TEMERLOH: PAS berpendapat ucapan Datuk Seri Najib
Tun Razak di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini tidak menggambarkan
beliau seorang Perdana Menteri sebaliknya hanya pemimpin sebuah parti
perkauman yang mengajak kepada perpecahan.
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika
beliau sedar sebagai seorang Perdana Menteri sudah pasti tidak akan
terikut-ikut dengan perwakilan dengan begitu emosional menyerang Pakatan
Rakyat (PR).
“Jika diteliti ucapan Najib bermula daripada ucapan dasar hinggalah
kepada penggulungan, penuh dengan emosi, serangan peribadi, semangat
perkauman dan mempergunakan agama.
“Jika perwakilan yang berbahas dengan nada emosional seperti itu kita
faham, tetapi Najib tidak sepatutnya terikut-ikut dengan rentak
perwakilan sehingga dia terlupa sebagai seorang Perdana Menteri.
“Cuba ambil contoh Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang) berucap dalam muktamar, walaupun macam-macam dibahaskan oleh
perwakilan akhirnya Tuan Guru akan mengajak rakyat kepada perpaduan,”
katanya dalam sidang media di pejabat PAS Pahang hari ini.
Turut hadir Ketua PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, Timbalan
Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Tengku Puji serta pimpinan negeri
ketiga-tiga parti.
Tuan Ibrahim berkata, kesimpulan yang dibuat Najib hanyalah lahir daripada rasa tertekan menghadapi pilihan raya.
Ketika berucap pada penggulungan, Najib berkata “satu undi untuk PKR
bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah dan kerosakan umat. Satu undi
untuk PAS bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP
bermakna satu undi penindasan bangsa tercinta. Sebaliknya satu undi
untuk Umno dan BN adalah satu undi untuk keselamatan akidah orang Islam.
Satu undi untuk BN, satu undi untuk perpaduan dan kekuatan umat. Satu
undi untuk BN, satu undi pembelaan bangsa Malaysia.
Jelas Tuan Ibrahim, barangkali Najib tidak diberitahu trend golongan
muda di bawah 40 tahun yang mewakili 52 peratus penduduk negara ini,
adalah menolak parti dan politik bersifat perkauman.
“Jadi apa gunanya beliau meminta maaf kepada rakyat Malaysia sebelum
itu, dalam perhimpunan yang sama, sedangkan terus menyalakan api dendam
dan kebencian walaupun kewujudan PAS, PKR dan DAP lahir daripada amalan
demokrasi?” soalnya.
Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata,
PR mensasarkan kehadiran 40,000 rakyat dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat
Pahang (HKRP) pada 9 Disember ini di Kerdau.
Katanya, komitmen ini penting bagi merealisasikan perubahan rakyat di
negeri ini ke arah pemerintahan yang lebih baik dan membela rakyat.
Fauzi pula berkata, HKRP ini penting kerana melambangkan perubahan
rakyat di peringkat bawah dan mesti dilakukan apabila di peringkat
kepimpinan atasan (kerajaan) tidak mahu berubah.
Katanya, rakyat sendiri sudah melihat kepincangan kerajaan negeri
dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan salah urus tadbir sehingga
tidak ada apa-apa kebaikan lagi melainkan terpaksa ditukar kerajaan
baru.
Dalam pada itu, Tengku Zulpuri berkata, DAP sudah bersiap sedia
menggalas cabaran untuk merampas Parlimen Bentong daripada BN dalam
pilihan raya akan datang.
“Kita pandang serius cabaran (Menteri Besar Pahang Datuk Seri) Adnan
Yaakob yang sanggup dipotong telinga dan terjun Sungai Pahang jika DAP
menang di Bentong,” tegasnya.
Isu Adnan sanggup dipotong telinga jika DAP menang di Bentong, hangat
diperkatakan apabila beliau menyebut ‘tawaran’ itu kepada pemberita
semasa Pau di PWTC.
Namun keesokan harinya beliau berdolak-dalik mengatakan ‘sanggup potong telinga’ itu hanyalah satu kiasan.
0 Komen pengunjong :