KUALA
LUMPUR — Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Umno sebagai
sebuah parti rapuh menyebabkan doa yang dibaca oleh Ustaz Nik Razi
ditakuti dan menjadikannya sebagai isu untuk menyerang Pakatan Rakyat
(PR).
Baru-baru ini, doa yang dibaca oleh Ustaz Nik Razi dipertikaikan oleh
ramai pihak terutamanya daripada Umno yang mengecam hebat tindakan
tersebut.
"Namun oleh kerana Umno semakin rapuh, menyebabkan doa pun ditakuti.
"Sepatutnya kalau Umno rasa tak betul, mereka doalah pula," kata ketua penerangan PAS pusat dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga membidas
sikap media pro-kerajaan yang banyak membuat liputan melibatkan isu doa
tersebut tetapi bukannya dasar parti semasa Muktamar PAS ke-58 lalu.
"Isu yang hangat dimainkan media adalah sesuatu yang bukan dasar parti.
"Ucapan perwakilan, doa oleh seorang imam, dan pertikaian jawatan PM kesemuanya bukanlah dasar parti," tambah Tuan Ibrahim lagi.
Tuan Ibrahim turut mengulangi pendirian doa ke atas parti kerajaan tersebut dan dengan berkata bukanlah satu kesalahan.
"Harus ingat Umno bukanlah parti Islam dan terdapat pelbagai tindakan
parti Umno yang terang-terangan bertentangan dengan peraturan dan
ajaran Islam," terang beliau lagi.
Susulan tindakan bacaan doa tersebut, Umno Kelantan telah membuat dua
laporan polid berhubung tindakan pemimpin PAS membaca doa tersebut
untuk menghancurkan Umno dan tuduhan bahawa parti tersebut murtad.
Mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap PAS
kerana menyifatkan kenyataan itu mengguris hati orang Melayu - Islam.
Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusoffe mengetuai
kira-kira 30 anggota pergerakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Kota Baharu.
"Hati kami tersentuh. Kami orang Melayu beragama Islam dan tuduhan
ini sangat melampau yang menyerlahkan sikap sebenar Pas dan Mursidul
Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
Turut menyuarakan kecaman adalah Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk
Mukhriz Mahathir yang mengatakan beliau tidak terkejut dengan laporan
berhubung doa PAS mahu menghancurkan Umno kerana mereka sering
mengadakan solat Hajat dan berdoa seumpamanya menjelang pilihan raya
umum (PRU).
“Mereka sering melakukannya apabila ada PRU atau pilihan raya kecil
(PRK) beberapa hari sebelum hari membuang undi. Bukan setakat membuat
solat Hajat untuk kemenangan, tetapi kadang kala berdoa BN hancur.
“Bagaimanapun, hajat mereka tidak kesampaian kerana separuh PRK
dimenangi BN. Terpulang kepada setiap orang untuk mentafsir sendiri apa
maksudnya,” katanya.
0 Komen pengunjong :