
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama
Islam Malaysia (Majlis Fatwa Kebangsaan) baru-baru ini mengeluarkan
fatwa menyebut, haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau
demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta
mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara.
Pengerusinya,
Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa
memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak
sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi
termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April
lepas.
Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta
benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk
menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran
demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.
Umat Islam
yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan
daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya
bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi
mencapai sesuatu agenda.
Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul
Aziz dalam respons segeranya mengatakan Majlis Fatwa Kebangsaan
mengeluarkan pandangan hanya menggunakan "sebelah mata".
"Bagaimanapun,
apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan
huru-hara, saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan
dengan hanya menggunakan sebelah mata. Mata yang digunakan pula adalah
kabur dengan cermin mata yang telah pun rosak.
"Saya menghormati
ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dengan setinggi-tinggi perhormatan
namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan
oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini," kata beliau dalam satu
kenyataan media.
Menuju zaman gelap
Jika
begitu fatwa dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, jelaslah tidak
ada seorang wakil pun yang dihantar untuk menjadi pemerhati demonstrasi
"duduk bantah".
Manakala Nik Aziz pula lebih berkredibiliti oleh kerana umum mengetahui ribuan anggota PAS menyertai perhimpunan tersebut.
Tambahan lagi, PAS menghantar ribuan anggota Unit Amal mereka untuk menjaga keselamatan rakyat dalam demonstrasi tersebut.
Jika
memperjuangkan pilihan raya bebas dan adil dianggap haram oleh Majlis
Fatwa Kebangsaan, hilanglah integriti sebagai sebuah badan agama Islam
yang dihormati.
Lebih baik Majlis Fatwa Kebangsaan keluarkan
fatwa mengharamkan pilihan raya Malaysia yang jelas diwarisi dari
penjajah Inggeris.
Bukan itu sahaja, Malaysia belum pernah ubah sistem pilihan raya First Past The Post
(FPTP) yang ditinggalkan oleh penjajah. Dalam sistem FPTP, seseorang
calon sudah dianggap menang walaupun dengan majoriti satu undi.
Dalam
hal kehidupan sehari-hari, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah
terlihat mempermudahkan kehidupan rakyat terutamanya umat Islam di
negara ini.
Di mana fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu
rasuah dan penyelewengan? Apa pula fatwa tentang rampasan kuasa yang
dilakukan di negeri Perak dahulu?
Mengapa Majlis Fatwa Kebangsaan
membisu apabila kerajaan jelas menindas rakyat seperti isu hak royalti
minyak rakyat negeri Kelantan?
Malaysia sudah menerima pilihan
raya sebagai sistem untuk memilih kepimpinan negara, apa masalahnya jika
berdemonstrasi untuk menuntut sistem tersebut diperbaiki?
Belajar dari paderi di Filipina
Filipina
merupakan satu-satunya negara Kristian di Asia Tenggara. Apabila
Ferdinand Marcos mendeklarasikan undang-undang darurat - untuk halalkan
beliau terus berkuasa, ada golongan paderi yang mengambil pendirian
untuk melawan Marcos.
Mereka ini disokong oleh "mufti besar" seperti Cardinal Sin - berani mengambil pendirian berbeza dari Marcos.
Gereja-gereja menjadi tempat untuk memberikan pendidikan politik dan merekrut sukarelawan.
Ertinya
golongan agama bukan sahaja menyampaikan surah-surah mengenai Isa akan
tetapi turut sama dalam memantapkan kehidupan rakyat.
Hari ini,
golongan agamawan di Malaysia sudah terpisah dari rakyat. Mereka sudah
menjadi golongan elit yang digunakan sebagai alat untuk menindas rakyat.
Apakah
pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pembunuhan Altantuya
Shariibuu? Mereka diam membisu kerana tertuduh dikatakan mempunyai
kaitan dengan perdana menteri.
Golongan agamawan
di Malaysia harus melakukan reformasi dengan segera. Jika tidak, mereka
akan menjadi seperti gereja-gereja di zaman gelap Eropah. Tidak salahlah
Karl Marx menganggap agama pada waktu itu (baca: zaman gelap) adalah
candu kepada masyarakat.
.
Seterusnya >>>