Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji tidak akan
mengecewakan harapan dan aspirasi masyarakat India di negara ini
terhadap kerajaan BN.
Sambil menegaskan tidak mahu kaum India
merasa terpinggir daripada arus pembangunan negara, Najib berkata beliau
mahu mereka menjadi masyarakat yang semakin maju dan berjaya.
"Saya
akan pastikan hari esok lebih baik untuk kaum India sama seperti
kaum-kaum lain," katanya ketika berucap pada sambutan Pesta Ponggal
Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur, malam tadi.
Turut
hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden MIC Datuk Seri G
Palanivel, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr
Rais Yatim, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan
Bandar Datuk M Saravanan dan Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India
dan Asia Selatan Datuk Seri S Samy Vellu.
Najib mengakui banyak lagi cabaran dan masalah kaum India yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan BN.
Berucap
di hadapan sekitar 100,000 pengunjung, Najib berkata beliau akan
berbincang dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga
Menteri Pelajaran, untuk mempertimbang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
(SJKT) yang tidak mendapat bantuan penuh kerajaan, supaya ditukar kepada
sekolah bantuan penuh kerajaan secara berperingkat.
"Kita juga
akan sediakan peruntukan sewajarnya supaya prasekolah ditubuhkan di SJKT
kerana pendidikan awal amat penting," katanya.
Selain itu,
beliau mencadangkan agar Kolej Tafe dinaik taraf menjadi kolej
universiti teknikal kerana institusi itu mampu menyediakan peluang
pendidikan teknikal yang amat diperlukan negara.
Najib turut
mencadangkan supaya peruntukan tertentu disediakan untuk menaik taraf
pusat komuniti dan krematorium di kawasan yang padat dengan penduduk
kaum India yang memerlukan perkhidmatan itu.
Beliau berkata
Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Masyarakat India juga menumpukan
antara lain kepada usaha meningkatkan jumlah ekuiti kaum India.
"Kita
juga akan menambah bilangan kaum India yang mendapat akses kepada
pendidikan tinggi dan akan mencari jalan untuk kurangkan kadar jenayah
dan penglibatan orang muda kaum India dalam masalah sosial," katanya.
Najib
berkata beliau dan rakan komponen BN yang lain akan berganding bahu
untuk memastikan masa depan kaum India dan kaum lain di negara ini terus
terbela sekiranya sokongan terus diberi kepada BN pada Pilihan Raya
Umum (PRU) ke-13 nanti.
"Tolong beri saya 'Nambikei'
(kepercayaan), tolong beri saya kepercayaan dan keyakinan, kalau
tuan-tuan dan puan-puan beri 'Nambikei' kepada saya dan kerajaan BN,
pasti kita lakukan lebih banyak lagi perubahan dan kejayaan untuk kaum
India di negara ini," tambahnya.
0 Komen pengunjong :