KUALA
LUMPUR, 31 JAN: Kerajaan Persekutuan yang diperintah Barisan Nasional
(BN) patut ditukar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti kerana
kegagalan slogan dan dasar transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Katanya, ini termasuk sikap berpura-pura Suruhanjaya Siasatan Diraja
(RCI) menyiasat pendatang tanpa izin di Sabah, risiko tinggi Malaysia
dalam rasuah pertahanan dan kedudukan kebebasan akhbar paling buruk.
Beliau berkata, hampir setiap hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan
bukti kegagalan slogan dan dasar transformasi Najib termasuk siasatan
RCI Sabah yang sudah masuk minggu kedua pendengaran awam.
“Rakyat Sabah dan Malaysia bimbang kerana RCI tidak akan mampu
menggali kebenaran hingga ke dasar mengenai tindakan menghalalkan
pendatang tanpa izin di Sabah menyebabkan penduduk negeri itu meningkat
lima kali ganda daripada 600,000 pada 1970 kepada 3.3 juta sekarang
mengikut komen seorang pembaca Malaysiakini.
“Bagaimanapun kecacatan sebenar RCI adalah lapan syarat yang
ditetapkan tidak termasuk mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab
melakukan pengkhianatan terhadap negara di dalam skandal
“kewarganegaraan untuk undi” di Sabah – atau secara terperinci menyiasat
dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC,” katanya dalam
kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 71 Hari ke PRU-13, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, RCI Sabah akan
berakhir dengan sia-sia melainkan RCI Sabah dimasukkan syarat tambahan
untuk menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC di
Sabah.
Bagaimanapun, katanya, adakah Najib Razak bersedia memasukkan syarat
kesembilan dalam RCI Sabah bagi menyiasat dan mengenalpasti dalang
Projek M dan Projek IC dan mencadangkan tindakan diambil terhadap
pengkhianat negara.
“Kedua, pemantauan ketelusan antarabangsa yang terkemuka melaporkan
Malaysia berada pada kedudukan berisiko tinggi rasuah dalam perbelanjaan
pertahanan dan operasinya dan meletakkan Malaysia seiring dengan negara
seperti Bangladesh, Pakistan, China, Russia, Kazakhstan dan Jordan.
“Di dalam Indeks Anti-Rasuah Pertahanan Kerajaan, analisis global
pertama terhadap risiko rasuah di dalam pertahanan seluruh dunia yang
dikeluarkan Transparency International UK semalam, Malaysia mendapat D-
di dalam kumpulan antara A hingga F.
“Kedudukan itu membuktikan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) gagal meletakkan antara
keutamaan tertinggi memerangi rasuah, memandangkan indeks anti-rasuah
terbaru selepas kajian selama dua tahun dilakukan antara Julai 2011 dan
November 2012 – memberikan tamparan hebat kepada GTP dan NKRA Najib yang
berlangsung sejak empat tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, di kalangan negara Asean, Singapura dan Thailand,
pencapaian Malaysia kedua-duanya mendapat D+, manakala Indonesia dan
Filipina di belakang Malaysia dalam kumpulan E.
Setiap kerajaan dinilai dalam lima bidang berkemungkinan ada risiko
rasuah pertahanan – politik, kewangan, kakitangan, risiko operasi dan
perolehan. Malaysia memperoleh mata terendah di dalam risiko kewangan
dan operasi iaitu 25 dan 10 peratus daripada jumlah 100 peratus.
Laporan bahagian negara ke atas Malaysia mendapati “Kelemahan rasuah
politik adalah tinggi, memandangkan tidak terdapatnya jawatankuasa
pertahanan dan keselamatan dan peranan Parlimen di dalam sektor itu pula
terhadap pada sekadar meluluskan belanjawan agregat dan umum.
“Ketiga, Malaysia menjunam ke kedudukan terendah dalam sejarah yakni
ke-145 di dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2013 – paling buruk sejak
Reporters Without Border (RSF) memulakan indeks tahunan itu pada 2002.
“Di bawah tajuk yang tidak menarik iaitu
“Cambodia and Malaysia: drift towards authoritarianism”
bagi Asia Tenggara, RSF menyatakan kedudukan kebebasan akhbar Malaysia
2013 “mempamerkan rekod menyedihkan iaitu jatuh 23 pada kedudukan lebih
rendah berbanding yang diperoleh pada 2002”, kerana “kempen menekan
kerajaan, seperti yang digambarkan melalui tindakan keras terhadap
protes Bersih 3.0 pada April tahun lalu dan usaha penapisan, berterusan
melemahkan kebebasan asas dalam hak memperoleh maklumat,” katanya.
–
Roketkini.com
0 Komen pengunjong :