Showing posts with label Datuk Tuan Ibrahim. Show all posts

PAS yakin pengundi Kuala Besut buat perubahan

BESUT: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak pengundi di Kuala Besut yang majoritinya Melayu akan membuat perubahan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut kali ini.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, perubahan dikalangan undi Melayu kepada PAS di beberapa kawasan meningkat mendadak dan tidak mustahil perkara serupa akan berlaku di Kuala Besut kali ini.

"Keseluruhan pencapaian PAS sekarang berdasarkan Melayu majoriti, keputusaan kemenangan pada PRU13 juga bayak disumgbang oleh pengundi Melayu disamping bukan Melayu.

"Kita banyak menang di kawasan 99 peratus Melayu, perubahan berlaku di kawasan pengundi Melayu dan saya pasti pengundi Melayu akan membuat perubahan besar," jelasnya.

Tuan Ibrahim turut menjangkakan persaingan lebih sengit pada PRK Kuala Besut berbanding PRU13 lalu.

Beliau menjelaskan persaingan sengit ini wujud apabila PAS dapat memenangi kerusi Dun Kuala Besut kedudukan kerusi akan menjadi seimbang iaitu 16:16 dan seterusnya rakyat Malaysia ingin menyaksikan apa akan berlaku pada kedudukan kerajaan di Terengganu.

"Saya melihat Kuala Besut ini ada peluang yang cerah untuk mencatat satu sejarah baru politik negara apabila PAS memenangi kerusi dan kedudukan seimbang iaitu 16:16.

"Sekirannya ini berlaku seluruh rakyat negara ini akan memerhati apa akan berlaku kepada negeri ini dari segi sudut kerajaan yang akan memerintah," jelasnya.

Malah jelasnya lagi faktor kempen yang dilakukan pada bulan Ramadhan juga banyak bersifat kepada program dalaman tidak terbuka dan ia dilihat satu kempen yang berkesan.

"Ini menyebabkan setiap jentera pasti yang bertanding tidak dapat mengetahui strategi kempen yang dilakukan oleh parti lawan," katanya lagi.

Tuan Ibrahim turut berpendapat calon yang dikemukakan oleh PAS pada kali ini amat bertepatan kerana beliau merupakan anak tempatan dan dikenali masyarakat setempat serta berpeluang untuk memenangi kerusi Dun Kuala Besut.
Seterusnya >>>

Alkisah seorang pengutip sampah...


Seorang pengutip sampah di kampung Hadali bernama Nazuti gigih membuat kerjanya. Seluruh kampung Hadali dijaganya dengan bersih dan rapi.

Susah nak mencari sampah di mana-mana – di sungai mahupun longkang semuanya bersih. Disebabkan usaha gigih Nazuti dan pasukannya, nama kampung Hadali menjadi harum dan diiktiraf sebagai kawasan ke-7 terbersih di seluruh Tanah Islami.

Nazuti rasa gembira kerana beliau dan pasukannya menjadi kampung Hadali sebagai satu kampung yang selesa ditinggal. Melihat penduduk selesa menjadi kesyukuran terbesar Nazuti.

Walaupun dengan pasukan yang hanya kurang daripada 10 orang, kejayaan membawa Hadali sebagai kampung ke 7 terbersih di Tanah Islami amat mengkagumkan.

Nazuti tidak pernah membesar-besarkan kejayaan beliau dan pasukannya. Bahkan warga kampung Hadali turut tidak menyedari sumbangan beliau dan pasukan. Nazuti dan pasukan tidak pernah mendapat satu pujian, namun mereka tetap gembira kerana telah berjaya kerana menganggap telah melaksanakan amanah yang diberikan oleh Allah swt.

Satu hari, Nazuti dan pasukannya terlupa mengutip beberapa tempurung kelapa di dalam satu semak. Akibat hujan lebat, tempurung kelapa dipenuhi air.

Seorang penduduk kampung menemui tempurung kelapa tersebut dan mendapati sudah dipenuhi jentik-jentik.

“Teruknya pasukan menjaga kebersihan ini. Kerja tak bersemangat, malas – sekarang tengok, tempurung kelapa ini dah penuh dengan jentik-jentik. Malulah kampung Hadali!” penduduk kampung itu memberitahu semua orang.

Mendengar aduan tersebut, Nazuti dan pasukan segera mencari tempurung kelapa tersebut dan membunuh semua jentik-jentik.

“Pasukan menjadi kebersihan ini dah hilang arah. Dah lupa tujuan mereka. Nazuti kena letak jawatan. Cari orang lain yang memahami pentingnya kebersihan di kampung Hadali. Orang yang tak faham acuan kampung Hadali dan malukan kita perlu dibuang,” desak penduduk kampung itu lagi.

Nazuti sedih dituduh sedemikian. Hasil usaha pasukannya selama ini bukan sahaja tidak menerima pujian malah kini dipersalahkan kerana satu perkara yang kecil. Pasukannya bekerja tanpa staf yang cukup dan memberikan segalanya – tapi siapa yang tahu? Hanya Allah yang tahu.

Nazuti tidak mahu berlawan. Sebelum beliau membuka mulut ingin memohon maaf dan meletak jawatan… tetiba Ustaz Man bersuara.

“Papan putih bersih kamu semua tak nampak. Yang nampak ialah titik hitam kecil di atas papan putih dan merasakan itulah kekotoran yang mencemarkan segalanya. Orang yang terlupa padam titik hitam dipersalahkan, orang yang membuat titik hitam itu pula dilepaskan.

Nazuti dan pasukannya ikhlas bekerja dengan gaji kecil sehingga menjadikan kampung Hadali menjadi tempat ke 8 terbersih di Tanah Islami, pernah tak kamu semua berterima kasih dan memberikan pujian padanya. Usaha mereka untuk sehari dua, dah bertahun lamanya.

Sekarang jumpa tempurung kelapa yang ada jentik-jentik riuh terus nak potong Nazuti dan pasukannya. Silap Nazuti dan pasukannya ialah terlupa nak kutip sampah tempurung itu. Tapi ada antara kita yang membuang tempurung itu merata kerana merasakan ada orang yang akan datang mengutipnya itu kita tak nak persalahkan? Adil ke?

