Lebih baik NGO jadi parti politik saja


Cadangan untuk menubuhkan sebuah akademi untuk para peguam menerima kritikan daripada pelbagai pihak yang melihat kecenderungan Umno-Barisan Nasional (BN) mencipta sebuah lagi institusi untuk dijadikan ‘budak suruhan’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz membuat cadangan tersebut setelah melihat Majlis Peguam dalam mesyuaratnya baru-baru menyelar tindakan pasukan polis menggunakan kekerasan terhadap para peserta Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Seperti yang dijangka, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyokong penubuhan akademi itu memandangkan menurutnya, Majlis Peguam yang ada sepatutnya bertukar menjadi parti politik kerana sering mengkritik dasar-dasar kerajaan.
Hanya kerana Majlis Peguam mahu menuntut keadilan dan mahu keadilan itu dilihat dilaksanakan seperti mana lapan tuntutan Bersih berhubung pilihan raya yang bebas, bersih dan adil, para pemimpin Umno-BN dulu dan sekarang melihatnya sebagai ‘musuh’.
Mereka mahu agar Majlis Peguam juga mengikut telunjuk mereka seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan beberapa aparatus yang lain seperti ‘lembu’ yang dicucuk hidung semau-maunya.
Ketika kerajaan Terengganu jatuh kepada PAS dalam pilihan raya umum 2004, Dr Mahathir memberi komen, BN kalah di negeri itu kerana SPR tidak menghulurkan kerjasama. Jika SPR memihak, BN pasti menang.
Dari sudut pandangan Dr Mahathir bahawa Majlis Peguam sepatutnya menjadi parti politik adalah berdasarkan pandangan beliau yang tempang kerana melihat SPR adalah juga merupakan sebuah parti komponen Umno-BN.
Berdasarkan kepada pemikiran beliau yang berat sebelah ini juga, sebenarnya beliau sangat ingin jika sekiranya Majlis Peguam dapat menjadi salah sebuah parti komponen dengan menyokong dasar-dasar kerajaan.

Institusi guaman yang bebas
Tetapi ternyata Majlis Peguam dapat membuktikan bahawa ia merupakan sebuah institusi guaman yang bebas dari sebarang pengaruh politik.
Keadaan ini mengecewakan Dr Mahathir kerana beliau mahu Majlis Peguam juga menjadi ‘budak suruhan’ dan mengikut telunjuk Umno- BN.
Pandangan mereka yang berat sebelah ini boleh diukur melalui tindak-tanduk beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pro Umno-BN seperti  Gaps (Gerakan Anti-Penyelewengan Selangor), Jati (Jalur Tiga), Tibai (Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim) dan lebih-lebih lagi Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia).
Apabila NGO-NGO ini menganjur demonstrasi dan bantahan terhadap kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat, tidak pula kedengaran kritikan daripada para pemimpin Umno-BN. Sarankan saja supaya mereka ini juga bertukar menjadi parti politik.
Perbuatan sabotaj hampir setiap hari NGO-NGO ini di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak pula dihalang malahan dalam beberapa keadaan tertentu mendapat ‘perlindungan’ dan ‘kerjasama’ daripada pasukan polis.
Contoh lain, di mana pasukan polis hanya berdiam diri ialah apa yang berlaku di hadapan rumah pengerusi bersama Bersih yang juga bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga.
Beberapa gerai burger didirikan dan beberapa hari selepas itu, sekumpulan 15 anggota bekas tentera dari Persatuan Veteran Tentera Melayu membuat senaman goyang punggung di hadapan rumahnya.
Walaupun pasukan polis ditugaskan di situ tetapi tidak pula mengambil sebarang tindakan dan mereka hanya memerhatikan sahaja.
Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan memeranjatkan banyak pihak.
Beliau tidak menyedari bahawa perbuatan-perbuatan seperti ini adalah dilarang dan bercanggah dengan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.
Sikap double-standard seperti ini membuka ruang kepada kritikan dan mungkin adalah lebih baik sekiranya semua NGO yang ada bertukar status menjadi parti politik saja.

-/freemalaysiatoday

1 comment :

  1. mudah sgt nak tubuh NGO......apa tujuannya entah....kadang2 hanya ajk nya saja yg jd pak sibuknya...ahli tak ada pun, kalau ada pun, banyak yg dok lena jaaaaa

    ReplyDelete