Showing posts with label Lim Kit Siang. Show all posts

Ke mana hala Malaysia?

Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk Kinabatangan Bung Mokhtar Radin di Parlimen kelmarin mengakui bahawa pemimpin-pemimpin Umno bahagian menuntut kontrak daripada kerajaan dan mana-mana pemimpin bahagian yang tidak berbuat demikian adalah pengecut. Pengakuan ini merupakan satu lagi kenyataan mengejutkan daripada sekian banyak kenyataan mengejutkan yang telah dikeluarkan oleh menteri, pemimpin, dan penyokong Barisan Nasional sejak enam minggu lalu, iaitu selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei 2013.

Antara kenyataan lain sepertinya yang telah dikeluarkan oleh menteri/pemimpin/penyokong BN sejak enam minggu lalu:

•    Datuk Tajuddin Abdul Rahman mencemarkan politik Ramadan malam Ahad lalu dengan menyebarkan pembohongan dan dusta dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Besut dengan mendakwa DAP adalah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja-raja Melayu, dan bahawa DAP ingin menghapuskan sistem raja berperlembagaan untuk menubuhkan sebuah republik serta melantik Karpal Singh sebagai Presiden pertama Malaysia;

•    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dalam wawancara dengan Sin Chew Daily bulan lepas memberi nasihat songsang kepada kaum Cina di Malaysia dengan menyeru mereka agar meninggalkan “perkauman ekstrem” yang dibawa oleh DAP agar “Malaysia suatu hari nanti akan mendapat Perdana Menteri berketurunan Cina.” Shahidan membuat dua kesilapan memandangkan DAP tidak pernah mengajak kaum Cina di Malaysia ke arah “perkauman ekstrem” dan isu Perdana Menteri berketurunan Cina tidak pernah persoalan penting bagi kaum Cina kerana bagi mereka yang lebih penting ialah mendapat Perdana Menteri yang berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia.

•    Dongeng “Tentera Kacang Merah” yang ditaja DAP dan dianggotai oleh 3,000 cybertrooper serta mendapat peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk menyerang peribadi dan memburuk-burukkan para pemimpin UMNO/BN mendominasi ucapan Ahli-ahli Parlimen UMNO/BN dalam perbahasan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Parlimen. Malah seorang Menteri telah mencadangkan supaya Kabinet mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja untuk menyiasat “Tentera Kacang Merah”, padahal RCI sepatutnya ditubuhkan untuk menyiasat sekian banyak pembohongan dan provokasi yang diterbitkan dalam media kawalan UMNO/BN, khususnya Utusan Malaysia. Kebelakangan ini dongeng “Tentera Kacang Merah” digunakan untuk menjustifikasi tuntutan para cybertrooper Umno/BN untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM350 juta bagi memerangi “Tentera Kacang Merah” bagi jangka masa lima tahun lagi.

•    Respons apologetik “bukan hanya Malaysia yang berdepan masalah rasuah” daripada Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio integriti dan urus-tadbir baik, apabila tinjauan Global Corruption Barometer 2013 yang dijalankan oleh Transparency International mendapati hanya 31 peratus responden merasakan kerajaan Malaysia telah memerangi rasuah dengan berkesan, merosot daripada 49 peratus di tahun 2011.

•    Kenyataan-kenyataan perkauman yang berulang kali dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sehingga melebarkan jurang perkauman, antaranya apabila beliau berdusta dengan menuduh DAP menolak konsep “kongsi” Melayu/Cina/India dan mendakwa kaum Cina mahu menghapuskan kuasa politik Melayu.

•    Ucapan perkauman dan menghasut oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Noor Abdullah yang mengingatkan kaum Cina di Malaysia agar bersedia menerima tindak balas daripada masyarakat Melayu atas “pengkhianatan” mereka dalam PRU-13.

•    Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu baru dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri, apabila beliau menyuruh pihak yang mengkritik pilihan raya umum ke-13 agar meninggalkan negara ini jika mereka tidak suka dengan sistem pilihan raya yang ada.

Jika tidak disangkal, semua kenyataan ini mampu mengheret negara ini ke masa depan Malaysia yang mundur, berpecah-belah dan sengsara – sama sekali bertentangan dengan aspirasi 1Malaysia, “Global Movement of Moderates” dan “perdamaian kebangsaan”.

Ke mana hala Malaysia?
Seterusnya >>>

Malaysia selamat atau tidak - Kit Siang


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) dan Menteri Dalam Negeri tidak sepatutnya menyatakan Malaysia sebuah negara yang selamat dan kadar jenayahnya telah berkurangan sebanyak 26.8% sejak pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada tahun 2009 serta tergolong sebagai salah sebuah paling aman di Asia Tenggara menurut Peace Index.
Tetapi, kata Lim Kit Siang secara tiba-tiba mengaitkan peningkatan kejadian jenayah ganas dengan penghapusan Ordinan Darurat (EO) pada tahun 2011 yang membawa kepada pembebasan hampir 2,000 orang yang disyaki sebagai penjenayah tegar.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkjata, jika pembebasan 2,000 orang yang disyaki sebagai penjenayah tegar disebabkan oleh penghapusan EO pada September 2011 telah membawa kepada peningkatan kadar jenayah, mengapa perkara ini tidak terlihat pada perangkaan jenayah polis.

Sebaliknya, kata beliau polis mendakwa secara umum kadar jenayah jalanan dan indeks jenayah telah berkurangan masing-masing sebanyak 41.3% dan 7.6% pada tahun 2012 jika dibandingkan dengan 2011.

“Atau apakah ketua-ketua sindiket jenayah ganas dan terancang tiba-tiba menjadi lebih giat setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan “perang menentang jenayah” sebulan selepas pilihan raya umum ke-13 yang menyebabkan kadar jenayah dan kebimbangan orang ramai meningkat sehingga buat kali pertama rakyat Malaysia merasa tidak selamat untuk makan di luar rumah berikutan beberapa kejadian rompakan bersenjata ke atas pemilik dan pelanggan gerai mamak dan restoran?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, tidak sampai setahun yang lalu, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin bersungguh-sungguh menafikan peningkatan kadar jenayah adalah disebabkan pembebasan tahanan-tahanan EO.

Ujar Hishammuddin, “walaupun media melaporkan bekas banduan terlibat dalam jenayah, bagi saya angkanya tidak berada pada tahap membimbangkan.”

“Apakah Hishammuddin menyatakan perkara yang benar Julai tahun lalu atau beliau telah memperdayakan rakyat Malaysia?” tanay Penasihat DAP Kebangsaan itu lagi.

Tahun lalu, ujar beliau orang ramai diyakinkan bahawa polis mengawasi 1,473 tahanan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad yang telah dibebaskan bagi membantu mereka mencari pekerjaan dan memastikan mereka tidak kembali kepada kebiasaan yang buruk.

“Apakah natijah program ini atau hanya cakap-cakap kosong yang tidak pernah dilaksanakan oleh polis di semua negeri dalam negara ini?” tanya Lim.

Justeru, katanya jika polis mahukan kerjasama penuh dalam perang menentang jenayah, ia perlu memberi keyakinan kepada orang ramai dan berkongsi maklumat dengan mereka.
Seterusnya >>>

Zahid disaran cuti hingga 2 kes memalukan BN selesai

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya bercuti daripada menjalankan tugasnya sehingga dua kes yang memalukan kerajaan Barisan Nasional (BN) selesai.
Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siangberkata, dua kes yang memalukan BN itu kerana Ahmad Zahid dituduh mencederakan Amir Abdullah Bazli pada Januari 2006 dan didakwa melanggar undang-undang pilihan raya kerana berbelanja lebih RM2 juta, melebihi had RM200,000 yang dibenarkan ketika berkempen untuk kerusi Parlimen Bagan Datoh, Perak pada PRU13 lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dalam sebuah video yang dipaparkan dalam laman webnya sendiri, Ahmad Zahid mengakui mengupah 24,000 penyokong BN Bagan Datoh yang juga pengundi tempatan sebagai pekerja kempen ketika beliau bertanding untuk memenangi kerusi Parlimen itu.

Katanya, dalam video terbabit, Zahid juga mengaku memberi setiap pekerja kempen RM100 dan 5 kilogram beras.

Menurutnya, selain politik wang pada pilihan raya, Ahmad Zahid mengupah 24,000 ‘pekerja pilihan raya’ sedangkan jumlah keseluruhan pengundi di Parlimen Bagan Datoh hanya 34,670 pengundi dan jumlah undi yang diraih Ahmad Zahid sendiri hanya 17,176 undi.

