Kita perlu memandang serius perkara ini kerana media dikawal oleh kerajaan.
"Lesen kepada pihak media bercanggah dengan hak kebebasan media,"
katanya sebelum peserta berarak ke Stesen LRT Masjid Jamek sebagai
simbolik kepada kawasan wartawan dikasari semasa Perhimpunan Bersih yang
lalu.
Peserta perhimpunan berarak dalam keadaan hujan lebat sebelum mereka berhenti di Stesen LRT Masjid Jamek.
Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut hadir di bantahan
itu berkata kerajaan harus membatalkan penggantungan terhadap The Heat
dengan kadar segera seperti mana janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak yang mahu menyuburkan demokrasi di Malaysia.
Katanya, harapan Najib yang mahu Malaysia menjadi negara demokrasi
terbaik di dunia tidak akan kesampaian sebaliknya Indeks Kebebasan
Akhbar akan terus merudum berbanding sebelumnya.
“Saya hadir bagi memberi sokongan untuk membebaskan The Heat agar penggantungannya dibatalkan serta merta.
“Kita perlu media yang bebas kalau mahu demonstrasi yang tulen seperti
mana dilaungkan Perdana Menteri semasa Hari Malaysia dua tahun lepas.
“Malaysia tidak akan mampu menjadi negara demokrasi terbaik seperti
mana dakwaan Najib sebaliknya dalam Indeks Kebebasan Media yang akan
diumumkan akhir bulan ini mungkin kedudukan Malaysia jatuh lebih rendah
di belakang Myanmar,” katanya kepada pemberita dalam suasana hujan
lebat.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata jika kerajaan masih gagal
membendung masalah kebebasan media di Malaysia, ia akan mengundang malu
besar kepada negara dengan masih mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan.
Katanya, kebimbangan rakyat berhubung laporan muka hadapan akhbar The
Heat yang mengulas keborosan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor
menunjukkan kerajaan perlu segera melakukan perubahan.
“Ini tentulah akan mengundang malu yang besar. Kita akan terus
menasihatkan kerajaan membatalkan sekatan terhadap kebebasan media
termasuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
“Zaman kerajaan mengetahui segalanya sudah berlalu. Muka depan The Heat
tentang pembaziran menjadi keprihatinan rakyat dan kerajaan perlu
mengambil perhatian untuk membetulkan bukan menggantung The Heat,”
katanya yang menyebut penggantungan akhbar itu tidak akan mampu
menyelesaikan masalah.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada hujung bulan lalu
berkata jaminan untuk membuat keputusan berhubung tindakan penggantungan
permit akhbar mingguan The Heat akan dibuat dalam masa terdekat selepas
meneliti surat tunjuk sebab oleh penerbitan akhbar tersebut.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa tindakan penggantungan permit itu
hanya untuk sementara dan akan membuat pertimbangan wajar dan adil
terhadap penerbitan The Heat dalam masa terdekat tanpa dipengaruhi oleh
mana-mana pihak.
Nik Nazmi yang turut sama dalam bantahan itu berkata kerajaan harus
mengambil mesej daripada protes yang telah dijalankan rakyat sejak 2007
dan membatalkan permit penerbitan bagi terus menjamin kebebasan media.
“Ini satu himpunan yang baik dan berjaya menghimpunkan golongan komited
terhadap kebebasan media di kalangan wartawan, aktivis dan pemimpin
politik. Dalam beberapa siri protes sejak 2007, ia telah berkembang dan
memberi kesan kepada politik negara.
“Malangnya, kerajaan tidak mengambil mesej daripada desakan rakyat
selama ini dan mengambil keputusan terus-menerus untuk menekan rakyat.
“Najib mendakwa Malaysia mampu menjadi negara demokrasi terbaik di
dunia tetapi kita lihat langkah yang diambil semakin hari menjauhi
demokrasi dan ini sesuatu yang malang kepada Malaysia,” katanya.
Timbalan Speaker DUN Selangor itu berkata kerajaan perlu tampil dengan
hujah konkrit di sebalik penggantungan The Heat jika ia dilakukan bukan
disebabkan laporan muka depan akhbar tersebut.
“Jika bantahan ini dijalankan secara konsisten, kita mampu menarik perhatian rakyat untuk membawa isu kepada kerajaan.
“Maka kita perlu mendapat penjelasan. Permit penerbitan satu model
lapuk dan tidak relevan. Kalau bukan sebab muka depan, sebab apa?
“Jika media melakukan fitnah, ada landasan perundangan dan bukannya permit yang mengekang media,” katanya
-/ The Malaysian Insider
0 Komen pengunjong :