KUALA
LUMPUR : Panel siasatan “bebas” mengenai perhimpunan Bersih 3.0
yang diketuai oleh Tun Hanif Omar yang secara terbuka menuduh
perhimpunan tersebut diresapi komunis dan berniat menggulingkan
kerajaan, belum pun memulakan mesyuarat untuk menyediakan terma-terma
rujukan siasatan.
Namun, hari ini Ketua Oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan pemimpin muda PKR Badrul Hisham
Shaharin telah pun dihadapkan ke mahkamah hari ini berhubung isu
perhimpunan tersebut.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ia adalah satu langkah
tidak bijak kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak
kerana membelakangkan keadilan.
Menurutnya, siasatan yang bebas, saksama dan komprehensif perlu
menjelaskan, membuktikan dan memberi jawapan terlebih dahulu kepada
persoalan-persoalan penting sebelum sesiapa pun dihadapkan ke mahkamah.
Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau berkata, siasatan yang menyeluruh dan adil perlu menjelaskan:
1. Adakah benar wujud satu percubaan untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan dalam Bersih 3.0?
2. Mengapa pihak polis seakan-akan mengamuk dan menggunakan kekerasan
yang melampau, sama ada dengan gas pemedih mata, semburan air yang
bercampur bahan kimia atau keganasan fizikal terhadap peserta
perhimpunan aman ini selepas jam 3 petang yang telah berlanjutan selama 5
jam pada hari tersebut?
3. Bagi yang telah merempuh sekatan yang didirikan, mengapa pihak
polis tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan itu sahaja? Mengapa
pihak polis bertindak untuk menghukum dengan kekerasan dan keganasan
terhadap majoriti takyat yang telah berhimpun secara aman dan yang ingin
bersurai secara aman?
4. Mengapa ada polis yang bertugas tanpa tag nama atau nombor pengenalan?
5. Mengapa wakil media menjadi sasaran pihak polis dan mengapa mereka
diserang di mana peralatan kamera mereka dipecah dan kad memori kamera
mereka dirampas?
6. Mengapa ada antara beberapa stesyen LRT telah diarahkan untuk
tutup selepas gas pemedih mata atau semburan air bermula? Adakah pihak
polis berniat untuk membantu peserta bersurai atau sebagai satu
“perangkap” untuk terhadap rakyat jelata yang berhimpun pada hari
tersebut?
7. Adakah benar transmisi telefon bimbit sengaja disekat supaya
apa-apa komunikasi dihalang yang akan menyebabkan lebih kekeliruan dalam
keadaan yang sudah pun pada masa yang genting itu?
8. Siapa dari pihak polis atau dari Kementerian Dalam Negeri yang
bertanggungjawab memberi kebenaran untuk mencabul hak asasi manusia dan
tidak menghiraukan prinsip dan garis panduan dalam penggunanan kekerasan
dan senjata api oleh polis?
–/ Roketkini.com
0 Komen pengunjong :