Dan kamu yang menjumpai tempurung kelapa itu – mengapa tak mencari salah pada orang yang membuang ke situ? Tapi mencari salah pada orang yang terlupa membersihkannya? Itu logik apa? Itu logik mana?

Insaflah kalian. Jika anda tidak mengerti memberi pujian sewaktu orang berbuat baik berkali-kali, anda hilang kelayakan mengkritik pada orang baik itu membuat kesilapan kecil,” kata Ustaz Man.

Mendengar kata-kata Ustaz Man, seluruh kampung terdiam. Penduduk yang mengadu itu terkedu dan akhirnya meminta maaf pada Nazuti dan pasukannya. Selepas itu, seluruh kampung membantu Nazuti dan pasukannya untuk mengekalkan kebersihan kampung Hadali dan tidak lagi sama tuduh-menuduh bila terlihat sampai di tepi jalan, tapi terus membersihkannya sendiri.

Dapat maksud tersirat?

Jangan kerana ada perkara sedikit yang kita tidak setuju, kita terus menjatuhkan hukuman pada orang tertentu, walhal kita lupa memujinya bertahun lamanya waktu dia menyumbang baiknya kepada dunia ciptaan Allah ini.

Bila memandang ke langit, jangan terlupa kaki yang masih memijak bumi. Begitu jugalah apabila kita melihat kesilapan orang lain, tapi sering terlupa orang tersebut juga pernah berbuat baik.

Senyum
Seterusnya >>>

Alkisah dua orang pesakit


Dua pesakit, yang sakit kronik duduk di dalam bilik hospital yang sama bertingkap satu. Setiap mereka hanya dibenarkan untuk duduk tegak sejam sehari pada waktu tengahari untuk jururawat membersihkan katil. Selain itu, dua lelaki itu hanya terlantar sepanjang hari.

Daud dan Din bercakap tanpa henti setiap hari. Mereka berbicara mengenai isteri, keluarga, rumah, kerja dan tempat di mana pernah pergi bercuti.

Setiap tengahari, Daud yang katilnya bersebelahan dengan tingkap akan melihat ke luar dan memberitahu Din apa yang dia lihat di luar tingkap.

Perkara ini berulang sehingga Din sentiasa menanti-nanti waktu tengahari untuk Daud bercerita bagaimana keadaan di luar tingkap.

Daud memberitahunya pemandangan di luar tingkap agak cantik – ada tasik dan itik dan angsa sedang berenang dan kanak-kanak melepaskan bot kertas buatan mereka.

Daud juga memberitahu ramai juga yang berkelah di tepi tasik, duduk di bawah pokok bersama keluarga dan orang tercinta…

Daripada tingkap tersebut, juga kelihatan bangunan pencakar langkit secara jauh.

Daud menceritakan segalanya dengan penuh terperinci sehingga Din menutup mata membayangkan keadaan di luar sana sebagaimana yang digambarkan Daud.

Pada satu waktu tengahari yang panas, Daud menceritakan ada satu pesta di tepi tasik… walaupun Din tidak dapat mendengarnya, tapi cerita Daud yang penuh terperinci memberikan Din satu gambaran bagaimana pesta tersebut berlangsung.

Waktu malam tersebut, Daud memberitahu Din…

“Selama hidup ana ini, ana mengejar segala benda – duit, kereta, nama – kerana merasakan itu akan membawa kegembiraan pada ana. Ana ingat menjadi kaya akan gembira – ana berpakaian seperti orang kaya pulang ke kampung – saudara-mara bersenyum dan juga cemburu pada masa yang sama. Mereka tidak merasai kegembiraan ego saya. Ana membeli rumah besar dan menjemput semua rakan dan keluarga untuk house warming untuk tunjukkan rumah besar ana – ana ingatkan itu kegembiraan membuat orang cemburu dan iri hati pada kejayaan saya. Ana tak pernah memikirkan untuk mengembirakan orang, tapi ana hanya ingin menggembirakan diri sendiri…

Masa ana sakit ini, baru ana sedar cincin besar ana tidak membawa kegembiraan seperti yang diharapkan. Ana baru sedar kereta Mercedes di rumah ana tidak membawa kegembiraan yang ana harapkan. Ana baru tersedar rumah besar hanyalah rumah besar yang tidak membawa makna dan kegembiraan pada ana. Ana baru sedar hidup sebenarnya mudah – ana tak perlu mengejar benda-benda permainan manusia, ana hanya perlukan seorang kawan. Ana hanya perlukan keluarga yang ribut hujan mahu panas dapat bergembira bersama. Ana baru faham, menggembirakan orang lain adalah kegembiraan yang sebenar. Jika ana boleh hidup semula, ana akan luangkan lebih banyak masa pada keluarga dan orang-orang penting – ana akan gembirakan mereka daripada diri sendiri… Dah nak mati baru ana tersedar…. Alangkah baiknya, kalau manusia boleh belajar bagaimana untuk hidup sebelum mereka belajar tentang mati…”

Daud diam seketika… Din tidak mengejutnya dan membiarkan dia tidur…

Besok pagi, bila Din bangun, jururawat sedang membersihkan badan Daud yang tidak lagi bergerak. Daud sudah meninggal…
Setelah segalanya selesai, Din meminta jururawat untuk memindahkannya ke tepi tingkap. Jururawat dengan sukarela memindahkan Din.

Din bangun dalam keadaan sakit untuk melihat di luar tingkap yang arwah sering menceritakan keadaannya kepada dia…

Tiada tasik, tiada pemandangan yang disebut-sebut arwah, yang ada hanyalah satu tembok kosong.

Bila jururawat sampai, Din bertanyakan kepada jururawat – mengapa arwah boleh bercerita dengan penuh terperinci perkara-perkara menarik yang berlaku di luar tingkap setiap tengahari padanya.

“Arwah dah buta lama ketika penyakitnya menjadi kronik. Rasanya arwah ingin memberikan semangat pada pakcik,” kata jururawat tersebut…
Ingatlah, berkorban untuk orang lain, berkhidmat untuk meletakkan senyuman di muka setiap orang tersayang adalah kegembiraan sebenar.