Ini bererti lebih daripada seorang ‘pekerja pilihan raya’ diperlukan Zahid untuk memenangi satu undi dan perkara itu boleh dianggap sebagai rekod tersendiri dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

“Saya bersetuju dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ismail yang baru-baru ini menyatakan dalam surat terbuka bahawa keputusan Mahkamah Rayuan yang sebulat suara memerintahkan Ahmad Zahid menjawab tuduhan Amir Abdullah menunjukkan tuduhan itu kukuh dan menimbulkan pertikaian mengapa polis gagal mengambil tindakan terhadap Ahmad Zahid atas kesalahan itu,” kata Kit Siang dipetik Roketkini.
Seterusnya >>>

Kit Siang Dakwa Menteri Dalam Negeri Ada Kes Jenayah

lim-vs-zahid

SHAH ALAM, 6 JUN: Lim Kit Siang mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih tidak membersihkan namanya daripada tuduhan serangan yang disabitkan ke atasnya pada 2006.
Penasihat DAP itu bersetuju dengan saranan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu menggantung Zahid daripada jawatannya.
Sebelum ini, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, adalah tidak wajar meletakkan Zahid yang masih mempunyai caj saman sivil ke atasnya sebagai menteri yang mempunyai kuasa besar ke atas agensi penguatkuasaan seperti polis.
Kit Siang berkata, Najib perlu menjelaskan sama ada beliau tahu mengenai dakwaan terhadap Zahid yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Penerangan pada tahun 2006.
“Kes ini menimbulkan persoalan penting mengapa Zahid tidak pernah dikenakan oleh pihak polis bagi kesalahan jenayah serangan.
“Ini menimbulkan persoalan lagi sama ada Malaysia mempunyai ‘penjenayah’ sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Kit Siang mempersoalkan kenapa Zahid tidak diheret ke mahkamah oleh pihak polis dan disabitkan atas serangan jenayah.
Katanya, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low yang dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri perlu mengeluarkan kenyataan sama ada beliau bersetuju bahawa Zahid perlu membersihkan namanya daripada segala tuduhan yang dikenakan terhadapnya
Pada 16 Januari 2006 lalu, Zahid telah didakwa oleh ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah,41 kerana didakwa menumbuk di bahagian mata sehingga mengalami patah tulang hidung dan bengkak mata kiri bertempat di Kelab Rekreasi Country Heights, Kajang.
Zahid telah menafikan dakwaan tersebut dan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menutup kes, tetapi mahkamah menolak permohonan tersebut.
Bagaimanapun, pada tahun lalu, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan untuk membatalkan saman sivil berkenaan dan mengarahkan Zahid membayar RM5,000 sebagai kos.
Seterusnya >>>

KPN dan Zahid digesa tangani jenayah


GEORGE TOWN, 19 Mei — Ketua polis negara (KPN) baru dan menteri dalam negeri perlu berhenti “bermain politik” dan mula melindungi rakyat Malaysia, pelancong dan pelabur selamat daripada jenayah dan bahaya, kata pemimpin DAP Lim Kit Siang hari ini.
Penasihat DAP tersebut membidas KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid ekoran kenyataan kedua-dua mereka ke atas perhimpunan Pakatan Rakyat (PR) dan rakyat Malaysia yang tidak gembira dengan keputusan pilihan raya.
“Kedua-dua perlu sedar bahawa mereka dibayar oleh pembayar cukai untuk menjalankan tugas utama mengurangkan jenayah, untuk melindungi keselamatan rakyat Malaysia, pelancong dan pelabur dan untuk menghapuskan perasaan takut terhadap jenayah yang menghantui rakyat Malaysia dalam negara ini , bukan mengabaikan tugas mereka dengan bermain politik dengan menggunakan kedudukan mereka,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Lim kemudiaan mencabar kedua-dua individu supaya menumpukan tanggungjawab mereka serta memberitahu kepada rakyat bagaimana mereka akan mengurangkan kadar jenayah, bukan dengan hanya bersikap sambil lewa dan pandai berpolitik sahaja.
“Kalau mereka banyak masa terluang, apa kata mereka cabar diri sendiri untuk membuang Johor Baru sebagai pusat jenayah dalam tempoh 12 bulan daripada sekarang.
“Adakah Khalid dan Zahid mampu mengumumkan perletakkan jawatan mereka kepada umum jika mereka gagal melakukannya untuk memastikan Johor Baru selamat dan terjaga semula?” kata Lim.
Menurut Lim lagi, kedua-dua mereka hanya sibuk bercakap tentang konspirasi mengguling kerajaan tetapi tidak pula melakukan siasatan terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berbau perkauman walaupun banyak laporan polis telah dibuat, sebagai contohnya terhadap bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.
“Mengapa pihak polis tidak mula siasatan ke atas ucapan hasutan dan perkauman yang dibuat kepada orang awam oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Abdullah pada Ahad lalu walaupun laporan polis telah dibuat?” soal Lim lagi.
Malah, akhbar milik Umno Mingguan Malaysia hari ini juga melaporkan bahawa Khalid memandang serius pendedahan bekas paib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, yang menuduh terdapat konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan dengan nama Malaysia Spring.
“Individu yang membuat dakwaan pun tidak mempunyai integriti atau keberanian untuk membuat laporan polis, bagaimana Ketua Polis Negara boleh berkata akan memulakan siasatan ke atas tuduhan yang keterlaluan dan tidak berasas?” kata Lim lagi merujuk kepada Tunku Abdul Aziz.
Bulan lalu, media melaporkan pembunuhan dan percubaaan merompak terhadap wanita berumur 52 tahun Irene Ong di Bukit Gasing yang menyayat hati dan mendapat tumpuan orang ramai.
Putrajaya telah mengatakan dari 2009 hingga 2012, kadar jenayah kebangsaan menurun sebanyak 27 peratus sementara jenayah jalanan menurun sebanyak 39.7 peratus tetapi ramai pengundi wanita yang berjumlah separuh daripada keseluruhan pengundi.
Polis mengatakan kadar jenayah juga jatuh enam peratus untuk suku tahun pertama 2013 berbanding tempoh yang sama tahun lepas tetapi beberapa kumpulan mempertikaikan angka tersebut, mengatakan ianya telah diubah.
Pengerusi Pemantau jenayah MyWatch R. Sri Sanjeevan mengatakan Putrajaya dan polis hanya memberitahu jenayah adalah satu persepsi dalam tindak balas terhadap kebimbangan awam.
MyWatch menuduh polis Februari lalu mengubah statistik jenayah, mendakwa kes-kes ragut dan samun tanpa senjata api serta kecurian dan pecah rumah, adalah lebih tinggi daripada indeks jenayah diterbitkan dari Januari hingga Oktober 2011.
Seterusnya >>>

Kabinet paling tidak menarik sepanjang 56 tahun

KUALA LUMPUR: Barisan Kabinet yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semalam adalah yang paling tidak menarik jika dibandingkan dengan semua Perdana Menteri Malaysia sepanjang 56 tahun sejarah negara.

Malah, kata Lim Kit Siang, ia telah menyerlahkan perbezaan besar antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini.

Ini, ujarnya kerana Pakatan Rakyat menjunjung harapan dan visi politik baru untuk Malaysia manakala Barisan Nasional mewakili politik tua, lelah dan politik kaum, ketakutan, korupsi, salahguna kuasa dan ketidakadilan.

Katanya, ketidakadilan di dalam keputusan PRU13 dan persoalan buat pertama kalinya di dalam sejarah Malaysia berkenaan legitimasi Perdana Menteri telah melahirkan secara spontan gerakan kesedaran politik “hitam” di dalam negara.

Ini, tambahnya  seperti yang disaksikan pada 30,000 orang di perhimpunan “Black 505” di Ulu Tiram, Johor Bahru malam semalam, diikuti dengan kehadiran besar di satu lagi perhimpunan “Black 505” di Kelana Jaya, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuantan yang mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan kawasan melihatkan kekuatan generasi muda Malaysia yang sehingga sekarang begitu sedih dengan politik dan perkembangan politik negara.

Penasihat DAP itu berkata, rakyat Malaysia terutamanya orang muda tidak mengira kaum, agama dan jantina, marah dengan ketidakadilan sistem demokrasi dan pilihan raya menyatakan pendirian terhadap kekecewaan dan kemarahan pada keputusan PRU13 juga terhadap legitimasi Najib sebagai Perdana Menteri, memandangkan mereka rasa dirompak hak asasi demokrasi mereka untuk menentukan masa depan politik negara.

Pertama, katanya majoriti 51 peratus undi popular menyokong Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia, sementara Najib dan Barisan Nasional Berjaya mendapat hanya 47% undi popular.

“Kedua, sekiranya PRU13 bersih, bebas dan adil, undi popular Pakatan Rakyat dan Anwar tentu telah melebihi daripada 60 peratus malah mencecah lebih 65%, juga memenangi majoriti daripada 222 kerusi parlimen di dalam negara,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam satu kenyataan.

Ketiga, tambah Lim Kabinet yang diumumkan oleh Najib semalam telah menambah lagi ketidakabsahan beliau sebagai Perdana Menteri selepas PRU13.

“Ia bukanlah Kabinet untuk semua rakyat Malaysia, kerana sasarannya ialah bagi memastikan Najib dapat berjaya dalam perebutan kuasa di dalam Umno hujung tahun ini ketika pemilihan parti Umno,” katanya lagi.
Seterusnya >>>

