KUALA LUMPUR 24 MAC : Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh bersama Pengerusi Gerakan Anti Pendakwaan Terpilih (Gapet), Khairul Anuar Othman hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung rakaman video aksi seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.
Laporan tersebut dibuat untuk menggesa polis agar segera menyiasat dan menangkap tiga individu kerana telah melakukan kesalahan iaitu menyimpan dan mempamerkan rakaman lucah yang melanggar Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem, serta intimidasi jenayah dan konspirasi jenayah.
"Saya harap polis mengambil berat dan serius mengenai kes ini kerana perkara ini jelas menunjukkan politik kotor yang diamalkan dan menimbulkan banyak kemarahan," kata Gwo Burne Loh.
Sementara itu laporan Pengerusi Gapet pula mendesak pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak kepada trio Datuk T yang barisi oleh Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuib Lazim berlandaskan undang-undang dilaksanakan.
"Kita juga menggesa pihak polis dan KDN untuk tidak ada campur tangan daripada UMNO dan juga Perkasa sebab dalam etika itu kita melihat bahawa golongan-golongan ini adalah daripada watak-watak UMNO dan juga Perkasa ada di dalam video tersebut," ujarnya lagi.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang turut hadir semasa laporan polis dibuat mengesa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan juga Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hisyamuddin Hussein agar telus dalam menjalankan siasatan.
"Saya ingin menyeru Perdana Menteri, untuk membuat penjelasan mengenai watak-watak yang terlibat ini semua orang UMNO dan juga pemimpin utama Perkasa, ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kalau Perdana Menteri mendiamkan diri dan tidak menyatakan pendirian, kalau tidak betul bukan UMNO, dia harus ambil tindakan," kata Tian Chua.
Tambahnya lagi, Menteri Dalam Negeri juga perlu tegas dalam mengambil tindakan kerana mengikut undang-undang negara jelas menunjukkan pihak yang terlibat bersalah dan perlu dikenakan tindakan.
"Menteri KDN harus hentikan hujah-hujah yang tidak tepat, kata nak siasat Anwar lah, nak tangkap, nak tuduh. Semua ni tak betul, masalahnya sekarang adalah penjenayah menggunakan video ini untuk ugut dan mereka gunakan video lucah yang disebarkan kepada orang awam yang sudah jelas melanggar undang-undang," tambahnya lagi.
Sementara itu bagi Ahli Parlimen Kapar pula menyifatkan selepas ini akan terdapat banyak laporan polis yang akan dibuat untuk membawa mereka yang bersalah ini supaya dapat diheret ke muka pengadilan.
"Saya menggesa supaya penglibatan PM dikecualikan dan biarkan pihak polis menyiasat, semalam Ketua Polis Negara memberitahu akan siasat dan menubuhkan satu badan bebas untuk melakukan siasatan, jadi itu yang kita mahu dan juga orang ramai perlu lihat serangan demi serangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujar Manikavasagam.
Semalam dilaporkan bahawa Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik mengaku beliau adalah dalang di sebalik penyebaran video lucah yang cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut sama dikaitkan dengan trio ‘Datuk T’ itu adalah Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Agung Perkasa merangkap bekas Senator Dewan Negara, Shuib Lazim.
0 Komen pengunjong :