Hadi kritik PERMATA Rosmah

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/mugshots/hadiawang400px.jpg

Peruntukan besar sebanyak RM111 juta kepada Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang dinaungi Rosmah Mansor disifatkan PAS sebagai tidak masuk akal kerana ia didakwa hanya melibatkan segelintir pihak.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, fokus kerajaan telah tersasar memandangkan pusat itu juga masih di peringkat percubaan.

Anggota parlimen Marang itu juga membandingkan peruntukan kepada PERMATA berbanding usaha bagi meningkatkan taraf Orang Asli dan pribumi yang diberikan RM100 juta, manakala sekolah agama rakyat pula diberikan hanya RM95 juta.

Dalam pembentangan Bajet 2011 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak, PERMATA dimumkan bakal mendapat peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

Peruntukan itu turut meliputi program PERMATA yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Hadi agenda ekonomi dan transformasi yang dinyatakan dalam pembentangan bajet 2011 hanyalah satu penjenamaan semula yang "ditaburkan dengan angka yang indah-indah dengan mengkesampingkan aspek pembinaan manusia".

"Apa yang penting bukannya angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa pendapatan per kapita meningkat sebanyak 6.1 peratus kepada RM28,000; kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5 peratus; sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung dari peningkatan angka-angka sedemikian, bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini!" kata Abdul Hadi.

Beliau juga menyelar Datuk Seri Najib Razak dengan gelaran yang digunakan dalam pembentangannya Jumaat lalu - "saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan" kerana didakwa mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian.

Mengulas cadangan projek seratus tingkat menara Warisan Merdeka, beserta kemudahan yang menelan belanja asas RM5 billion, Abdul Hadi mempertikaikan kenapa peruntukan bagi tujuan itu hanya "secebis" jika dibandingkan dengan projek koridor yang didakwanya lebih bermanfaat kepada rakyat.

"Contohnya peruntukan untuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) hanyalah RM178 juta, iaitu dalam lingkungan 3.6% dari projek Warisan Merdeka.

"Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 billion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan Umno-BN."

1 comment :

  1. siapa yer penasihat PERMATA nie? Apco jugak ke dalangnya?

    ReplyDelete