Diam Najib Buka Ruang MCA Hina Undang-Undang Islam


SHAH ALAM : Sikap berdiam diri dan enggan memberi sebarang komen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebenarnya membuka ruang kepada MCA menghina undang-undang Islam di negara ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai hukum hudud dianggap keterlaluan dan boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram serta kemarahan umat Islam di negara ini.
Sewajarnya Chua tidak mencampuri urusan agama Islam kerana jelas dia tidak memahami hukum Allah itu.
“Saya rasa keceluparannya ini berpunca daripada tindakan Umno khususnya Perdana Menteri yang langsung tidak membuat sebarang komen dan kritikan,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.
Tuan Ibrahim mengulas kenyataan Chua dalam Perhimpunan Agung MCA bahawa lapan daripada 11 negara yang mengamalkan hukum hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat selain dakwaannya seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di negara ini.
“Dia (Chua) harus faham dalam Islam undang-undang jenayah syariah bukan hanya hudud tetapi ada hukum kifah dan takzir. Sesuatu yang tidak tertakluk di bawah hudud maka ia akan masuk di bawah hukum Qisas dan Ta’zir
“Seolah-olah bila seseorang disabitkan dalam kesalahan hudud kalau tak cukup syarat maka dia bebas tetapi sebenarnya bukan bebas. Kalau tidak cukup syarat hudud, dia akan dihukum di bawah hukum ta’zir dan ta’zir juga adalah satu hukuman yang berat,” ujarnya.
Menyentuh mengenai dakwaan Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie bahawa PAS menbenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika pakaian Islam, Tuan Ibrahim berkata Heng tidak memahami apa diucapkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung perkara itu dan tidak kaitan langsung.
Katanya, dalam kempen menutup aurat satu masa dulu Nik Abdul Aziz dalam ucapannya mengingatkan wanita atau lelaki Islam supaya menutup aurat.
“Cuma Nik Aziz kata peningkatan kadar jenayah rogol itu di antaranya kadang-kadang disebabkan faktor pakaian yang menjolok mata, yang menghairahkan dan sebagainya. Bukan bermakna membolehkan orang Islam merogol orang bukan Islam. Tiada kena mengena langsung kenyataan beliau (Heng) itu,” katanya.

0 Komen pengunjong :