Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyertai debat isu Allah
apabila meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan
pendiriannya sambil menegaskan dia tidak menyokong cara Jabatan Agama
Islam Selangor (Jais) menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) yang
merampas 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban.
"Jika Jais rasa ada tindakan yang melanggar undang-undang, mereka
sepatutnya memanggil pihak berkenaan untuk memberi penjelasan.
"Tetapi anda tidak boleh berbuat tindakan drastik sedemikian kerana akan dilihat sebagai tindakan anti Kristian.
“Tidak perlu sedemikian kerana ia akan melahirkan ketegangan," katanya
selepas memberikan ceramah di Pusat Reformasi, Demokrasi dan Inisiatif
Sosial, memecah kebisuannya selama ini.
Semasa menyerbu PBM, Jais turut menahan dua pegawainya dan meminta mereka ke Balai Polis Damansara.
Tetapi para peguam mempertikaikan tindakan Jais menyerbu premis PBM dan
merampas Bible kerana jabatan itu tidak ada kuasa ke atas yang bukan
Islam.
Mereka juga mempertikaikan keabsahan enakmen yang digunapakai dalam
tindakan itu kerana ia melanggar kebebasan beragama orang bukan Islam.
Anwar percaya tindakan ini adalah untuk mengalihkan pandangan rakyat
dari isu sebenar yang melanda negara iaitu kenaikan harga barangan dan
perkhidmatan ekoran pemotongan subsidi.
"Saya tidak menolak kemungkinan mereka cuba mengalih perhatian dari
masalah ekonomi dan lain-lain masalah yang dihadapi negara termasuk
kualiti pendidikan, ketidakadilan ekonomi dan kebejatan moral," katanya
sambil meminta Najib menyatakan sikapnya dalam isu ini.
"Kerajaan perlu menghadapi semua ini bukan dengan cara menyerang perkara lain," katanya.
Namun Anwar tidak bersetuju dengan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan
Negeri DAP – Yeo Bee Yin (Damansara) Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing)
dan Lau Weng San dari Kampung Tunku yang mencadangkan agar pindaan
dibuat ke atas Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan penyebaran agama
bukan Iskam) Enakmen 1988.
Enakmen yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional lalu menyekat
bukan Islam dari menggunakan 35 perkataan Arab dalam amalan beragama
mereka termasuk Allah, Injil dan Insya’Allah.
Anwar berkata, beliau tidak setuju tindakan itu kerana ia dilihat
tergesa-gesa kerana masih ada saluran yang sesuai untuk menyampaikan
pandangan mereka.
Jais menyerbu PBM ketika isu penggunaan kalimah Allah oleh Kristian
sedang hangat dibahaskan dimana sesetengah kumpulan Islam bertegas ia
hanya eksklusif untuk Islam sahaja.
Serbuan ini dipercayai ekoran kenyataan Pengarang Herald, Paderi
Lawrence Andrew yang memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya
akan meneruskan penggunaan kalimah Allah dalam program ibadat berbahasa
Malaysia mereka.
Bagi beliau, Perkara 11 (3) (A) Perlembagaan Persekutuan menetapkan
bahawa setiap kumpulan agama yang berhak mengurus hal ehwal agama
masing-masing.
Ekoran itu, kumpulan Islam membuat perhimpunan membantah Andrew dan menuntutnya memohon maaf.
-/ The Malaysian Insider
0 Komen pengunjong :