Harap bermanfaat. Senyum
Seterusnya >>>

PAS tidak akan ‘bersatu’ dengan Umno


KUALA LUMPUR: PAS tidak mungkin bergabung dengan Umno membentuk satu pakatan politik, sebalik parti Melayu itu diseru bersama PAS bagi memperjuangkan prinsip dan dasar Islam yang selama ini diabaikan parti itu, tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, isu perpaduan antara PAS dan Umno akan timbul setiap kali menjelang dan selepas pilihan raya umum terutama apabila keputusan pilihan raya itu meletakkan Umno dalam keadaan kritikal.

“Sedangkan sewaktu Umno ‘kuat’, isu perpaduan ini tidak pernah timbul. Ini hanya mainan Umno untuk tutup kelemahan dan tagih simpati rakyat,” ujar beliau sebagaimana dilaporkan Harakah.
Seterusnya >>>

Jangan tertipu permainan politik Umno BN

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli dan penyokong parti itu agar tidak lagi tertipu dengan permainan Umno BN.

Beliau berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU13) ini, semakin banyak blog pro Umno yang menyebarkan fitnah terhadap pemimpin PAS.

Beliau berkata demikian sebagai megulas tindakan blogger Umno yang menyebarkan berita kononnya Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali meletakkan jawatan.

"Semalam blog-blog Umno menyebarkan Cikgu Pa (Datuk Mustafa) dah meletak jawatan. Berapa kali kita nak kena tipu dengan permainan Umno.Dah berapa kali Umno ditangkap menipu?

"Ingatkah kita bagaimana anak Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) difitnah mencabul kehormatan seorang gadis? Akhirnya terbongkar gadis aadalah seorang pemain catur terkenal antarabangsa.

"Orang berkata ditipu sekali ok, kali kedua silap, tapi blog-blog Umno dah ditangkap menipu berapa kali dah?" katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim juga kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang sanggup menyebarkan video dan gambar lucah yang kononnya milik pemimpin PAS di laman sosial facebook tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

"Apa perasaan ibu bapa melihat ruang-ruang santai di FB yang anak-anaknya masih kecil bermain games dan mengeratkan hubungan sesama sahabat menjadi medan mereka terjebak dengan bahan-bahan lucah?

Ini perlu dihentikan. Undilah dengan bijak," ujarnya.

Tambahnya lagi, fitnah dan amalan politik lucah akan timbul apabila Umno BN cuba menutup masalah dalaman di kalangan parti komponen mereka.

Namun ujarnya, rakyat sudah bijak menilai lebih-lebih lagi dalam kecanggihan teknologi masa kini.

"Bila Umno nak tutup isu dalaman - masalah calon, perbalahan Umno-MCA, mereka akan mula buat benda gila-gila dan fitnah merata untuk mengalih perhatian rakyat.

"Taktik ini selalu diulang. Zaman sekarang dengan kemudahan internet, rakyat mula celik dengan keadaan ini dan takkan mudah terpengaruh dengan taktik lapuk ini," katanya.
Seterusnya >>>

Fokus, jangan terganggu dengan fitnah musuh

KUALA LUMPUR: Apabila masalah dalaman melanda Umno – seperti isu perbalahan mengenai calon, perebutan kerusi Umno-MCA, fitnah akan mula dihidupkan untuk mengalih perhatian rakyat.

“Bila Umno nak tutup isu dalaman - masalah calon, perbalahan Umno-MCA, mereka akan mula buat benda gila-gila dan fitnah merata untuk mengalih perhatian rakyat. Taktik ini selalu diulang,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tapi di zaman internet ini, Tuan Ibrahim berkata rakyat tidak mudah terpedaya dengan taktik lapuk Umno.

“Ini baru permulaan...  Dekatkan diri dengan Allah. Banyakkan doa. Kuatkan azam untuk istiqamah,” nasihat beliau.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menasihatkan jentera parti agar jangan hilang fokus dan terjatuh ke perangkap lawan.

“Lawan akan cuba nak patahkan hati dan semangat kita. Lebih-lebih lagi bila dia terbau bau kekalahan semakin kuat. Teruskan kerja kita. Jangan fikir lain dan jangan masuk perangkap mereka untuk alihkan fokus kita dan rakyat demi masa depan yang lebih baik. Tepuk sebelah tangan tak bunyi,” tegas beliau lagi.
Seterusnya >>>

Pas sambut baik pendirian Nasharudin

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM - Pas menyambut baik pendirian bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa yang mahu kekal bersama parti itu meskipun telah dilucutkan keanggotannya dalam Majlis Syura awal bulan lalu.

"Pas menyambut baik keputusan Ustaz Nasharudin yang mahu kekal bersama kami... yang mahu kekal bersama Pas terus perjuangan Pas," kata Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Sinar Harian Online pagi ini.
Sehubungan itu, jelas Tuan Ibrahim, Pas tidak memecat Nasharudin daripada Pas, sebaliknya hanya menggugurkan keanggotaan dalam Majlis Syura.
Oleh itu katanya, Nasharudin masih mempunyai ruang untuk berkhidmat rakyat dengan kekal bersama Pas walaupun tidak memegang sebarang jawatan.
"Beliau masih boleh berkhidmat dan berjuang bersama Pas walaupun tidak ada jawatan.
"Malah dalam parti, ribuan orang tidak ada jawatan. Mereka kekal sebagai ahli biasa dan terus berkhidmat... sebenarnya Ustaz
Nasharudin bukan dipecat oleh parti, cuma bukan lagi anggota Majlis Syura... lagi beliau dilucutkan keanggotaan disebabkan soal komitmen, di mana sebelum ini pun ramai anggota Majlis Syura pernah ditukar dan digugurkan," katanya lagi.
Semalam, Nasharudin menegaskan, beliau akan kekal sebagai anggota Pas untuk memastikan perjuangan asal parti dalam menegakkan Islam dan membela orang Melayu tidak 'dicairkan' berikutan hubungan parti itu dengan PKR dan DAP.
Beliau yang juga bekas anggota Majlis Syura Pas berkata, statusnya sekarang yang tidak menyandang jawatan dalam kepimpinan parti tidak menghalangnya daripada terus mempertahankan perjuangan asal parti.
"Tidak betul kata kalau tak jadi anggota Majlis Syura tidak boleh bersuara, saya masih boleh bersuara sebagai anggota biasa akar umbi parti. Saya mahu perjuangan asal Pas kekal, bukan sewenangnya dicairkan ikut kemahuan rakan pembangkang lain.
"Pas sebelum adanya pakatan pembangkang ini punyai kekuatan bagi berdiri dan maju sendiri sebagai sebuah parti yang perjuangkan Islam. Namun kekuatan itu dicairkan sedikit demi sedikit demi memenuhi kehendak pakatan itu," katanya.
Isnin lepas, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Nasharuddin masih kekal anggota Pas walaupun dipecat daripada Majlis Syura Pas, dan Nasharudin juga tidak disenarai sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Sebelum ini wujud pelbagai andaian bahawa Nasharudin akan menyertai Umno atau akan berperanan aktif dalam pertubuhan badan bukan kerajaan.
Kata Tuan Ibrahim, disebabkan masalah komitmen dan ketidakhadiran, hanya Majlis Syura yang boleh menggugurkan keanggotaan Nasharudin, bukannya Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
"Jadi isu tidak ada jawatan dan oleh itu tidak boleh meneruskan perjuangan parti tidak timbul. Kita boleh berkhidmat walaupun tidak ada jawatan," katanya lagi.
Tahun lalu, Nasharudin digugurkan sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Seterusnya >>>