Saya mahu pilihan raya bebas dan adil - Kit Siang kepada Utusan

KUALA LUMPUR, 13 Mei — Lim Kit Siang menjadikan pilihan raya bersih, bebas dan adil sebagai salah satu daripada lima perkara yang beliau mahukan bagi menjawab artikel Utusan Malaysia hari ini bertajuk “Apa lagi Kit Siang mahu?”.
Menurut Lim, sekiranya pilihan raya bersih, bebas dan adil, perdana menteri Malaysia hari ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya Datuk Seri Najib Razak, kerana Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai masalah untuk menang 125 kerusi Parlimen dengan PKR 45, masing-masing PAS dan DAP 40 dengan majoriti selesa 128 daripada 222 kerusi Parlimen.
Selain daripada pilihan raya bersih, penasihat DAP itu juga mahukan Malaysia sebagai negara demokrasi normal; pemulihan kedaulatan undang-undang;  pendidikan bertaraf dunia dan Malaysia yang bersatu, selamat, hijau, dan sihat.
Di bawah tajuk “Apa lagi Kit Siang mahu?”, pengarang kanan Utusan Malaysia Zulkiflee Bakar menuduh Lim dan DAP membahayakan keselamatan rakyat Malaysia dengan melanggar undang-undang berikutan penganjuran perhimpunan haram beberapa hari lalu.
“Apa lagi Kit Siang mahu? Tidak puas lagikah selama ini ketika kempen pilihan raya berlangsung Kit Siang yang kononnya memperjuangkan demokrasi tulen dan kebebasan bersuara membiarkan pemimpin-pemimpin DAP memaki hamun pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN)? Belum gembirakah lagi beliau apabila DAP berjaya menentang habis-habisan usaha perjuangan Islam oleh PAS termasuk hukum hudud?” soal Zulkiflee di kolumnya.
Ahli Parlimen Gelang Patah baru itu turut diserang oleh Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin semalam yang menuduhnya sebagai orang di belakang tragedi berdarah 13 Mei.
“Saya bersedia untuk mengadakan satu debat yang rasional dengan Utusan Malaysia atau sesiapa berkenaan apa yang terbaik untuk masa depan negara, akan tetapi Utusan Malaysia tidak berminat dengan debat rasional sedemikian tetapi hanya menjalankan agenda Umno untuk memburuk-burukkan saya,” kata veteran DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Utusan telah mengingkari semua etika dan standard kewartawanan. Apakah mereka boleh menjadi lebih teruk lagi?” tambah beliau.
Dalam Pilihan Raya 2013, Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya tetapi hilang undi popular.
Najib mencadangkan “tsunami Cina” menyebabkan BN mendapat keputusan pilihan raya terburuk dalam sejarah pada awal pagi 6 Mei selepas menerima keputusan Pilihan Raya 2013.
Utusan Malaysia, akhbar dimiliki Umno, juga mencadangkan pengundi Cina cuba melakukan provokasi kaum dengan mengundi menentang BN, dengan satu tajuk muka depan akhbar berbunyi, “Apa lagi Cina Mahu?”.
Akhbar, yang dilihat bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan pemimpin parti lain secara konsisten berhujah undi menentang Umno yang mengetuai BN sama dengan undi menentang Melayu.
Ini berlaku apabila secara faktanya parti PR PAS dan PKR sebahagian besarnya ahlinya Melayu-Muslim. DAP turut meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya.
Semalam, Najib mempertahankan partinya daripada pertuduhan perkauman, sebaliknya menuduh DAP yang bersikap perkauman.
Di sebalik dakwaan Umno, analisis keputusan Pilihan Raya 2013 menunjukkan perpecahan bandar-luar bandar berbanding perpecahan Melayu-Cina dalam corak pengundian rakyat Malaysia minggu lalu.
Walaupun majoriti daripada Cina menyokong parti PR, terdapat angka signifikan undi Melayu terhadap parti pembangkang, terutamanya di kawasan bandar.
Seterusnya >>>

DAP tidak akan ganti MCA

Lim Kit Siang

SHAH ALAM -  DAP tidak akan menyertai kerajaan BN untuk menggantikan peranan MCA.
Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, DAP berbeza dengan MCA kerana parti itu berjuang untuk semua kaum, bukan mewakili kaum Cina sahaja.

“Kita menolak apa-apa kemungkinan DAP akan menggantikan MCA dalam BN. Kita buat satu parti bukan untuk kaum Cina saja, tetapi untuk semua rakyat Malaysia.

“Tujuan kita bukan untuk gantikan peranan MCA," katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin agar DAP bergabung dengan BN bagi memastikan ada wakil kaum Cina dalam Kabinet yang bakal dibentuk.

Kit Siang dalam kenyataannya sebelum ini berkata, DAP bersikap terbuka dengan syor dan cadangan mengenai keperluan wakil Cina dalam kerajaan dan akan memberi respons perkara itu kemudian.

“Kelihatannya banyak cadangan baru. Kita beri masa untuk rakyat kemukakan cadangan. Ini merupakan masa untuk teliti cadangan dan kami akan beri reaksi sewajarnya,” katanya.

Dalam PRU13 5 Mei lalu, DAP berjaya memenangi 38 daripada 51 kerusi Parlimen, manakala MCA hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi yang ditandingi.

Berikutan prestasi buruk itu, pucuk pimpinan MCA memutuskan untuk tidak menyertai Kabinet di peringkat pusat atau negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan ramai pihak agar Umno bersatu dengan Pas, beliau menyifatkan ia sebagai satu perangkap dan helah Umno.

Katanya, percanggahan beberapa perkara antara Pas dengan komponen lain dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak sewajarnya dikaitkan dengan kemungkinan parti itu perlu menyertai Umno.

“Adakah Pas dan Umno bersetuju dalam semua dasar termasuk hudud? Tidak bukan? Jadi ini hanya perangkap Umno untuk memecahbelahkan PR. Tapi, kami tidak boleh diperangkap, “ katanya.
Seterusnya >>>

DAP cabar UMNO/BN nyatakan pendirian mengenai hudud


KUCHING: 25 APRIL: Calon DAP Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mengulangi pendirian DAP mengenai pelaksanaan hudud iaitu tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau mencabar UMNO dan Barisan Nasional (BN) turut menyatakan pendirian secara terbuka sama ada mahu melaksanakan hudud atau sebaliknya.
“UMNO dan BN tidak perlu membuang masa untuk mengelirukan rakyat dengan menjadikan hudud sebagai isu politik, malah meminta Datuk Seri Najib Razak memartabatkan agama Islam dan menghormati umat Islam dengan menghentikan kempen yang memperalatkan agama kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat.
“Saya harap pemimpin BN benar-benar menghormati kesucian Islam dan agama lain kerana kepercayaan agama bukanlah alat permainan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kit Siang mengulas laporan media hari ini mengenai cabaran Najib supaya Pakatan Rakyat menyatakan pendirian secara jelas mengenai isu hudud, hanya satu gimik politik semata-mata.
Beliau kesal kerana UMNO/BN terus memperalatkan agama pada PRU kali ini sedangkan Pakatan Rakyat menyatakan bahawa hudud tidak terkandung dalam Manifesto Rakyat, pendirian bersama dan apa-apa prinsip bersama.
Sehubungan itu, katanya, DAP tetap menghormati PAS dan ideologinya, sama seperti PAS dan PKR menghormati DAP dengan ideologi DAP dan prinsip perjuangan semata-mata untuk kepentingan rakyat atas dasar demokrasi.
“Oleh itu, tidak timbul soal hukum hudud dalam perjuangan bersama Pakatan Rakyat. Malah, PAS telah menjelaskan pendiriannya dalam konteks Negara Berkebajikan yang amat penting dan berfaedah kepada umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya tanpa mengorbankan prinsip perjuangan PAS. Ini memang DAP hormati.
“Dengan itu, Najib, Datuk Seri Chua Soi Lek (MCA), Tan Sri Koh Tsu Koon (Gerakan), Datuk Seri G. Palanivel (MIC), Tan Sri Pairin Kitingan (PBS), Tan Sri Taib Mahmud (PBB) dan pemimpin BN lain yang sepatutnya menjelaskan secara terbuka pendirian mereka mengenai hudud,” tambahnya.
.
Menurutnya, pengundi Malaysia, terutamanya orang Melayu Islam, berhak untuk tahu sama ada UMNO dan BN mahu melaksanakan hudud atau tidak.
Katanya, jika UMNO dan BN tidak berminat melaksanakan hudud atau sudah menolak hudud, jangan cuba bermain kotor dengan menuduh Pakatan Rakyat dengan menggunakan isu hudud.
Beliau berharap media massa berani mengemukakan soalan yang sama mengenai hudud kepada semua pemimpin BN, terutamanya pemimpin UMNO, sama ada mereka mahu melaksanakan hudud atau sebaliknya, bukannya hanya berani bertanya kepada Pakatan Rakyat sahaja.
Ubah! Ini kalilah!-Roketkini.com
Seterusnya >>>

Penasihat DAP Kebangsaan bertanding di Gelang Patah


KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang diumumkan secara rasmi bertanding di Parlimen Gelang Patah, Johor pada Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Pengumuman itu dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Ulang tahun ke-47 DAP di Johor Baharu, malam ini, lapor blog Jalan Pulang.

Turut hadir semasa pengumuman tersebut dibuat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng.

Kerusi tersebut disandang calon BN daripada MCA, Tan Ah Eng yang mendapat 33,630 undi mengalahkan calon PKR, Zaliha Mustafa yang memperoleh 24,779 undi dengan majoriti 8,851 undi pada pilihanraya umum lalu.

Kit Siang yang merupakan anak jati Batu Pahat kini berusia 72 tahun dan antara pemimpin politik veteran bakal bertanding bagi penggal ketujuh.

Pada PRU12, beliau bertanding di Parlimen Ipoh Timur mendapat 37,364 undi menewaskan calon BN, Liew Mun Hon yang mendapat 15,422 undi dengan majoriti 21,942 undi.
Seterusnya >>>

Kit Siang: Najib jadi PM tanpa mandat


Ketua ahli parlimen DAP Lim Kit Siang menganggap Datuk Seri Najib Razak tidak lagi sah menjadi perdana menteri bermula 9 Mac semalam dan mendesak Najib segera mengadakan pilihan raya dengan segera.

Katanya, tempoh pentadbiran kerajaan sedia ada genap lima tahun pada 8 Mac lalu.

"9 Mac adalah tarikh yang mustahak kerana bermula hari ini kita ada perdana menteri yang tidak sah di Malaysia," kata Lim sewaktu berucap pada majlis sambutan 5 tahun pentadbiran kerajaan negeri Selangor di Shah Alam semalam.

Beliau mendakwa, Najib kini menjadi perdana menteri tanpa mandat daripada rakyat memandangkan beliau tidak mengadakan pilihan raya umum untuk mendapat mandat baru selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tambah Lim, semua perdana menteri sebelum Najib mengadakan pilihan raya umum dalam masa enam bulan ke setahun selepas mengambil alih kuasa daripada perdana menteri sebelumnya.

"Beliau sudah menjadi perdana menteri yang tidak dipilih, yang paling lama di Malaysia.

"(Beliau) tiada mandat daripada rakyat, takut mengadakan pilihan raya, (dan) takut bubar parlimen," katanya.

