Adakah ‘dermawan’ Michael Chia VVVIP Umno BN?


KUALA LUMPUR: Pendedahan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung pendedahannya mengaitkan keluarga Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan jutawan balak, Michael Chia menimbulkan banyak persoalan.
“Kenyataan Nazri mengesahkan bahawa hubungan Michael Chia dengan beliau dan anak beliau tidak semudah 'sekadar meminjam sebuah kereta Hummer bernilai setengah juta.' Sama seperti kes derma RM40 juta kepada Umno Sabah, takkan derma sebanyak itu diberi tanpa mengharapkan pulangan apa-apa?” soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga bertanya selain menderma RM40 juta kepada Umno Sabah dan meminjam kereta mewah untuk kegunaan anak Nazri, apakah ada lagi ahli politik atau orang institusi awam seperti di Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menerima habuan berbentuk derma atau pinjaman daripada Chia?

“Adakah Chia kini dilayan seperti seorang VVVIP di dalam Umno sebagaimana seorang pelanggan bank yang membuka akaun mewah di mana-mana bank?

Adakah Chia mendapat manfaat berbentuk 'kekebalan' dan 'perlindungan khas' daripada kerajaan Umno BN atas segala kegiatannya kerana sikap 'dermawan' beliau?” tanya beliau lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata SPRM perlu bertindak untuk membuka kembali fail Chia dan memberikan satu jawapan yang jelas kepada rakyat Malaysia apakah asas-asas untuk tidak meneruskan siasatan terhadap derma sebesar RM40 juta tersebut.

Chia sebelum ini dilaporkan tertangkap dengan wang tunai bernilai RM40 juta di Lapangan Terbang Hong Kong.


Namun, Nazri ketika memberikan penjelasan di Parlimen berkata, wang itu adalah milik Umno Sabah, sekaligus membersihkan Chia daripada tuduhan rasuah.

"Kalau betul Michael Chia tidak bersalah, beliau perlu kemukakan dokumen bukti terutamanya surat pengesahan dari Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC).

"Kita inginkan bukti dan bukannya hanya sekadar penjelasan di Parlimen, kalau betul dan berani sila kemukakan, saya nak tengok," sambung Rafizi lagi.
Semalam Rafizi mendakwa kenyataan Nazri itu dilihat mempunyai konflik kepentingan.

Katanya, ini kerana anak sulung Nazri, Nedim ada hubungan dalam bentuk kenderaan dengan Chia.

Kenderaan itu ujarnya berupa SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia dan mungkin telah digunakan oleh Nedim.

Sehubungan itu beliau juga akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin depan terhadap Nazri dan juga menuntut siasatan semula terhadap Chia.

0 Komen pengunjong :