Pendakwaan Anwar, Azmin, Badrul kerana BERSIH; bukti kerajaan BN niat jahat

KUALA LUMPUR : Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak jelas berniat jahat kerana mendakwa di mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin PKR seperti Azmin Ali dan Badrul Hisham kerana dituduh melanggar sekatan di Dataran Merdeka semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, niat jahat BN terdedah kerana apa yang sepatutnya dilakukan ialah menyiasat dahulu kekecohan yang berlaku tetapi pemerintah tidak mempedulikan itu semua kerana ingin memangsakan Anwar, Azmin dan Badrul.
Katanya, jika kerajaan benar-benar mahukan kebenaran terhadap apa yang berlaku pada 28 April lalu, maka Peguam Negara perlu menarik balik dan menangguhkan semua pendakwaan mahkamah yang berkaitan dengan perhimpunan Bersih 3.0 sehingga mendapat keputusan siasatan yang bebas, saksama dan komprehensif.
“Benarkah Anwar dan Azmin telah memberi isyarat kepada peserta untuk merempuh sekatan di Dataran Merdeka seperti yang dikatakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam wawancara bersama akhbar Sunday Star dua hari yang lepas yang bertajuk “Mencari kisah sebenar”?
“Pandangan Hishammuddin (yang selalu keliru sama ada beliau adalah Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab atas keselamatan umum atau beliau adalah Naib Presiden UMNO yang hanya tahu memburuk-burukkan Pakatan Rakyat) tidak boleh menjadi sebab untuk mendakwa Anwar, Azmin dan Badrul.
“Ini adalah kerana Hishammuddin telah memberi jaminan untuk mengadakan siasatan yang adil dan komprehensif terhadap Bersih 3.0 dalam satu misi mencari kebenaran mengenai apa yang telah berlaku pada 28 April,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mempersoalkan bagaimana pendakwaan boleh dibuat sekarang sedangkan terma rujukan dari “panel penyiasat bebas” Tun Hanif Omar yang telah menuduh Bersih 3.0 didalangi oleh komunis, belum lagi dimuktamadkan.
Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, pendakwaan terhadap Anwar, Azmin dan Badrul yang terburu-buru itu jelas mencemrinkan prasangka pimpinan Najib yang berniat jahat untuk menghalang apa-apa siasatan yang bebas, saksama dan komprehensif.
“Ini dirumitkan lagi apabila ketiga-tiga pemimpin yang didakwa itu sekeras-kerasnya menafikan memberi isyarat untuk melanggar sekatan di Dataran Merdeka, seperti yang dilihat dalam kenyataan video,” jelas beliau.
Dengan dakwaan terhadap Anwar, Azmin dan Badrul di mahkamah, beliau berkata, kerajaan Najib boleh mempergunakan proses perundangan itu untuk sengaja menghalang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) daripada menyiasat  keganasan sewaktu Bersih 3.0.
Ini adalah kerana kuasa siasatan Suhakam telah dihadkan oleh Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 seperti yang tertera di bawah Seksyen 12 dalam Bahagian III Kuasa Siasatan Suruhanjaya:

Suruhanjaya boleh menyiasat atas kehendak sendiri atau atas aduan:

(1) Suruhanjaya boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas suatu aduan yang dibuat kepada Suruhanjaya oleh orang atau kumpulan orang yang terkilan atau seseorang yang bertindak bagi pihak orang atau sekumpulan orang yang terkilan, menyiasat pengataan mengenai pelanggaran hak asasi manusia orang atau kumpulan orang itu.

(2) Suruhanjaya tidaklah boleh menyiasat apa-apa aduan yang berhubungan dengan apa-apa pengataan pelanggaran hak asasi manusia yang—
(a) merupakan hal perkara apa-apa prosiding yang belum selesai di mana-mana mahkamah, termasuklah apa-apa rayuan; atau
(b) telah diputuskan  secara  muktamad oleh mana-mana mahkamah.

(3)  Jika  Suruhanjaya  menyiasat   suatu pengataan di  bawah subseksyen 12 (1) dan  sementara menunggu penyelesaian siasatan itu, pengataan itu menjadi hal perkara mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, Suruhanjaya hendaklah berhenti dengan serta-merta daripada melakukan siasatan itu.
Menurut Kit Siang, Suhakam harus diberi pujian atas keputusan yang diambilnya semalam untuk menjalankan penyiasatan awam terhadap perhimpunan Bersih 3.0, kerana tidak sanggup lagi “menunggu” untuk “panel penyiasatan bebas” pimpinan Hanif Omar dari Putrajaya untuk menyerahkan terma rujukan mereka.
“Adakah benar keputusan Peguam Negara untuk mendakwa Anwar, Azmin dan Badrul dibuat secara tergesa-gesa…sebagai satu langkah terakhir untuk menyingkirkan apa-apa usaha Suhakam untuk menjalankan penyiasatan yang bebas dan saksama berhubung dengan ‘perlanggaran’ sekatan di Dataran Merdeka?” soal beliau.
Katanya, Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara tidak boleh mengikat tangan Suhakam daripada menjalankan siasatan yang bebas, saksama dan komprehensif terhadap keganasan sewaktu Bersih 3.0.

–/ Roketkini.com

0 Komen pengunjong :