Tindakan Najib, kata Lim, menyebabkan rakyat Malaysia sudah berada dalam 'mod' pilihan raya sejak empat tahun yang lalu.

"Datuk Seri Najib catat rekod baru, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi Malaysia sudah masuk Guiness Book of Record.

"Mana ada negara di dunia dalam mod pilihan raya selama empat tahun.

"Ini memalukan buat Malaysia," kata Lim disambut sorakan gemuruh daripada kira-kira 5,000 hadirin di Dataran Kemerdekaan.

Pilihan raya umum terakhir diadakan pada 8 Mac 2008, di mana BN tewas di lima negeri.

Abdullah setahun kemudian meletakkan jawatan sebagai perdana menteri – satu tindakan yang diistilahkan sebagai 'peralihan kuasa' pada masa itu – dan Najib selaku timbalan perdana menteri menggantikan beliau bermula 4 April 2009.

Sementara itu Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah sama membangkitkan mengenai cubaan sesetengah media yang mengaitkannya dengan pencerobohan di Lahad Datu.

Menurut Anwar, beliau sedikit pun tidak gentar dengan tindakan itu yang dianggapnya sebagai cubaan untuk kembali menyumbat beliau ke dalam penjara atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya.

"Saya tengok cara media duduk main khianat saya dengan isu Lahad Datu ini, mungkin dia nak bawa saya ke situ.

"Nak ugut saya sekali lagi, tapi saya nak cakap, saya akan hadapi.

"Namun, berundur tidak sekali-kali," kata Anwar disambut tepukan gemuruh hadirin.

Turut hadir dalam majlis semalam antaranya adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.
Seterusnya >>>

Najib terus terima tamparan hebat: Malaysia tiada dalam senarai 400 universiti terbaik dunia


KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus menerima tamparan hebat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) apabila tidak ada universiti dari Malaysia disenarai dalam 400 universiti terbaik dunia yang dikeluarkan Times Higher Education World University Rankings 2012/2013.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata ini membuktikan agenda transformasi Najib gagal memulihkan perpaduan, mencapai kecemerlangan dan mengembalikan daya saing antarabangsa menerusi pelbagai usaha seperti program “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Katanya, dalam laporan terbaru keluaran Times Higher Education (THE) World University Rankings 2012-2013 semalam, tidak ada satu pun universiti dari Malaysia untuk dua tahun berturut-turut termasuk dalam senarai 400 universiti teratas dunia.
Editor THE World University Ranking, Phil Baty, dalam ulasannya mendakwa keseimbangan kuasa sedang berganjak. universiti terkemuka dari rantau Asia-Pasifik menunjukkan peningkatan ketara kedudukan mereka untuk sebelum ini tradisinya dikuasai Amerika Syarikat (AS) dan United Kindom (UK).
“Pada 2012-2013, institusi terkemuka China, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan telah meningkatkan kedudukan mereka. jiran Asia Pasifik, Australia, juga hebat, berbeza dengan AS dan UK kerana majoriti wakil Anglo-Amerika dalam senarai 200 teratas, sekalipun masih dominan daripada segi bilangan, telah semakin hilang tempat.”
“Saya amat sedih tetapi mengingatkan rakyat Malaysia berhubung kegagalan empat tahun program transformasi Najib, dengan Malaysia dikecualikan terus daripada fenomena kebangkita Asia-Pasifik yang ditunjukkan THE World University Rankings 2012-2013 mengenai “kebangkitan Universiti Asia-Pasifik,” mengenai Pengiraan Detik 37 Hari ke PRU-13, semalam.
Kebangkitan universiti Asia-Pasifik” dalam pendidikan tinggi dinyatakan seperti berikut:
  • Kemajuan ketara bagi Australia dan New Zealand. Institusi nombor satu Australia, University of Melbourne, melonjak daripada kedudukan ke-37 tahun lalu kepada 30 teratas iaitu di tempat ke-28. Australia mendapat tambahan dalam 200 universiti teratas, dengan University of Adelaide memasuki senarai 200 teratas menduduki tempat ke-176. Daripada tujuh universiti Australia, enam memperbaiki kedudukan mereka, 18 lagi tersenarai dalam 400 universiti terkemuka.

  • 200 institusi terkemuka China kedua-duanya bangkit, dengan  Universiti Peking meningkat daripada ke-49 kepada ke-46 dan Tsinghua melonjak 19 tempat daripada 71 ke-52. Universiti yang diperuntukkan pihak berkuasa China juga semakin maju: Universiti Fudan dan Universiti Shanghai Jiao Tong, masing-masing semakin hampir menduduki 200 teratas sementara Nanjing kekal pada kedudukan 250-257.

  • Dua institusi terkemuka Singapura mencatat kejayaan mengkagumkan. Universiti National Singapura naik daripada 40 ke-29 dan Universiti Teknologi Nanyang meningkat daripada ke-169 ke-86.

  • Setiap institusi Korea Selatan juga mengkagumkan, Universiti National Seoul meningkat daripada tempat ke-124 ke-59. Negara itu menjadi wakil baru dalam senarai 200 universiti terkemuka, termasuk Universiti Yonsei yang menduduki tempat ke-183.
Universiti National Taiwan, adalah satu-satunya universiti dalam senarai 200 universiti terkemuka yang meningkat daripada ke-154 ke-134, sementara institusi Hong Kong kekal akan meningkat. Universiti King Monghut, dari Thailand juga termasuk dalam 400 universiti terkemuka menduduki dalam lingkungan 351-400.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, daripada 81 universiti di rantau Asia Pasifik dalam 400 universiti terkemuka dunia, universiti dari Malaysia tidak tersenarai sedangkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa Malaysia mempunyai sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia, malah lebih baik daripada Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.
“Sekiranya Malaysia mahu menjadi sebahagian daripada Kebangkitan Universiti Asia-Pasifik dan dikenali di peringkat antarabangsa bukan saja mempunyai universiti dalam senarai 400 teratas malah 100 teratas, keseluruhan sistem pendidikan perlu dibaikpulih, bermula daripada sekolah rendah, menengah hingga ke universiti.
“Ini hanya dapat dicapai sekiranya ada permulaan baru memperbaharui negara dengan mengubah Kerajaan Persekutuan di Malaysia pada PRU-13 daripada terus dikuasai Barisan Nasional (BN) sejak 56 tahun lalu,” katanya.

– Roketkini.com
Seterusnya >>>

Najib bakal tepati ramalan RAHMAN, jadi PM UMNO/BN terakhir


KUALA LUMPUR, 5 MAC: Perangai dan gangguan samseng 20 aktivis UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mengibarkan bendera terhadap ceramah UBAH Dream Truck di Teluk Intan, Perak, yang dihadiri 4,000 orang membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia (TI-M), 20 Februari lalu tidak berniat menjunjung ikrar berkenaan.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, semua empat prinsip yang Najib bersumpah untuk menjunjung ikrar itu semuanya dilanggar dengan gangguan samseng UMNO/BN menyebabkan ceramah DAP UBAH, terganggu dan penduduk Teluk Intan kecewa kerana polis gagal mengawal dan mententeramkan keadaan.
Katanya, empat prinsip berkenaan ialah kebenaran, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terbabit dengan amalan rasuah dalam apa jua cara; mendukung dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara keseluruhan; tadbir urus yang baik serta ketelusan; dan mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan Malaysia.
Beliau berkata, jika Perdana Menteri boleh terang-terangan melanggar etika, moral dan undang-undang selepas menandatangani ikrar itu, lebih ramai rakyat Malaysia akan dapati Najib dan pemimpin UMNO/BN tidak boleh dipercayai langsung, bukan saja apa yang mereka kata, tetapi juga apa yang mereka turunkan tandatangani.
“Tindakan samseng itu menunjukkan UMNO/BN begitu terdesak walaupun pemimpin dan ramalan terbaru Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI) mendakwa BN akan menang dengan antara 123 dan 135 kerusi iaitu majoriti antara 24 dan 48 kerusi Parlimen pada PRU-13 nanti.
“Semalam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pula menyatakan Najib akan membawa negara ke puncak sekiranya BN kembali berkuasa pada PRU-13,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 38 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, tidak ramai rakyat Malaysia yang percaya kerana Mahathir sudah berkali-kali secara terbuka mengutuk Najib sebagai pemimpin “lemah” malah pada 31 Januari lalu menuntut Najib memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri sekiranya Najib gagal mendapatkan mandat lebih kuat pada PRU-13 berbanding PRU 2008.
“Tiada siapa, kecuali Mahathir yang menjangka Najib akan memenangi PRU-13 dengan majoriti dua pertiga Parlimen, sedangkan veteren UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah merasakan sesuatu yang “mustahil” selepas beberapa “isu kontroversi” membabitkan UMNO/BN.
“Tengku Razaleigh memberitahu Oriental Daily News  semalam bahawa ramalan ASLI itu tidak boleh dipercayai kerana kumpulan pemikir itu pro-kerajaan dan analisisnya berat sebelah sebaliknya meramalkan BN boleh hilang 10 hingga 15 kerusi Parlimen di Sabah selepas kegagalan tiga minggu stand-off dengan sekumpulan 200 militan bersenjata Sulu di Lahad Datu, hingga mengorbankan tujuh pegawai polis dan Sabah menjadi begitu tegang dengan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Sabah terancam,” katanya.
Menurut Kit Siang, jika UMNO/BN tewas antara 10 dan 15 kerusi kepada Pakatan Rakyat iaitu lebih daripada satu pertiga kerusi Parlimen di Sabah, maka PR dalam perjalanan menuju ke Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dan  menandakan berakhirnya negeri “deposit tetap” BN di Sabah.
Tambahnya, jika Sarawak dan Johor, dua lagi “negeri deposit tetap” BN, mengikut jejak langkah Sabah, maka nasib Najib termeterai dan beliau akan memenuhi ramalan RAHMAN menjadi Perdana Menteri UMNO/BN terakhir di negara ini.