Apa kata tukar nama Akta Perhimpunan Aman?


KUALA LUMPUR: Memandangkan Akta Perhimpunan Aman mempunyai pelbagai kekangan yang tidak sesuai pada namanya, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata lebih elok kalau akta tersebut ditukar nama.


“Ini kerana syarat dalam akta tersebut tidak menggambarkan semangat dalam akta tersebut seperti larangan membawa kanak-kanak,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan polis untuk mencari 14 orang suspek membawa kanak-kanak ketika perhimpunan raksasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu.

“Cari anak orang hilang tak secepat itu,” sindir Tuan Ibrahim.

Selain Tuan Ibrahim, ramai yang mengeluh mengenai tindakan polis yang disifatkan double standard, kerana ibu bapa yang membawa anak-anak ke himpunan yang dianjurkan Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pula diberi 'layanan' yang sama.

Oleh yang demikian, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata eloklah untuk Akta Perhimpunan Aman mengambil nama yang lain.

“Kalau aman, kenapa banyak sangat pantang larang seolah-olah tidak aman,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua mendakwa polis sedang mengikut telunjuk Umno dalam memburu 14 ibu bapa terbabit.

“Ini hanya tindakan terdesak kerajaan dengan mengerahkan polis sebagai orang suruhan. Umno BN tidak akan senang hati melihat rakyat berkumpul di HKR,” kata beliau yang dipetik Suara Keadilan.
Seterusnya >>>

Kalau nak tipu biarlah logik – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim bersama Pengarah Pilihan raya PAS Pahang, Abd Majid Hassan dan Roslan Zainal menunjuk poster haram berkenaan.

TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan penyebaran poster haram memaparkan wajahya bersama pemimpin Pakatan Rakyat memakai topi ‘Bintang Tiga’ menunjukkan betapa lemahnya pemikiran politik pihak berkenaan.

Katanya, penyebaran  poster seperti itu menggambarkan mereka terdesak dan kehabisan modal untuk menghadapi Pakatan Rakyat.

“Kalau nak tipu pun biarlah munasabah bukannya menyebar poster dan risalah fitnah seperti itu yang jelas membohongi orang ramai,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat ketika ditemui di pejabatnya dekat sini.

Ini, ujarnya kerana Bintang Tiga dan Pakatan Rakyat tidak pernah wujud pada masa yang sama.

Tambahnya, pemimpin Pakatan Rakyat juga tidak pernah menjadi ahli pertubuhan bersenjata yang wujud pada zaman penjajah British itu.

Menurutnya, PAS Kawasan Jerantut menemui poster tersebut dipasang di sekitar bandar itu dan ada yang dimasukan ke dalam peti surat di taman-taman perumahan.

Ekoran itu, PAS Jerantut telah membuat laporan polis dan menggesa diambil tindakan terhadap penyebar poster haram itu.
Seterusnya >>>

Bible: PAS gesa ambil tindakan provokasi Perkasa

TEMERLOH: PAS mengecam tindakan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang mengarahkan dibakar kitab penganut agama Kristian, Bible, kerana tindakan tersebut bercanggah dengan Islam dan menggesa kerajaan bertindak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, provokasi tersebut jika tidak diambil tindakan dikhuatiri akan menimbulkan perbalahan dan suasana yang tidak harmoni dalam negara ini.

“Dalam sebuah hadis jelas Nabi Muhammad mengatakan dihina tuhan-tuhan orang kafir, kelak mereka akan menghina tuhan kamu iaitu Allah.

“Sebab itu pihak berkuasa tidak seharusnya berdiam diri tetapi mesti bertindak sebelum api keagamaan atau perkauman itu marak,” katanya selepas mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang di sini hari ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyeru umat Islam bersatu dan membakar kitab Injil yang menggunakan nama Allah dalam perhimpunan pertubuhan tersebut di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ekoran kenyataan Ibrahim, terdapat beberapa desakan supaya beliau diambil tindakan termasuk daripada parti Gerakan dan MIC.

Tuan Ibrahim berkata, isu yang dimainkan oleh Perkasa bertujuan untuk menimbulkan curiga antara agama yang boleh mencetuskan pertelagahan antara kaum.

“PAS dukacita kerana Perkasa tidak mengkritik Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membenarkan Bible diterjemah ke dalam bahasa Melayu, sedangkan ia bercanggah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.

Sementara itu sempena sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW hari ini, Tuan Ibrahim menyeru umat Islam kembali kepada sunnah rasul, iaitu manusia yang telah menghapuskan kekufuran, syirik dan mengembalikan sistem yang yang menepati fitrah manusia.

“Mari jadikan kedatangan Maulid Rasul hari ini sebagai roh perjuangan Islam untuk menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Seterusnya >>>

PRU13: Najib diselubungi kebimbangan


KERDAU:
Datuk Seri Najib Razak dilihat diselubungi kebimbangan di sebalik kenyataannya untuk BN menang pilihan raya umum (PRU) ke 13 dengan menguasai 2/3 parlimen.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemuramah radio internet, Cili FM menyifatkan, tindakan Najib yang memohon maaf ketika Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini jelas menggambarkan BN dalam posisi 'boleh tewas' pada PRU13 nanti.

