KUALA
LUMPUR, 5 MAC: Perangai dan gangguan samseng 20 aktivis UMNO/Barisan
Nasional (BN) yang mengibarkan bendera terhadap ceramah UBAH Dream Truck
di Teluk Intan, Perak, yang dihadiri 4,000 orang membuktikan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menandatangani Ikrar Integriti
Pilihan Raya Transparency International-Malaysia (TI-M), 20 Februari
lalu tidak berniat menjunjung ikrar berkenaan.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, semua empat prinsip yang
Najib bersumpah untuk menjunjung ikrar itu semuanya dilanggar dengan
gangguan samseng UMNO/BN menyebabkan ceramah DAP UBAH, terganggu dan
penduduk Teluk Intan kecewa kerana polis gagal mengawal dan
mententeramkan keadaan.
Katanya, empat prinsip berkenaan ialah kebenaran, integriti, tatalaku
beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah
atau terbabit dengan amalan rasuah dalam apa jua cara; mendukung dan
memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara keseluruhan; tadbir
urus yang baik serta ketelusan; dan mematuhi semua undang-undang dan
peraturan yang berkaitan Malaysia.
Beliau berkata, jika Perdana Menteri boleh terang-terangan melanggar
etika, moral dan undang-undang selepas menandatangani ikrar itu, lebih
ramai rakyat Malaysia akan dapati Najib dan pemimpin UMNO/BN tidak boleh
dipercayai langsung, bukan saja apa yang mereka kata, tetapi juga apa
yang mereka turunkan tandatangani.
“Tindakan samseng itu menunjukkan UMNO/BN begitu terdesak walaupun
pemimpin dan ramalan terbaru Asian Strategy and Leadership Institute
(ASLI) mendakwa BN akan menang dengan antara 123 dan 135 kerusi iaitu
majoriti antara 24 dan 48 kerusi Parlimen pada PRU-13 nanti.
“Semalam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pula menyatakan Najib
akan membawa negara ke puncak sekiranya BN kembali berkuasa pada
PRU-13,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 38 Hari
ke PRU-13, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata,
tidak ramai rakyat Malaysia yang percaya kerana Mahathir sudah
berkali-kali secara terbuka mengutuk Najib sebagai pemimpin “lemah”
malah pada 31 Januari lalu menuntut Najib memberi laluan kepada Timbalan
Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri
sekiranya Najib gagal mendapatkan mandat lebih kuat pada PRU-13
berbanding PRU 2008.
“Tiada siapa, kecuali Mahathir yang menjangka Najib akan memenangi
PRU-13 dengan majoriti dua pertiga Parlimen, sedangkan veteren UMNO,
Tengku Razaleigh Hamzah merasakan sesuatu yang “mustahil” selepas
beberapa “isu kontroversi” membabitkan UMNO/BN.
“Tengku Razaleigh memberitahu Oriental Daily News semalam bahawa
ramalan ASLI itu tidak boleh dipercayai kerana kumpulan pemikir itu
pro-kerajaan dan analisisnya berat sebelah sebaliknya meramalkan BN
boleh hilang 10 hingga 15 kerusi Parlimen di Sabah selepas kegagalan
tiga minggu
stand-off dengan sekumpulan 200 militan bersenjata
Sulu di Lahad Datu, hingga mengorbankan tujuh pegawai polis dan Sabah
menjadi begitu tegang dengan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat
Sabah terancam,” katanya.
Menurut Kit Siang, jika UMNO/BN tewas antara 10 dan 15 kerusi kepada
Pakatan Rakyat iaitu lebih daripada satu pertiga kerusi Parlimen di
Sabah, maka PR dalam perjalanan menuju ke Putrajaya bagi membentuk
Kerajaan Persekutuan dan menandakan berakhirnya negeri “deposit tetap”
BN di Sabah.
Tambahnya, jika Sarawak dan Johor, dua lagi “negeri deposit tetap”
BN, mengikut jejak langkah Sabah, maka nasib Najib termeterai dan beliau
akan memenuhi ramalan RAHMAN menjadi Perdana Menteri UMNO/BN terakhir
di negara ini.
- Roketkini.com
0 Komen pengunjong :