- Roketkini.com
Seterusnya >>>

Najib mahu elak jadi PM terakhir ikut ramalan “Rahman”


KUALA LUMPUR, 23 FEB: Datuk Seri Najib Razak bakal mencipta rekodnya bagi mengelak menjadi Perdana Menteri UMNO/Barisan Nasional (BN) terakhir yang memenuhi ramalan “Rahman”.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, rekod yang dicapai Najib ialah menjadi Perdana Menteri paling lama tanpa mendapat mandat rakyat, penggal Parlimen paling lama dan dalam dua minggu ini ulang tahun “tsunami politik” 8 Mac 2008 serta Parlimen berkhidmat dalam tempoh penuh lima tahun yang tidak pernah terjadi sebelum ini dalam sejarah Parlimen Malaysia.
Katanya, Najib sudah mencapai tiga rekod dan mengelak daripada mencipta rekod keempat memenuhi ramalan RAHMAN sebagai Perdana Menteri UMNO terakhir di Malaysia.
“Kemungkinan beliau memenuhi ramalan RAHMAN yang menghantui Najib dan menyebabkan PRU-13 ditangguh sepanjang dua tahun lalu, termasuk yang terbaru untuk membubarkan Parlimen pada 22 Februari.
“Watak Hamlet Najib “To Be Or Not To Be” amat luar biasa mengambilkira gambaran hebat yang dipaparkan propagandis UMNO/BN bukan sahaja mengenai kesediaan tetapi keyakinan UMNO/BN akan cemerlang pada PRU-13,” katanya dalam kenyataan media Pengiraan Detik 48 Hari ke PRU-13, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Parlimen sepatutnya dibubarkan semalam bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan dengan pencalonan pada 16 Mac dan pengundian pada 30 Mac.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan kesilapan demi kesilapan yang terjadi, Najib kurang yakin dengan persediaan PRU-13 dan kemampuan untuk melepasi cabaran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Januari lalu.
“22 Februari sudah berlalu tanpa pembubaran Parlimen, dengan spekulasi tarikh pembubaran dianjak antara 15 dan 21 Mac dengan tarikh pembuangan undi pada minggu pertama atau kedua April (dijangkakan pada minggu kedua supaya ramai pengundi Cina di negeri lain tidak dapat membuang undi kerana mereka dijangka tidak pulang ke kampung sekali lagi selepas pulang minggu sebelumnya bagi menyambut perayaan Qing Ming yang akan diadakan pada 5 April).
“Saya dimaklumkan pertama kali mengenai pembubaran Parlimen pada 22 Februari selepas mesyuarat peringkat tertinggi strategis politik Perdana Menteri di Putrajaya pada hari yang sama, dan lima minggu selepas itu, ia menjadi tarikh yang terus dispekulasikan sebagai tarikh paling “hangat” untuk pembubaran Parlimen PRU-13,” katanya.
Menurut Kit Siang, pada Malaysia Strategic Outlook Conference ke-15 mantan Perdana Menteri paling lama serta menjadi kuasa sebenar di belakang takhta UMNO secara terbuka merumuskan “ujian Mahathir” untuk Najib pada PRU-13 iaitu tidak cukup bagus untuk Najib sekadar menang dan sepatutnya melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin jika UMNO/BN tidak memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Bintang Korea K-Pop yang diharap menjadi “senjata rahsia” untuk PRU-13, sekarang “membunuh” niat Najib membubarkan Parlimen pada 22 Februari kerana pelbagai bencana politik dan perhubungan awam daripada jemputan bernilai RM3.5 juta untuk persembahan Psy dan Gangnam Style di Pulau Pinang pada 11 Februari lalu.
“Banyak bencana, termasuk “3 Ya untuk Psy, 3 Tidak untuk BN”, kemelut lima minit “gaul yee sang”, Psy menolak untuk menari Gangnam 1Malaysia Style dengan Najib, Rosmah dan Ng Yen Yen serta dakwaan terdapat ancaman bunuh untuk Psy dan Najib yang tidak masuk akal,” katanya.
Beliau berkata, sebenarnya, daripada semua negeri di Semenanjung, Najib paling risau mengenai Johor yang memenangkan hanya 24 Ahli Parlimen atau 30% daripada semua 85 Ahli Parlimen BN pada PRU 2008.
“Ini sebabnya Johor, bersama Sabah dan Sarawak, dianggap negeri “deposit tetap” UMNO/BN dan siapa yang akan menjadi “dalang” negeri yang akan dapat menentukan siapa berjaya menawan Putrajaya.
“Pada pilihan raya umum 2008, Johor kekal menjadi kubu kuat UMNO/BN walaupun calon UMNO/BN kalah teruk di Sepenanjung, hampir kalah semua di Kelantan kecuali Gua Musang dan Jeli, MCA dan Gerakan kalah sepenuhnya di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan MCA kalah sepenuhnya di Selangor kecuali Pandan (Ong Tee Keat)
“Pada Pilihan Raya Umum 2008, pemimpin UMNO/BN sangat angkuh dan bongkak mengisytiharkan Johor, Selangor dan Melaka akan menjadi negeri “pembangkang sifar”.
.
Pada PRU-12, BN terlepas di Selangor kepada Pakatan Rakyat dengan memenangi hanya 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri; tewas lima daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri di Melaka sementara Pakatan Rakyat memenangi enam daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di Johor.
“Pemimpin UMNO/BN sekali lagi bercakap mengenai “pembangkang sifar” di Johor pada PRU-13, sepertimana pada PRU 1995 dan 1999, dan “pembangkang sifar” menjadi kenyataan pada PRU 2004.
“Sama ada Johor akan kembali menjadi negeri “sifar pembangkang” akan ditentukan oleh pengundi Johor, bukannya pemimpin UMNO/BN, negeri atau negara,bukan juga oleh Najib atau Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman. – Roketkini.com
Seterusnya >>>

Histeria Soi Lek kian menjadi-jadi


KUALA LUMPUR: Amat menyedihkan untuk melihat menjadi-jadinya penyimpangan dan histeria Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ke tahap merayu ahli MCA memberikan tepukan kepada ucapannya dan pemimpin parti itu lain dalam acara terbuka seperti “makan malam mega” yang diadakan di seluruh negara.
Demikian dinyatakan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan semalam sebagai respons kepada Chua yang membuat rayuan itu ketika majlis makan tengah hari sambutan ulangtahun MCA ke-64 Wilayah Persekutuan di Kepong kelmarin.

Katanya, tetapi apa yang Chua dapat daripada ahli MCA yang hadir hanyalah sambutan yang dingin dan tidak sepenuh hati meskipun berkali-kali merayu tepukan untuk ucapannya.

Malah, ujarnya Chua cuba untuk mengelirukan ahli MCA untuk mengukuhkan rayuannya  meminta ahli MCA untuk mencontohi DAP dengan mendakwa bahawa apabila pemimpin DAP  bercakap atas pentas, ahli DAP di bawah akan menyambut tanpa henti dengan tepukan untuk memberikan gambaran apa yang dikatakan adalah betul.

Begitu juga, katanya Chua meminta ahli MCA untuk melakukan perkara yang sama dengan memberikan tepukan gemuruh kepada pemimpin MCA ketika mereka bercakap atas pentas untuk mewujudkan keyakinan buat MCA.

“Pertama sekali, izinkan saya nyatakan sepanjang 47 tahun di dalam politik, saya tidak pernah merayu supaya ucapan saya diberikan tepukan dan sorakkan dan begitu juga dengan semua pemimpin DAP yang lain,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Kedua, jelasnya jawapan mudah kepada Chua adalah bukan sahaja orang biasa, tetapi juga ahli MCA yang berasa marah dan terasing dengan lakonan yang dimainkan oleh kepimpinan MCA sebagai penyebar pembohongan dan ahli nujum mala petaka bagi membantu Umno untuk menakut-nakutkan pengundi Cina bagi menyokong Barisan Nasional dalam Pilihan raya Umum ke-13.

Tambahnya, bukan saja kebanyakan rakyat Malaysia yang berfikir, sama ada orang Cina, Melayu, India, Kadazan dan Iban, tetapi majoriti besar ahli MCA yang baik, yang dapat melihat di sebalik sifat penakut, tidak jujur dan kepura-puraan politik penipuan dan pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin MCA dan Umno.

Ini, katanya dengan pemimpin MCA yang agenda utama mereka adalah untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dengan penipuan bahawa DAP adalah pak turut PAS sementara pemimpin Umno melakukan perkara yang sebaliknya iaitu menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan menuduh PAS adalah boneka DAP.

Menurutnya lagi, sama ada DAP adalah pak turut PAS atau PAS adalah boneka DAP, hanya salah satu yang mungkin kerana keduanya tidak mungkin betul.

“Dan dalam kes ini, kedua-dua propaganda bercanggahan MCA dan Umno adalah salah kerana kedua-dua adalah penipuan dan pembohongan.

