SHAH ALAM - Pas menyambut baik pendirian bekas Timbalan Presidennya,
Nasharudin Mat Isa yang mahu kekal bersama parti itu meskipun telah
dilucutkan keanggotannya dalam Majlis Syura awal bulan lalu.
"Pas menyambut baik keputusan Ustaz Nasharudin yang mahu kekal bersama
kami... yang mahu kekal bersama Pas terus perjuangan Pas," kata Ketua
Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada
Sinar Harian Online pagi ini.
Sehubungan itu, jelas Tuan Ibrahim, Pas tidak memecat Nasharudin
daripada Pas, sebaliknya hanya menggugurkan keanggotaan dalam Majlis
Syura.
Oleh itu katanya, Nasharudin masih mempunyai ruang untuk berkhidmat
rakyat dengan kekal bersama Pas walaupun tidak memegang sebarang
jawatan.
"Beliau masih boleh berkhidmat dan berjuang bersama Pas walaupun tidak ada jawatan.
"Malah dalam parti, ribuan orang tidak ada jawatan. Mereka kekal sebagai ahli biasa dan terus berkhidmat... sebenarnya Ustaz
Nasharudin bukan dipecat oleh parti, cuma bukan lagi anggota Majlis
Syura... lagi beliau dilucutkan keanggotaan disebabkan soal komitmen, di
mana sebelum ini pun ramai anggota Majlis Syura pernah ditukar dan
digugurkan," katanya lagi.
Semalam, Nasharudin menegaskan, beliau akan kekal sebagai anggota Pas
untuk memastikan perjuangan asal parti dalam menegakkan Islam dan
membela orang Melayu tidak 'dicairkan' berikutan hubungan parti itu
dengan PKR dan DAP.
Beliau yang juga bekas anggota Majlis Syura Pas berkata, statusnya
sekarang yang tidak menyandang jawatan dalam kepimpinan parti tidak
menghalangnya daripada terus mempertahankan perjuangan asal parti.
"Tidak betul kata kalau tak jadi anggota Majlis Syura tidak boleh
bersuara, saya masih boleh bersuara sebagai anggota biasa akar umbi
parti. Saya mahu perjuangan asal Pas kekal, bukan sewenangnya dicairkan
ikut kemahuan rakan pembangkang lain.
"Pas sebelum adanya pakatan pembangkang ini punyai kekuatan bagi
berdiri dan maju sendiri sebagai sebuah parti yang perjuangkan Islam.
Namun kekuatan itu dicairkan sedikit demi sedikit demi memenuhi kehendak
pakatan itu," katanya.
Isnin lepas, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata,
Nasharuddin masih kekal anggota Pas walaupun dipecat daripada Majlis
Syura Pas, dan Nasharudin juga tidak disenarai sebagai calon Pas pada
Pilihan Raya Umum ke-13.
Sebelum ini wujud pelbagai andaian bahawa Nasharudin akan menyertai
Umno atau akan berperanan aktif dalam pertubuhan badan bukan kerajaan.
Kata Tuan Ibrahim, disebabkan masalah komitmen dan ketidakhadiran,
hanya Majlis Syura yang boleh menggugurkan keanggotaan Nasharudin,
bukannya Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
"Jadi isu tidak ada jawatan dan oleh itu tidak boleh meneruskan
perjuangan parti tidak timbul. Kita boleh berkhidmat walaupun tidak ada
jawatan," katanya lagi.
Tahun lalu, Nasharudin digugurkan sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
0 Komen pengunjong :