KUALA LUMPUR, 3 Feb – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih
2.0) mengecam langkah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mengeluarkan buku
kecil mengkritik kumpulan reformasi pilihan raya tersebut seperti yang
dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina
Sin Chew semalam, sambil menyifatkannya sebagai taktik yang sudah lapuk digunakan oleh Putrajaya.
Dalam buku setebal 322 muka surat tersebut yang berjudul “Panduan
Penjelasan Isu Semasa” yang diedarkan kepada orang awam menyerang
perhimpunan yang menuntut agar pembaharuan dalam sistem pilihan raya
negara ini.
“Bukan sahaja buku kecil itu menyalahguna wang pembayar cukai, kandungannya juga tidak jujur dan cuai.
“Pengeluarannya adalah sejak 2012 lalu lagi,” kata pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan kepada
The Malaysian Insider.
Menurut Ambiga, segala yang didakwa dan diperkatakan mereka sebelum
ini sudah dibuktikan terbukti dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)
mengenai pendatang haram di Sabah baru-baru ini dan mencukupi untuk
menidakkan propaganda murahan oleh agensi dibawah Kementerian
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tersebut yang dipengerusikan oleh
bekas ahli dewan undangan negeri Umno Hulu Klang, Datuk Fuad Hassan.
“Orang ramai boleh nilai sendiri daripada RCI di Sabah dan laporan
setiap hari mengatakan terdapat orang yang didaftarkan tanpa pengetahuan
mereka seperti mana yang dikatakan oleh Bersih selama ini adalah
benar,” ujar beliau lagi.
Bekas presiden Majlis Peguam itu juga membidas tuduhan liar yang
mengatakan peserta telah dibayar RM100 setiap seorang serta mengarahkan
JASA untuk berhenti menilai orang ramai mengikut kaedah dan piawaian
sendiri.
“Sebaliknya ramai peserta perlu mengeluarkan wang sendiri untuk
membeli kemeja T dan membayar tambang serta makanan sendiri,” kata
Ambiga lagi.
Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 Maria Chin
Abdullah menyifatkan agensi kerajaan tersebut sudah kehabisan modal dan
propaganda yang digembar-gemburkan mereka sudah tidak lagi dipercayai.
“Buku kecil itu dikeluarkan pada tahun lepas sebelum Bersih 3.0.
“Tapi sudah jelas dan terbukti propaganda tersebut tidak memberikan kesan kepada rakyat Malaysia.
“Malahan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat bulan lalu ratusan ribu rakyat hadir di Stadium Merdeka,” kata Maria.
Maria menjelaskan kejayaan perhimpunan bulan lepas juga petunjuk
orang ramai dan pergerakkan badan bukan kerajaan tersebut tidak pernah
cuba mewujudkan kekacauan sebaliknya menyalahkan pasukan polis yang
tidak dapat mengawal keadaan sehingga berlaku keganasan.
“Pada Himpunan KL 112, orang ramai masih ke jalan raya dan kali ini
pasukan polis bertingkahlaku baik dan menjalankan tugas serta
tanggungjawab mereka.
“Ini membuktikan pasukan polis sepatutnya boleh mengawal keganasan
pada Bersih 3.0 tetapi gagal melakukannya,” jelas Maria yang menunding
jari kepada pasukan polis di atas insiden semasa perhimpunan tahun
lepas.
Menurut laporan akhbar
Sin Chew, satu daripada 17 jawapan
melibatkan Bersih menyatakan perhimpunan di Kuala Lumpur tersebut hanya
disertai 25 ribu orang, sama sekali berbeza dengan kenyataan pengerusi
Bersih 2.0, Ambiga yang mendakwa perhimpunan tersebut dihadiri oleh
hampir 300 ribu orang.
Buku kecil itu juga mendakwa peserta dilaporkan mengakui mereka
dibayar RM100 setiap seorang untuk turun pada hari tersebut dan juga
diberikan makanan dan penginapan.
Kandungan buku kecil itu juga mengandungi keputusan kajian bersemuka
yang dijalankan pada Mei tahun lepas semasa Himpunan Sejuta Belia
dikalangan 15,686 orang muda dengan bertanyakan pendapat mereka yang
diantaranya adalah tentang perhimpunan Bersih 3.0.
Keputusan kajian tersebut menunjukkan sebanyak 54 peratus merasakan
tingkahlaku peserta semasa perhimpunan melampaui batasan undang-undang,
manakala 43 peratus lagi menyatakan pasukan polis telah menjalankan
tugas mereka secara profesional semasa acara tersebut.
Mereka yang menyatakan persetujuan supaya kerajaan mengambil tindakan
tegas keatas peserta perhimpunan jalanan adalah 64 peratus, menurut
kajian itu lagi.
Kajian tersebut dijalankan keatas mereka yang berusia antara 15
hingga 40 tahun, kebanyakkannya lelaki (57.47 peratus) dan terdiri
daripada kaum Melayu 83.34 peratus, manakala Cina dan India terdiri
daripada 10 peratus dan 3.94 peratus.
0 Komen pengunjong :