“Inilah yang pada dasarnya membezakan Pakatan Rakyat daripada Barisan Nasional. Barisan Nasional hanya perikatan dari segi nama namun Umno memaksakan budaya politik ‘Listen, listen, listen’ dengan Umno sebagai hagemoni yang tidak dipertikaikan dalam BN,” katanya.
Seterusnya >>>

Dasar transformasi Najib gagal: Kerajaan BN patut ditukar pada PRU-13


KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kerajaan Persekutuan yang diperintah Barisan Nasional (BN) patut ditukar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti kerana kegagalan slogan dan dasar transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Katanya, ini termasuk sikap berpura-pura Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat pendatang tanpa izin di Sabah, risiko tinggi Malaysia dalam rasuah pertahanan dan kedudukan kebebasan akhbar paling buruk.
Beliau berkata, hampir setiap hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan bukti kegagalan slogan dan dasar transformasi Najib termasuk siasatan RCI Sabah yang sudah masuk minggu kedua pendengaran awam.
“Rakyat Sabah dan Malaysia bimbang kerana RCI tidak akan mampu menggali kebenaran hingga ke dasar mengenai tindakan menghalalkan pendatang tanpa izin di Sabah menyebabkan penduduk negeri itu meningkat lima kali ganda daripada 600,000 pada 1970 kepada 3.3 juta sekarang mengikut komen seorang pembaca Malaysiakini.
“Bagaimanapun kecacatan sebenar RCI adalah lapan syarat yang ditetapkan tidak termasuk mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab melakukan pengkhianatan terhadap negara di dalam skandal “kewarganegaraan untuk undi” di Sabah – atau secara terperinci menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 71 Hari ke PRU-13, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, RCI Sabah akan berakhir dengan sia-sia melainkan RCI Sabah dimasukkan syarat tambahan untuk menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC di Sabah.
Bagaimanapun, katanya, adakah Najib Razak bersedia memasukkan syarat kesembilan dalam RCI Sabah bagi menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC dan mencadangkan tindakan diambil terhadap pengkhianat negara.
“Kedua, pemantauan ketelusan antarabangsa yang terkemuka melaporkan Malaysia berada pada kedudukan berisiko tinggi rasuah dalam perbelanjaan pertahanan dan operasinya dan meletakkan Malaysia seiring dengan negara seperti Bangladesh, Pakistan, China, Russia, Kazakhstan dan Jordan.
“Di dalam Indeks Anti-Rasuah Pertahanan Kerajaan, analisis global pertama terhadap risiko rasuah di dalam pertahanan seluruh dunia yang dikeluarkan Transparency International UK semalam, Malaysia mendapat D- di dalam kumpulan antara A hingga F.
“Kedudukan itu membuktikan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) gagal meletakkan antara keutamaan tertinggi memerangi rasuah, memandangkan indeks anti-rasuah terbaru selepas kajian selama dua tahun dilakukan antara Julai 2011 dan November 2012 – memberikan tamparan hebat kepada GTP dan NKRA Najib yang berlangsung sejak empat tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, di kalangan negara Asean, Singapura dan Thailand, pencapaian Malaysia kedua-duanya mendapat D+, manakala Indonesia dan Filipina di belakang Malaysia dalam kumpulan E.
Setiap kerajaan dinilai dalam lima bidang berkemungkinan ada risiko rasuah pertahanan – politik, kewangan, kakitangan, risiko operasi dan perolehan. Malaysia memperoleh mata terendah di dalam risiko kewangan dan operasi iaitu 25 dan 10 peratus daripada jumlah 100 peratus.
Laporan bahagian negara ke atas Malaysia mendapati “Kelemahan rasuah politik adalah tinggi, memandangkan tidak terdapatnya jawatankuasa pertahanan dan keselamatan dan peranan Parlimen di dalam sektor itu pula terhadap pada sekadar meluluskan belanjawan agregat dan umum.
“Ketiga, Malaysia menjunam ke kedudukan terendah dalam sejarah yakni ke-145 di dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2013 – paling buruk sejak Reporters Without Border (RSF) memulakan indeks tahunan itu pada 2002.
“Di bawah tajuk yang tidak menarik iaitu “Cambodia and Malaysia: drift towards authoritarianism” bagi Asia Tenggara, RSF menyatakan kedudukan kebebasan akhbar Malaysia 2013 “mempamerkan rekod menyedihkan iaitu jatuh 23 pada kedudukan lebih rendah berbanding yang diperoleh pada 2002”, kerana “kempen menekan kerajaan, seperti yang digambarkan melalui tindakan keras terhadap protes Bersih 3.0 pada April tahun lalu dan usaha penapisan, berterusan melemahkan kebebasan asas dalam hak memperoleh maklumat,” katanya.

– Roketkini.com
Seterusnya >>>

Pecahkan PR: Senjata terakhir selamatkan Umno BN

Senjata terakhir untuk menyelamatkan perikatan UMNO/BN daripada dihantar ke bangku Pembangkang ialah dengan mewujudkan perpecahan di dalam Pakatan Rakyat dengan memisahkan PAS dan DAP.
Tindakan itu mencerminkan tahap terdesaknya pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN mengenangkan peluang mereka untuk mempertahankan Putrajaya dalam PRU13 yang semakin hampir sehingga keterdesakkan itu terpapar di dalam harapan dan strategi mereka.

Salah seorang tukang putar media UMNO/BN semalam menganjurkan bahawa “Pakatan parties may go own way”, berdasarkan andaian “Dengan peluang menawan Putrajaya semakin tipis, PAS dan DAP mungkin mahu merampas negeri yang mereka suka”.

Beliau menyatakan:

“IS there a case to be made that DAP and Pas may be privately ditching the idea of taking over Putrajaya and are preparing themselves to keep the spoils of March 2008 instead?
“DAP, for instance, may want to be the biggest opposition group in the land, with one or two states in its hands, and Pas with its continued hold on Kelantan.
“This is especially so when the prognosis of Pakatan Rakyat's performance for the next general election is generally believed to be less sterling than what supporters are made to believe.
“Apart from hardcore and partisan supporters, sober political observers, from all sides of the political divide, share a rather common reading that the chances of Pakatan taking over Putrajaya in the 13th general election are rather slim. It is not impossible, but it is slim.
“Or, to put it another way, there is a strong likelihood that Barisan Nasional will be returned to power at the federal level.”
Pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN yang merupakan mangsa fantasi mereka sendiri memandangkan “pemerhati politik yang waras” dan bebas memikirkan sungguhpun UMNO/BN ketika ini menikmati kelebihan, terdapat peluang yang keadaan mungkin berubah seaktu tempoh berkempen lalu memberikan Pakatan Rakyat kemenangan mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya ke-13.

Kita tidak perlu merujuk kepada “kemingkinan tinggi” yang diramalkan ketua ekonomi Bank Islam yang telah digantung Azrul Azwar Ahmad Tajuddin di Singapore Regional Outlook Forum awal bulan ini bahawa Pakatan Rakyat berkemungkinan membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti 28 kerusi – Barisan Nasional pula berkemungkinan memenangi hanya 97 dan 107 kerusi daripada 222 kerusi parlimen dalam PRU13.

Ini kerana Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Osman memberikan senario yang hampir serupa seperti Azrul beberapa hari sebelum Singapore Regional Outlook Forum, menyatakan secara terbuka Pakatan Rakyat boleh menang dengan majoriti tipis 5% hingga 10% kerusi Parlimen atau majoriti daripada 12 hingga 22 kerusi.

Pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN tidak mungkin tidak sedar akan keputusan tinjuan terbaru yang secara amnya menunjukkan himpunan Pakatan Rakyat meningkatkan sokongan dan kekuatan menjelang PRU13, dengan peluang dan kemampuan untuk mengubah segalanya ketika kempen pilihan raya.

Tiga hari lalu, pengarah Pusat Kajian Demokras dan Plihan Raya (Umcedel) Mohamad Redzuan mengatakan bahawa “mustahil” untuk BN mendapat semula dua pertiga majoriti di parlimen, menjangkakan BN mengekalkan status quo dalam PRU13.

Keputusan undian terbaru yang dijalankan Umcedel antara 26 Disember dan 11 Januari, bagaimana pun, menunjukkan peluang yang lebih gelap buat BN dalam PRU13, dengan perbeazan antara mereka yang percaya BN mampu menewaskan PR dalam PRU13 berkurangan daripada 25% pada Disember 2011 kepada 5% pada Januari 2013.

Pertama sekali, responden yang percaya Pakatan Rakyat akan memperoleh Putrajaya dalam PRU13 meningkat dari 18% pada Disember 2011 kepada 21% pada April 2012 kepada 30% pada September 2012 dan 37% pada Januari 2013.

Sebaliknya, responden yang percaya bahawa Barisan Nasional boleh memenangi PRU13 telah menurun dari 43% pada Disember 2011 kepada 49% pada April 2012 kepada 44% pada September 2012 dan 42% pada Januari 2013.

Responden yang tidak membuat keputusan atau tidak pasti siapa yang boleh memenangi PRU13 jatuh dari 39% pada Disember 2011 kepada 30% pada April 2012 dan 26% pada September 2012 dan 21% pada Januari 2013.

Semua yang diperlukan untuk PR menewaskan BN di dalam perlumbaan ke Putrajaya adalag untuk memenangi lima peratus responden yang tidak membuatr keputusan atau tidak pasti, iaitu sebanyak 21% pada Januari 2013.

Tambahan pula, tinjauan terkini Umcedel juga menunjukkan popularity Najib dan Anwar Ibrahim sangat hamper, dengan hanya satu peratus yang membezakan Najib dengan 43 peratus dan 42 peratus Anwar Ibrahim sebagai “yang paling layak menjadi Perdana Menteri”.

Tinjauan  Umcedel telah mengesahkan bahawa pandangan undian Merdeka Centre terbaru dalam dua minggu terakhir Disember yang mendapatru kedudukan popularity Najib telah jatuh ke tahap paling rendah untuk untuk keseluruhan tahun itu – 63% pada Disember 2012 jika dibandingkan dengan 69% pada Febuari 2012 – sementara hanya 52 perartus pengundi mengatakan negara sedang menuju ke arah yang betul, paling rendah sejak Mei 2010.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mempunyai kedudukan undian  yang lebih baik sebelum pilihan raya umum Mac 2008 berbanding Najib menjelang pilihan raya umum ke-13 akan tetapi itu tidak menyelamatkan jawatan Abdullah.

