SHAH ALAM - DAP, komponen Pakatan Rakyat, secara sinis menyifatkan
larangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke atas kempen mengguna media
sosial selepas tengah malam hari terakhir berkempen sebagai pendekatan
"ketinggalan zaman" dan tidak masuk akal.
"Kenapa mereka perlu mengeluarkan peraturan yang ketinggalan zaman ini?
Saya percaya ia adalah sesuatu yang sangat mustahil untuk
dilaksanakan," kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya DAP, Anthony Loke.
Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, walapun SPR bekerjasama
dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memastikan
tiada pihak yang ingkar dengan undang-undang itu, adalah mustahil untuk
mengawal berjuta- juta akaun Facebook dan media sosial yang lain.
"Bagaimana kalau pengundi yang menggunakan laman sosial ini untuk
tujuan berkempen? Adakah ini ada kena-mengena dengan calon itu sendiri?
"Semestinya berjuta-juta akaun perlu dipantau oleh mereka... jika
mereka ingin laksanakan, mereka perlu memantau secara keseluruhan," kata
beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan SPR supaya lebih memfokus perkara
yang lebih penting daripada mengambil kira perkara yang remeh.
"SPR hanya perlu mengurus pilihan raya dengan baik dan tidak mencampuri
mana-mana urusan yang bukan dalam bidang kuasa mereka... jika ada
sesuatu perkara yang melanggar undang-undang, biarkan polis sahaja yang
mengambil tindakan terhadap mereka," kata Ketua Pemuda Sosialis DAP.
Sehubungan itu, Loke memberi cadangan supaya semua talian telefon dan
sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) juga dihalang daripada berfungsi
jika ingin mengawal laman sosial.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
menegaskan, larangan yang dikeluarkan oleh SPR adalah satu 'idea lama'
dan tidak sesuai lagi diaplikasikan pada zaman kini yang serba moden.
"Kita tidak boleh menyekat perkara yang sebegini kerana ia sudah lama
ketinggalan... tetapi di televisyen, radio tidak pula disekat... cuma
yang disekat adalah ceramah umum dan sebagainya, kini media sosial pula
ingin dipantau," kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang
ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Tambah beliau, apabila undang-undang ini dilaksanakan, ia akan menjadi beban kepada mereka untuk dikuatkuasakan.
"Sepatutnya peraturan yang ada, perlu diteliti kembali bukan menambah
peraturan yang akan membebankan mereka... jika peraturan dah ada,
bermakna mereka perlu menjalankanya dengan betul dan adil.
"Ia sepatutnya dipantau semula jika ia tidak munasabah," tambah beliau.
Sementara itu, beliau turut tidak bersetuju dengan peraturan baru
bahawa kesemua bahan kempen seperti poster dan kain rentang perlu
mempunyai cop nama pengeluar syarikat.
"Ini sebenarnya akan memberikan kesusahan untuk mereka (pengeluar)
kerana mereka akan takut untuk memaparkan nama syarikat mereka kerana
mendapat tekanan daripada kerajaan untuk menghasilkan bahan untuk pihak
pembangkang," kata beliau lagi.
Tambah beliau, tujuan SPR untuk mewujudkan peraturan sebegitu rupa,
adalah disebabkan mahu mengelakkan provokasi daripada pihak-pihak
tertentu, namun kaedah lain boleh diguna.
0 Komen pengunjong :