"Saya tengok, di satu waktu dia kata yakin kuasai 2/3 majoriti.

"Satu masa dia merayu, waktu lain dia mohon maaf. Ini saya ingat tanda-tanda awal… saya tak nak sambung… tanda-tanda awal apa tambah sendiri,” kata beliau sambil berseloroh ketika ditemuramah DJ CucuMatKilau (Ahmad Syukri).

Menurut beliau lagi, tindakan berkali-kali merayu memohon maaf itu juga membuktikan bahawa Umno BN sudah sedar mereka sedang berdepan dengan penolakan rakyat akibat kerosakan yang dilakukan parti pemerintah itu.

“Kalau orang tak salah, dia tak akan minta maaf. Dah banyak kali, dia minta maaf," katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, sekiranya Najib yakin dengan jangkaan beliau, mengapa sehingga kini beliau masih tidak membubarkan parlimen.

“Kalau dah yakin, mengapa nak ugut rakyat dengan tragedi Mei 13 dan negara akan bankrap.

"Saya lihat di sebalik keyakinan ada kebimbangan. Sebenarnya kebimbangan itu menguasai dia,” tambah beliau.

Tuan Ibrahim juga melahirkan keyakinannya bahawa dengan kerjasama Pakatan Rakyat dan kerja tertib, perubahan akan berlaku di Pahang.

Ditanya soalan mengenai politik ganas yang kerap berlaku kebelakangan ini, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa budaya samseng perlu ditolak.

“Budaya samseng bukan budaya kita. (Untuk himpunan ini), bendera, risalah dan poster kita dicabut.

"Rakyat perlu bertindak dengan rasional, bukan (digunakan) untuk mempertahankan kebathilan, kezaliman dan penyelewengan,” nasihat beliau.

Temubual hari ini bersempena dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pahang yang berlangsung di sini.
Seterusnya >>>

Najib tidak rasa beliau Perdana Menteri


TEMERLOH: PAS berpendapat ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini tidak menggambarkan beliau seorang Perdana Menteri sebaliknya hanya pemimpin sebuah parti perkauman yang mengajak kepada perpecahan.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika beliau sedar sebagai seorang Perdana Menteri sudah pasti tidak akan terikut-ikut dengan perwakilan dengan begitu emosional menyerang Pakatan Rakyat (PR).

“Jika diteliti ucapan Najib bermula daripada ucapan dasar hinggalah kepada penggulungan, penuh dengan emosi, serangan peribadi, semangat perkauman dan mempergunakan agama.

“Jika perwakilan yang berbahas dengan nada emosional seperti itu kita faham, tetapi Najib tidak sepatutnya terikut-ikut dengan rentak perwakilan sehingga dia terlupa sebagai seorang Perdana Menteri.

“Cuba ambil contoh Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) berucap dalam muktamar, walaupun macam-macam dibahaskan oleh perwakilan akhirnya Tuan Guru akan mengajak rakyat kepada perpaduan,” katanya dalam sidang media di pejabat PAS Pahang hari ini.

Turut hadir Ketua PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Tengku Puji serta pimpinan negeri ketiga-tiga parti.

Tuan Ibrahim berkata, kesimpulan yang dibuat Najib hanyalah lahir daripada rasa tertekan menghadapi pilihan raya.

Ketika berucap pada penggulungan, Najib berkata “satu undi untuk PKR bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah dan kerosakan umat. Satu undi untuk PAS bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan bangsa tercinta. Sebaliknya satu undi untuk Umno dan BN adalah satu undi untuk keselamatan akidah orang Islam. Satu undi untuk BN, satu undi untuk perpaduan dan kekuatan umat. Satu undi untuk BN, satu undi pembelaan bangsa Malaysia.

Jelas Tuan Ibrahim, barangkali Najib tidak diberitahu trend golongan muda di bawah 40 tahun yang mewakili 52 peratus penduduk negara ini, adalah menolak parti dan politik bersifat perkauman.

“Jadi apa gunanya beliau meminta maaf kepada rakyat Malaysia sebelum itu, dalam perhimpunan yang sama, sedangkan terus menyalakan api dendam dan kebencian walaupun kewujudan PAS, PKR dan DAP lahir daripada amalan demokrasi?” soalnya.

Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PR mensasarkan kehadiran 40,000 rakyat dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP) pada 9 Disember ini di Kerdau.

Katanya, komitmen ini penting bagi merealisasikan perubahan rakyat di negeri ini ke arah pemerintahan yang lebih baik dan membela rakyat.

Fauzi pula berkata, HKRP ini penting kerana melambangkan perubahan rakyat di peringkat bawah dan mesti dilakukan apabila di peringkat kepimpinan atasan (kerajaan) tidak mahu berubah.

Katanya, rakyat sendiri sudah melihat kepincangan kerajaan negeri dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan salah urus tadbir sehingga tidak ada apa-apa kebaikan lagi melainkan terpaksa ditukar kerajaan baru.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri berkata, DAP sudah bersiap sedia menggalas cabaran untuk merampas Parlimen Bentong daripada BN dalam pilihan raya akan datang.

“Kita pandang serius cabaran (Menteri Besar Pahang Datuk Seri) Adnan Yaakob yang sanggup dipotong telinga dan terjun Sungai Pahang jika DAP menang di Bentong,” tegasnya.

Isu Adnan sanggup dipotong telinga jika DAP menang di Bentong, hangat diperkatakan apabila beliau menyebut ‘tawaran’ itu kepada pemberita semasa Pau di PWTC.

