TEMERLOH - Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
menuntut akhbar harian berbahasa Tamil memohon maaf dan menarik balik
laporan beritanya yang didakwa memfitnah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat.
Menurutnya, laporan berkenaan menyiarkan kononnya Menteri Besar
Kelantan itu sudah kecewa dengan DAP dan PKR yang banyak masalah,
justeru mahu bertemu dengan BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan
datang.
“Pas sangat kesal dan serentak dengan itu juga kita minta akhbar
berkenaan segera mohon maaf atau berhadapan dengan saman kerana
mengada-adakan cerita yang tidak benar ini.
“Mesej berita itu sangat mengelirukan masyarakat India kerana Tuan Guru
tidak pernah bertemu dengan Najib dalam masa terdekat ini apa lagi
mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Gambar Tuan Guru, (Datuk Seri) Najib dan (Datuk Seri) Adnan yang
dipaparkan dalam berita berkenaan diambil dari album lama iaitu pada 30
September tahun lalu semasa pelancaran motosikal Modenas dan ECER di
sebuah hotel di Kuantan,” katanya semasa bertemu penduduk sebuah taman
perumahan, di sini.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, beliau membuat
penjelasan itu setelah banyak menerima panggilan daripada kaum India
yang bertanyakan kedudukan sebenar isu berkenaan yang disiarkan akhbar
itu baru-baru ini.
“Kita kesal dengan cara penulisan berita itu yang membelakangkan etika
kewartawanan kerana diambil tanpa sumber yang tepat dan bersifat
rekaan,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, moral Pas dan Pakatan Rakyat boleh tercemar di
mata masyarakat terutamanya kaum India yang berkemungkinan melihat
pendirian Pas sebagai parti paling senior, tidak teguh dalam gabungan
berkenaan.
0 Komen pengunjong :