Kedudukan populariti Abdullah menjunam daripada 91% selepas pilihan raya umum 2004 kepada 61% pada Disember 2007 (yang mana masih lagi lebih tinggi daripada populariti Najib pada kedudukan 52% pada Disember 2012) manakala 63% pengundi merasakan negara menuju ke arah yang betul pada Disember 2007 (dibandingkan dengan 52% pada Disember 2012).

Walaupun kedudukan Najib telah menjunam ke tahap paling rendah untuk tahun lalu, Merdeka Centre juga melaporkan bahawa tahap tidak puas hati  telah sampai ke tahap tertinggi di dalam empat tahun pemerintahan Najib, pada 30% berbanding 28% pada bulan Oktober 2012 dan 16% pada bulan Mei 2009.

Patut diberi perhatian juga penemuan Merdeka Centre bahawa dikala kedudukan sokongan terhadap Najib tergelincir 63 peratus, pemerintahannya dan Barisan Nasional telah mengekori jauh di belakang 47 peratus dan 45 peratus.

Di dalam keadaan ini, pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN hanya membuat jangkaan tanpa asas ketika mereka membuat pendirian dan mengambil kedudukan penuh keyakinan bukan sahaja berkenaan kemenangan, tetapi juga menang besar dalam PRU13 – dengan mencipta fantasi bahawa Pakatan Rakyat akan berpecah dengan DAP dan Pas menarik diri, dan terus menghadiahkan UMNO/BN jalan mudah dalam pilihan raya akan datang.

Kita harus menjangkakan UMNO/BN bakal memperbanyakkan politik penipuan dan pembohongan dengan menambah kempen pengecut memberitahu orang Melayu dan umat Islam pembohongan bahawa PAS merupakan boneka DAP pada waktu yang sama menipu orang Cina bahawa DAP hanyalah pelawak buat PAS – strategi bercanggah, dua muka dan tidak jujur.

Apa pun perbezaan kita di dalam Pakatan Rakyat, sama ada DAP, PKR dan PAS mempunyai perbezaan ataupun tiada tiga parti komponen di dalam Pakatan Rakyat kerana semua telah menyatu menjadi satu parti, kami bertiga tetap beriltizam dengan matlamat bersama seperti mana yang termaktub di dalam Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan pelbagai Pengisytiharan dan Kenyataan Dasar Bersama.

Kami menolak politik hagemoni, kebencian kaum, pelampau agama, rasuah dan kronisme.

Kami komited untuk menegakkan perkara asas di dalam Perlembagaan, prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, hak asasi manusia, tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa bagi membangunkan Malaysia yang harmoni, berdaya saing, makmur dan progresif yang mana setiap rakyat Malaysia boleh berbangga sebagai rakyat Malaysia walau berada di mana-mana pun ceruk dunia.

Rakyat Malaysia dengan itu tidak boleh membiarkan UMNO/BN berjaya dalam politik Machiavellian penipuan dan pembohongan, dengan tidak bertanggungjawab bermain api perkauman dan agama, yang mana untuk pertama kali di dalam 55 tahu sejarah negara, akan wujudnya Kerajaan Persekutuan rakyat, dari rakyat, untuk rakyat dan buat mereka di Putrajaya membuka lembaran baru dalam pembinaan bangsa Malaysia – fasa kedua Merdeka untuk membebaskan rakyat Malaysia daripada penindas dalam negara.
Seterusnya >>>

BN terdesak, PR semakin cerah ke Putrajaya


KUALA LUMPUR, 25 JAN: UMNO/BN pasti akan menggunakan senjata terakhirnya untuk memecahbelahkan perpaduan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) terutama berusaha memisahkan kesepaduan PAS dan DAP sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan itu menggambarkan betapa terdesaknya pemimpin UMNO/BN, propagandis dan tukang putar mereka setelah merasakan peluang untuk mempertahankan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin tergugat
“Semalam tukang putar media UMNO/BN mendakwa “Pakatan parties may go own way”, berdasarkan andaian “dengan peluang menawan Putrajaya semakin tipis, PAS dan DAP mungkin mahu merampas negeri yang mereka suka”.
“Pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN adalah mangsa fantasi mereka sendiri kerana “pemerhati politik yang waras” dan bebas berpendapat peluang parti itu berubah ketika tempoh berkempen dan memberikan Pakatan Rakyat kemenangan untuk mengambil alih Putrajaya pada PRU-13,” katanya dalam kenyataan media mengeni Pengiraan Detik 77 hari ke PRU-13, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau tidak perlu merujuk kepada “kemingkinan tinggi” yang diramal Ketua Ekonomi Bank Islam yang digantung, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin di Singapore Regional Outlook Forum, awal bulan ini bahawa Pakatan Rakyat mungkin membentuk kerajaan Persekutuan dengan majoriti 28 kerusi, manakala BN mungkin memenangi hanya 97 dan 107 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU-13.
Sebelum itu, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman juga memberi senario yang hampir sama dengan Azrul Azwar apabila menyatakan secara terbuka Pakatan Rakyat boleh menang dengan majoriti tipis antara lima dan 10 peratus kerusi Parlimen atau majoriti antara 12 dan 22 kerusi.
Beliau berkata, pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN tidak mungkin tidak sedar dengan tinjauan terbaru yang menunjukkan himpunan Pakatan Rakyat semakin meningkatkan sokongan dan kekuatan menjelang PRU-13, dengan peluang dan kemampuan untuk mengubah segalanya ketika kempen nanti.
“Tiga hari lalu, Pengarah Pusat Kajian Demokras dan Pilihan Raya (Umcedel), Mohamad Redzuan mengatakan “mustahil” untuk BN mendapat semula majoriti dua pertiga di Parlimen, sebaliknya menjangkakan BN hanya mampu mengekalkan status quo pada PRU-13.
“Keputusan undian terbaru yang dijalankan Umcedel antara 26 Disember dan 11 Januari lalu, menunjukkan peluang lebih gelap buat BN pada PRU-13, dengan perbezaan antara mereka yang percaya BN mampu menewaskan PR berkurangan daripada 25% pada Disember 2011 kepada 5% pada Januari 2013.
“Pertama sekali, responden percaya Pakatan Rakyat akan memperoleh Putrajaya pada PRU-13 meningkat daripada 18% pada Disember 2011 kepada 21% pada April 2012 kepada 30% pada September 2012 dan 37% pada Januari 2013.
“Sebaliknya, responden yang percaya BN boleh memenangi PRU-13 menurun daripada 43% pada Disember 2011 kepada 49% pada April 2012 kepada 44% pada September 2012 dan 42% pada Januari 2013.
“Responden yang tidak membuat keputusan atau tidak pasti siapa yang boleh menang PRU-13 juga jatuh daripada 39% pada Disember 2011 kepada 30% (April 2012) dan 26% (September 2012) dan 21% pada Januari 2013.
“Semua yang diperlukan untuk PR menewaskan BN di dalam perlumbaan ke Putrajaya adalah untuk memenangi lima peratus responden yang tidak membuat keputusan atau tidak pasti iaitu sebanyak 21% pada Januari 2013,” katanya.

Menurut Kit Siang, tinjauan terkini Umcedel juga menunjukkan populariti Najib dan Anwar Ibrahim sangat hampir dengan hanya perbezaan satu peratus iaitu Najib 43 peratus dan Anwar 42 peratus sebagai “yang paling layak menjadi Perdana Menteri”.
Katanya, tinjauan Umcedel mengesahkan pandangan undian Merdeka Centre terbaru pertengahan Disember lalu mendapati populariti Najib jatuh ke tahap paling rendah untuk keseluruhan tahun itu iaitu 63% pada Disember 2012 berbanding 69% pada Febuari 2012 sementara 52 peratus pengundi mengatakan negara sedang menuju ke arah yang betul, paling rendah sejak Mei 2010.
“Walaupun kedudukan Najib menjunam ke tahap paling rendah tahun lalu, Merdeka Centre juga melaporkan tahap tidak puas hati  sampai ke tahap tertinggi dalam empat tahun pemerintahan Najib, pada 30% berbanding 28% pada Oktober 2012 dan 16% pada Mei 2009.
“Pemimpin, propagandis dan tukang putar UMNO/BN pula membuat jangkaan tanpa asas mengatakan BN akan menang besar pada PRU-13 dan mencipta fantasi bahawa Pakatan Rakyat akan berpecah dengan DAP dan PAS menarik diri, dan terus menghadiahkan UMNO/BN jalan mudah pada pilihan raya umum nanti,” ujarnya.
Beliau berkata, kita menjangkakan UMNO/BN akan memperbanyakkan politik penipuan dan pembohongan dengan menambah kempen pengecut memberitahu orang Melayu dan umat Islam pembohongan bahawa PAS adalah boneka DAP dan pada waktu yang sama menipu orang Cina bahawa DAP hanya pelawak buat PAS.
Katanya, apa pun perbezaan dalam Pakatan Rakyat, DAP, PKR dan PAS, semuanya kini menjadi satu parti dan beriltizam dengan matlamat bersama seperti yang termaktub di dalam Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan pelbagai Pengisytiharan dan Kenyataan Dasar Bersama.
“Kami menolak politik hagemoni, kebencian kaum, pelampau agama, rasuah dan kronisme.
Sebaliknya komited menegakkan perkara asas di dalam Perlembagaan, prinsip keadilan, kebebasan, hak asasi manusia, tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa bagi membangunkan Malaysia yang harmoni, berdaya saing, makmur dan progresif yang mana setiap rakyat Malaysia boleh berbangga sebagai rakyat Malaysia walaupun berada di mana ceruk dunia.
“Rakyat Malaysia tidak boleh membiarkan UMNO/BN terus dengan politik Machiavellian, menipu dan pembohong, tidak bertanggungjawab dan bermain api perkauman dan agama, sebaliknya sejarah akan tercipta selepas 55 tahun untuk mewujudkan Kerajaan Persekutuan rakyat, daripada rakyat, untuk rakyat dan membuka lembaran baru di Putrajaya membina bangsa Malaysia yakni fasa kedua Merdeka untuk membebaskan rakyat daripada penindasan di negara sendiri,” tambahnya