Namun keesokan harinya beliau berdolak-dalik mengatakan ‘sanggup potong telinga’ itu hanyalah satu kiasan.
Seterusnya >>>

Umno semakin rapuh, kerana itu doa ditakuti


KUALA LUMPUR — Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Umno sebagai sebuah parti rapuh menyebabkan doa yang dibaca oleh Ustaz Nik Razi ditakuti dan menjadikannya sebagai isu untuk menyerang Pakatan Rakyat (PR).
Baru-baru ini, doa yang dibaca oleh Ustaz Nik Razi dipertikaikan oleh ramai pihak terutamanya daripada Umno yang mengecam hebat tindakan tersebut.
"Namun oleh kerana Umno semakin rapuh, menyebabkan doa pun ditakuti.
"Sepatutnya kalau Umno rasa tak betul, mereka doalah pula," kata ketua penerangan PAS pusat dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga membidas sikap media pro-kerajaan yang banyak membuat liputan melibatkan isu doa tersebut tetapi bukannya dasar parti semasa Muktamar PAS ke-58 lalu.
"Isu yang hangat dimainkan media adalah sesuatu yang bukan dasar parti.
"Ucapan perwakilan, doa oleh seorang imam, dan pertikaian jawatan PM kesemuanya bukanlah dasar parti," tambah Tuan Ibrahim lagi.
Tuan Ibrahim turut mengulangi pendirian doa ke atas parti kerajaan tersebut dan dengan berkata bukanlah satu kesalahan.
"Harus ingat Umno bukanlah parti Islam dan terdapat pelbagai tindakan parti Umno yang terang-terangan bertentangan dengan peraturan dan ajaran Islam," terang beliau lagi.
Susulan tindakan bacaan doa tersebut, Umno Kelantan telah membuat dua laporan polid berhubung tindakan pemimpin PAS membaca doa tersebut untuk menghancurkan Umno dan tuduhan bahawa parti tersebut murtad.
Mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap PAS kerana menyifatkan kenyataan itu mengguris hati orang Melayu - Islam.
Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusoffe mengetuai kira-kira 30 anggota pergerakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu.
"Hati kami tersentuh. Kami orang Melayu beragama Islam dan tuduhan ini sangat  melampau yang menyerlahkan sikap sebenar Pas dan Mursidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
Turut menyuarakan kecaman adalah Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Mukhriz Mahathir yang mengatakan beliau tidak terkejut dengan laporan berhubung doa PAS mahu menghancurkan Umno kerana mereka sering mengadakan solat Hajat dan berdoa seumpamanya menjelang pilihan raya umum (PRU).
“Mereka sering melakukannya apabila ada PRU atau pilihan raya kecil (PRK) beberapa hari sebelum hari membuang undi. Bukan setakat membuat solat Hajat untuk kemenangan, tetapi kadang kala berdoa BN hancur.
“Bagaimanapun, hajat mereka tidak kesampaian kerana separuh PRK dimenangi BN. Terpulang kepada setiap orang untuk mentafsir sendiri apa maksudnya,” katanya.
Seterusnya >>>

PR tidak diserang jika tidak ancam Umno BN


TEMERLOH: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa PAS tidak pernah berganjak daripada landasan asal perjuangan.
“Bahkan, apa yang sering ditimbul bukanlah dasar tetapi soal strategi parti. Strategi parti boleh berubah mengikut kesesuaian keadaan dan suasana, manakala dasar parti tetap tidak berganjak,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat itu.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa dasar PAS untuk memperjuangkan Islam tidak pernah berubah kerana perubahan yang melibatkan dasar parti mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak atau usul yang diterima dalam muktamar parti.

Sehingga kini, kata Tuan Ibrahim, tiada sebarang perubahan yang melibatkan dasar parti yang berjuang berpaksi kepada al-Quran dan Hadis.

“Apakah dasar Islam yang parti telah diubah sehingga mereka membuat pelbagai tuduhan?

“Sebenarnya tiada. Jika gabungan PAS bersama DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat tidak kuat dan tidak menjadi satu ancaman kepada kesinambungan pemerintahan Umno BN, serangan sedemikian tidak akan wujud,” kata beliau yang juga ahli Majlis Syura.

Beliau dipercayai sedang memberi respons kepada tindakan segelintir ahli PAS yang kecewa di dalam satu forum di Selangor, yang secara terbuka menuduh parti telah menyimpang daripada perjuangan Islam dan menyeru parti mengkaji semula hubungan politik bersama DAP.

Beliau berkata serangan datang bila mana PAS mula mendapat sokongan daripada kalangan bukan Islam dengan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS serta wujud kerjasama kukuh bersama Pakatan Rakyat.

“Pelbagai alasan ciptaan musuh mula dimainkan dan digempurkan semula oleh golongan yang kecewa di dalam PAS. Golongan ini telah menjadi alat kepada Umno sama ada secara sudi, sedar atau sebaliknya. Jika mereka boleh memikir secara mendalam, sepatutnya serangan dan saranan agar kembali kepada Islam ditujukan kepada Umno, parti yang sedang memerintah,” kata Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyeru agar seluruh jentera parti tidak terganggu dengan kemuncup dalam perjuangan ini.

Beliau turut menyatakan kenyakinannya terhadap kefahaman dan pengetahuan ahli PAS dapat membezakan usaha licik musuh bagi melemahkan kemaraan PAS dan Pakatan Rakyat ‘yang sudah hampir pasti menggantikan Umno BN yang kini berulat dengan korupsi melampau jika PRU13 diadakan sekarang’.

“Ahli parti mesti sedar ucapan mereka ini hanya bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat bagi menolak kerajaan BN dan Umno. Seperti kata Saidina Ali ‘kalimah yang benar, tetapi tujuannya ialah bathil’,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa penganjuran program sedemikian adalah satu ‘fenomena biasa’ menjelang pilihan raya umum.

“Saya tidak terkejut dengan penganjuran program seumpama itu memandangkan kita sekarang berada hampir dengan pilihan raya,” kata beliau yang dipetik Sinar Harian Online.
Seterusnya >>>

Adakah ‘dermawan’ Michael Chia VVVIP Umno BN?


KUALA LUMPUR: Pendedahan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung pendedahannya mengaitkan keluarga Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan jutawan balak, Michael Chia menimbulkan banyak persoalan.
“Kenyataan Nazri mengesahkan bahawa hubungan Michael Chia dengan beliau dan anak beliau tidak semudah 'sekadar meminjam sebuah kereta Hummer bernilai setengah juta.' Sama seperti kes derma RM40 juta kepada Umno Sabah, takkan derma sebanyak itu diberi tanpa mengharapkan pulangan apa-apa?” soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga bertanya selain menderma RM40 juta kepada Umno Sabah dan meminjam kereta mewah untuk kegunaan anak Nazri, apakah ada lagi ahli politik atau orang institusi awam seperti di Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menerima habuan berbentuk derma atau pinjaman daripada Chia?

“Adakah Chia kini dilayan seperti seorang VVVIP di dalam Umno sebagaimana seorang pelanggan bank yang membuka akaun mewah di mana-mana bank?

Adakah Chia mendapat manfaat berbentuk 'kekebalan' dan 'perlindungan khas' daripada kerajaan Umno BN atas segala kegiatannya kerana sikap 'dermawan' beliau?” tanya beliau lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata SPRM perlu bertindak untuk membuka kembali fail Chia dan memberikan satu jawapan yang jelas kepada rakyat Malaysia apakah asas-asas untuk tidak meneruskan siasatan terhadap derma sebesar RM40 juta tersebut.

Chia sebelum ini dilaporkan tertangkap dengan wang tunai bernilai RM40 juta di Lapangan Terbang Hong Kong.


Namun, Nazri ketika memberikan penjelasan di Parlimen berkata, wang itu adalah milik Umno Sabah, sekaligus membersihkan Chia daripada tuduhan rasuah.

"Kalau betul Michael Chia tidak bersalah, beliau perlu kemukakan dokumen bukti terutamanya surat pengesahan dari Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC).

"Kita inginkan bukti dan bukannya hanya sekadar penjelasan di Parlimen, kalau betul dan berani sila kemukakan, saya nak tengok," sambung Rafizi lagi.
Semalam Rafizi mendakwa kenyataan Nazri itu dilihat mempunyai konflik kepentingan.

Katanya, ini kerana anak sulung Nazri, Nedim ada hubungan dalam bentuk kenderaan dengan Chia.

Kenderaan itu ujarnya berupa SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia dan mungkin telah digunakan oleh Nedim.

Sehubungan itu beliau juga akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin depan terhadap Nazri dan juga menuntut siasatan semula terhadap Chia.
Seterusnya >>>

Pas desak akhbar Tamil mohon maaf


Tuan Ibrahim Tuan Man


TEMERLOH - Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menuntut akhbar harian berbahasa Tamil memohon maaf dan menarik balik laporan beritanya yang didakwa memfitnah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, laporan berkenaan menyiarkan kononnya Menteri Besar Kelantan itu sudah kecewa dengan DAP dan PKR yang banyak masalah, justeru mahu bertemu dengan BN menjelang  Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pas sangat kesal dan serentak dengan itu juga kita minta akhbar berkenaan segera mohon maaf atau berhadapan dengan saman kerana mengada-adakan cerita yang tidak benar ini.

“Mesej berita itu sangat mengelirukan masyarakat India kerana Tuan Guru tidak pernah bertemu dengan Najib dalam masa terdekat ini apa lagi mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Gambar Tuan Guru, (Datuk Seri) Najib dan (Datuk Seri) Adnan yang dipaparkan dalam berita berkenaan diambil dari album lama iaitu pada 30 September tahun lalu semasa pelancaran motosikal Modenas dan ECER di sebuah hotel di Kuantan,” katanya semasa bertemu penduduk sebuah taman perumahan, di sini.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, beliau membuat penjelasan itu setelah banyak menerima panggilan daripada kaum India yang bertanyakan kedudukan sebenar isu berkenaan yang disiarkan akhbar itu baru-baru ini.

“Kita kesal dengan cara penulisan berita itu yang membelakangkan etika kewartawanan kerana diambil tanpa sumber yang tepat dan bersifat rekaan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, moral Pas dan Pakatan Rakyat boleh tercemar di mata masyarakat terutamanya kaum India yang berkemungkinan melihat pendirian Pas sebagai parti paling senior, tidak  teguh dalam gabungan berkenaan.
Seterusnya >>>

Diam Najib Buka Ruang MCA Hina Undang-Undang Islam


SHAH ALAM : Sikap berdiam diri dan enggan memberi sebarang komen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebenarnya membuka ruang kepada MCA menghina undang-undang Islam di negara ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai hukum hudud dianggap keterlaluan dan boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram serta kemarahan umat Islam di negara ini.
Sewajarnya Chua tidak mencampuri urusan agama Islam kerana jelas dia tidak memahami hukum Allah itu.
“Saya rasa keceluparannya ini berpunca daripada tindakan Umno khususnya Perdana Menteri yang langsung tidak membuat sebarang komen dan kritikan,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.
Tuan Ibrahim mengulas kenyataan Chua dalam Perhimpunan Agung MCA bahawa lapan daripada 11 negara yang mengamalkan hukum hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat selain dakwaannya seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di negara ini.
“Dia (Chua) harus faham dalam Islam undang-undang jenayah syariah bukan hanya hudud tetapi ada hukum kifah dan takzir. Sesuatu yang tidak tertakluk di bawah hudud maka ia akan masuk di bawah hukum Qisas dan Ta’zir
“Seolah-olah bila seseorang disabitkan dalam kesalahan hudud kalau tak cukup syarat maka dia bebas tetapi sebenarnya bukan bebas. Kalau tidak cukup syarat hudud, dia akan dihukum di bawah hukum ta’zir dan ta’zir juga adalah satu hukuman yang berat,” ujarnya.
Menyentuh mengenai dakwaan Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie bahawa PAS menbenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika pakaian Islam, Tuan Ibrahim berkata Heng tidak memahami apa diucapkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung perkara itu dan tidak kaitan langsung.
Katanya, dalam kempen menutup aurat satu masa dulu Nik Abdul Aziz dalam ucapannya mengingatkan wanita atau lelaki Islam supaya menutup aurat.
“Cuma Nik Aziz kata peningkatan kadar jenayah rogol itu di antaranya kadang-kadang disebabkan faktor pakaian yang menjolok mata, yang menghairahkan dan sebagainya. Bukan bermakna membolehkan orang Islam merogol orang bukan Islam. Tiada kena mengena langsung kenyataan beliau (Heng) itu,” katanya.
Seterusnya >>>

Serangan: Jaga etika dan ingat Operasi Lalang


KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengingatkan semua pimpinan dan ahlinya untuk menjaga etika ketika menghadapi serangan bertubi-tubi Umno-MCA-Perkasa yang datang serentak dan juga perangkap operasi Lalang pada 1987 di mana yang ditangkap ialah pimpinan PAS dan DAP.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan berkata semua ahli perlu menjaga etika ketika membalas serangan dan jangan beremosi semasa menjawab isu-isu yang bermotifkan provokatif.