– Roketkini.com.
Seterusnya >>>

Banyak lagi penipuan, pembohongan UMNO/BN untuk menang PRU-13


KUALA LUMPUR : Rakyat Malaysia diingatkan tidak mengalihkan perhatian daripada isu penting reformasi dan pembaharuan nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti kerana UMNO/BN pasti akan menghidangkan lebih banyak lagi penipuan.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) pasti akan dihujani pelbagai penipuan dan pembohongan pemimpin UMNO/BN, propagandis dan media perdana mereka tanpa sedikit pun rasa penyesalan atau keinsafan.
“Mereka tanpa rasa hormat terhadap kesengsaraan dan kesedihan keluarga dengan apa yang terjadi pada Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Sibu, Wong Ho Leng, isterinya, Irene Change dan lima anak mereka.
“Tindakan itu benar-benar keji dan hina kerana Irene tidak pernah diwawancara merungut mengenai parti dan pemimpin, namun kenyataan palsu itu diterbitkan kononnya mereka menyelar parti dan pemimpin sebagai tidak berhati perut mengenai rawatan “tumor otak” Ho Leng.
“Malah mereka juga menyatakan yang Ho Leng mengumpul RM10 juta untuk belanja pilihan raya tetapi hanya RM4 juta yang dibelanjakan sementara selebihnya RM6 juta dirampas DAP Sarawak dan Ibu Pejabat DAP.
“Ho Leng juga menyatakan laporan itu palsu dan rekaan semata-mata mengenai Irene, “tiada satu ayat pun yang benar”, dakwaan RM10 juta juga tidak munasabah dan DAP membelanjakan RM1.3 juta untuk menghasilkan video klip Gangnam baru-baru ini juga tidak betul,” katanya Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dalam kenyataan media mengenai pengiraan detik 78 hari ke PRU-13, semalam.
Beliau berkata, UMNO/BN akan menghidangkan “penipuan, penipuan dan banyak lagi penipuan” menjelang PRU-13 nanti, sebab itu rakyat Malaysia, termasuk pemimpin, ahli dan penyokong DAP dan Pakatan Rakyat, diminta tidak mengalihkan perhatian daripada isu penting itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sukar menangguh lagi pilihan raya itu.
Menurutnya, antara isu penting ialah agenda menghapuskan rasuah dan mengakhiri pengaliran keluar modal haram; selain menjadikan Malaysia selamat daripada jenayah dan memulihkan kebimbangan rakyat pelancong dan pelabur.
“Selain profesionalisme institusi nasional utama; merombak sistem pendidikan untuk menjadikan Malaysia berdaya saing, makmur dan progresif; serta memupuk perpaduan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau tempat untuk menjadikan Malaysia model antarabangsa masyarakat berbilang kaum dan agama sebuah negara demokrasi berjaya.
“Pemimpin UMNO/BN akan menggunakan penipuan dalam kempen pilihan raya umum nanti kerana terdesak dan merasakan mereka mungkin dikeluarkan daripada terus menguasai Putrajaya setelah 55 tahun memerintah.
“Itu sebabnya pemimpin dan propagandis UMNO/BN semakin galak dengan politik kebencian dan konflik, mengapi-apikan perpecahan kaum dan agama walaupun perbuatan itu bercanggah dengan dasar 1Malaysia Najib yang mahukan rakyat Malaysia menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu kemudian barulah kaum, agama, status sosio-ekonomi dan tempat,” katanya.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mempertikaikan kelayakan kewarganegaraan satu juta bukan Melayu yang diberi kewarganegaraan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman sebagai sebahagian daripada Persetujuan Merdeka dan “kontrak sosial” sebelum Merdeka pada 1957.
“UMNO/BN mahu rakyat Malaysia terus bertelingkah mengenai masa lalu, sebaliknya, Pakatan Rakyat mahu rakyat bersatu untuk membina masa depan yang toleran, makmur dan progresif  supaya mereka boleh berdiri sama tinggi dengan masyarakat antarabangsa.
“Rakyat Malaysia sepatutnya maju ke hadapan dengan impian dan harapan baru, tidak membiarkan diri terikat dengan belenggu politik penipuan dan pembohongan juga politik keraguan antara kaum dan permusuhan agama,” katanya.

– Roketkini.com
Seterusnya >>>

Lubang mana lagi Umno BN gali sebelum PRU13

Semalam, saya telah meminta agar diakhiri politik penipuan dan pembohongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, yang akan diadakan paling lewat sekitar 156 hari lagi pada 27 Jun, akan tetapi dijangkakan akan berlangsung kurang daripada 70 hari.
Saya merujuk kepada kalahnya lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia di dalam saman fitnah, kali ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat teguran daripada Hakim V.T. Singham yang mendapati Utusan Melayu (M) Bhd dan ketua editornya Abdul Aziz Ishak bersalah merosakkan reputasi Anwar dan mendedahkan dirinya kepada cemuhan.

Di dalam penghakimannya, Singham menekankan bahawa wartawan dan editor perlu berhati-hati dengan apa yang mereka tulis supaya tidak memasukkan komen yang mungkin menimbulkan keraguan kepada seseorang.

Hakim berkata: “Akhbar sepatutnya tidak mempunyai kuasa yang lebih besar dalam menarik perhatian atau mengelirukan fikiran rakyat apabila dibandingkan dengan reputasi individu.


“Adalah penting bagi wartawan, editor dan penerbit mengambil langkah berhati-hati sebelum sebarang artikel yang cenderung merosakkan reputasi individu diterbitkan. Rencana sebarangan yang mengandungi sindiran atau tohmahan tanpa pengesahan hendaklah dielakkan.”


Akan tetapi nasihat hakim tidak mempunyai sebarang kesan kepada media perdana UMNO/BN dan begitu juga permintaan saya agar diakhiri segala politik penipuan dan pembohongan , terutamanya media perdana UMNO/Barisan Nasional sepatutnya memelihara peraturan dan etika kewartawanan dan berhenti menjadi “Akhbar Tipu”.

Ini ditunjukkan oleh satu lagi penipuan dan pembohongan melampau media perdana UMNO/BN hari ini – kali ini New Straits Times dan laporan palsunya bertajuk “Wife of ailing MP angry at DAP” (ms. 6) yang tidak lain hanyalah penipuan tanpa secubit pun kebenaran.

Memetik daripada satu lagi portal berita yang jahat, NST mendakwa Irene Chang, isteri kepada Ahli Parlimen DAP Sibu dan Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, “dikatakan mengkritik parti kerana gagal memberikan bantuan kewangan kepada suaminya, yang menghidap tumor otak” malahan memetiknya sebagai berkata “kepimpinan parti tidak berhati perut” dan memarahi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menerbitkan penipuan dan pembohongan telah pun melanggar kebanyakan etika dan peraturan asas kewartawannan, akan tetapi untuk mereka-reka penipuan dan pembohongan bagi memperoleh keuntungan politik dan tidak mempedulikan kesengsaraan yang mereka wujudkan kepada individu yang telah pun berada dalam keadaan tertekan seperti mana yang dilakukan NST kepada Wong Ho Leng dan Irene Chang  adalah perbuatan yang durjana dan hina, hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan atau bukan manusia saja mampu membenarkan tindakan sedemikian.

Apa yang menjadikan tindakan NST tidak dapat dimaafkan adalah Irene Chang telah meletakkan penjelasan berikut di Facebooknya semalam:

“Saya telah dimaklumkan mengenai rencana tertentu yang diposkan secara atas talian yang melaporkan saya merungut terhadap kempimpinan parti kami.


“Saya benar-benar marah. Tiada kebenaran di dalam artikel itu.


“Saya tidak pernah diwawancara atau merungut terhadap parti kami atau sesiapa pun. Lebih penting lagi, tidak pernah saya rasa, walau sesaat bahawa saya mempunyai sebab untuk merungut berkenaan parti kami atau sesiapa khususnya.


“Hakikatnya, selepas keadaan kesihatan suami saya didiagnosis, saya begitu risaukan keadaan kesihatannya berbanding merisaukan sama ada parti akan memberikan bantuan kewangan atau tidak.


“Sungguhpun begitu, saya ingin jelaskan bahawa semenjak pemimpin parti kami dimaklumkan tentang keadaan suami saya, setiap seorang daripada mereka, benar-benar memberikan sokongan dan mengambil berat.


“Suami saya dan saya, sebenarnya merasakan kami benar-benar bertuah mengenali mereka, yang melangkaui peranan sebagai rakan seperjuangan politik menjadi sahabat yang sangat mengambil berat.


“Keluarga saya dan saya begitu amat tersentuh dengan seruan mendapat sokongan untuk suami saya oleh Setiausaha Agung,  YAB Lim Guan Eng, sebuah penghargaan mengenainya telah diposkan oleh anak sulung kami, Suzanne Gail Wong, di dalam facebooknya pada 14 Januari 2013.



“Oleh itu, adalah tidak adil untuk membiarkan rencana itu disebarkan supaya orang ramai menghakimi pemimpin parti kami, parti kami dan diri saya, tanpa sebarang asas langsung. Saya dengan itu mengecam sekeras-kerasnya rencana itu kerana setiap ayatnya adalah penipuan.”

Soalan yang saya ingin tujukan kepada pemimpin UMNO/BN hari ini ialah ke dasar tanpa etika dan lubang mana lagi yang pemimpin UMNO/BN dan media perdana mereka akan gali sebelum PRU13?
Seterusnya >>>