“PAS perlu respons isu-isu dan serangan bertubi-tubi Umno-MCA-Perkasa yang datang sekaligus. Walaupun provokasi dan serangan mereka membara hati, PAS perlu menjaga etika dalam membalas serangan.

"Ahli dan para pemimpin PAS diseru jangan beremosi semasa menjawab isu-isu yang bermotifkan provokatif,” nasihat beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata tujuan serangan adalah dengan harapan PAS “memberikan reaksi yang salah dan rakyat mendapat persepsi yang menyimpang.”

“Tapi mereka silap. Ahli dan pemimpin PAS ditarbiah untuk menjaga etika sepanjang masa walaupun serangan itu berjenis menyinggung emosi,” kata beliau.

Tuan Ibrahim berkata kenyataan pimpinan MCA menggambarkan kejahilan mereka terhadap Islam khususnya hukum hudud dan kegagalan Umno memahamkan mereka tentang Islam.

“MCA perlu diajar menghormati budaya dan agama lain serta memahami sensitiviti umat Islam,” tegas beliau.

Beliau juga mengingatkan bahawa Islam mengajar agar menjawab hujah dengan hujah bukan emosi amarah yang tidak terbendung dengan memetik firman Allah yang bermaksud, “Dan apabila kamu berbicara dengan orang yang jahil, maka ucaplah selamat kepada mereka.”

Oleh yang demikian, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa serangan-serangan Umno-MCA-Perkasa mesti dibalas dengan hujah, berhemah dan tertib. Dan dengan itu tersendiri, muka-muka hipokrit Umno dan Perkasa akan terlondeh sendirinya untuk dililhat rakyat.

“Seluruh pimpinan dan ahli PAS ditarbiah untuk  beristiqamah dalam perjuangan. Respons dengan berhemah dan tertib. Kita menjawab isu dengan hujah. Dengan ini, muka-muka hipokrit Umno dan Perkasa akan terlondeh sendirinya untuk dililhat rakyat,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau turut mengingatkan semua tentang Operasi Lalang yang dicetuskan oleh MCA dan Umno.

“Namun yang ditahan ialah pimpinan PAS dan DAP,” katanya.
Seterusnya >>>

AES: Kereta lembu pun lebih laju dari itu

KUALA LUMPUR: Rakyat khususnya pengguna jalanraya sangat kecewa dengan jawapan yang diberikan Timbalan Meneri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri bahawa kerajaan akan meneruskan sistem AES walaupun ianya ditentang oleh pengguna jalanraya.

Justeru, PAS mengingatkan betapa slogan “Rakyat Didahulukan” hanyalah slogan kosong tanpa makna.

“Kalau Perdana Menteri betul-betul menjiwai slogan tersebut, beliau pasti mendengar bantahan, keluhan dan kebimbangan rakyat terhadap sistem yang bermotif mengaut untung dan bukan bersifat pencegahan kemalangan jalanraya,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ini, katanya kerana kamera turut dipasang di kawasan 30 km sejam dan ianya sangat tidak masuk akal.

“Kereta lembu pun lebih laju dari itu,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, katanya PAS meminta rakyat yang tidak berpuas hati menjadikan peti undi bagi mengajar kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang.

Menurutnya, lebih lama masa diberi kepada BN memerintah, lebih banyak tekanan kepada rakyat terbanyak.

Bayangkan, ujar beliau kalau hanya dalam masa 8 hari, 63,558 saman dikeluarkan walaupun kamera baru dipasang di beberapa lokasi sahaja.

“Kalaulah ia dipasang di seluruh negara, ia akan menjadi sumber pendapatan utama negara, mengatasi minyak dan gas, bezanya ia datang daripada poket rakyat sendiri.

“Kalau budaya kerajaan berniaga dengan rakyat ini tidak dibendung, sudah pasti  ekonomi rakyat akan terjejas, dan ini akan mengundang pelbagai gejala negatif yang lainnya,” katanya.


PAS, ujarnya mengingatkan bahawa bagi mengatasi kemalangan jalanraya, bukan hanya faktor kelajuan mesti difokus, sebaliknya keadaan jalan, perjalanan jarak jauh yang banyak, kurangnya kemudahan rehat dan rawat, kekurangan pengangkutan awam yang efisyen yang menyebabkan peningkatan jumlah kenderaan di jalanraya, sikap pemandu serta tanda jalan yang tidak mengikut peraturan turut menyumbang peningkatan kemalangan.

“PR telah tegaskan sistem ini akan disemak semula andainya kami diberi mandat menerajui kerajaan selepas PRU akan datang. Bahkan terdapat pelbagai lagi peraturan yang tidak munasabah, zalim, dan menindas rakyat akan diteliti semula.

“Beri kami satu peluang untuk buktikan,” ujarnya.
Seterusnya >>>

Umno guna bekas pemimpin untuk serang PAS


PETALING JAYA: PAS menolak wujud perbezaan pendapat antara Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Harun Din, serta menganggap Umno menggunakan bekas pemimpin PAS untuk menyerang parti itu.
“Umno telah menggunakan orang ini (bekas pemimpin PAS) kerana bimbang dengan kebangkitan sokongan rakyat kepada PAS.
“Malangnya mereka ini tidak berada dalam PAS dan kerana itu dia tidak mengetahui apa yang berlaku dalam parti,” kata Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau menambah, Majlis Syura PAS adalah keputusan bersama dan bukannya oleh Nik Aziz seorang.
Menurut Tuan Ibrahim, tindakan bekas pemimpin PAS itu juga merupakan satu serangan untuk melaga-lagakan Nik Aziz dan Haron.
Dua bekas Naib Presiden PAS -  Datuk Hasan Ali dan Datuk Nakhaei Ahmad – berkata kerjasama dengan DAP tidak menguntungkan parti Islam itu.
Hasan yang dipecat PAS awal tahun ini menuntut supaya Nik Aziz Nik menyerahkan jawatan Mursyidul Am kepada Haron.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, PAS tidak mahu melayan tuntutan bekas-bekas pemimpinnya itu.
“Pihak luar tidak perlu campur tangan. Kepimpinan mereka (Nik Aziz dan Haron Din) masih baik, masih relevan dan masih perlu.
“Jawatan-jawatan ini ditentukan oleh parti (PAS)…pihak luar tidak perlu campur tangan,” katanya lagi.
Seterusnya >>>