Prestasi kumpulan Pro-Mahasiswa atau Pro-M dilihat lebih baik dalam pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP untuk sesi 2010/2011 apabila menguasai lapan daripada 13 universiti yang diadakan semalam.
Angin perubahan melanda di beberapa universiti setelah sekian lama dikuasai oleh kumpulan Pro- Aspirasi atau Pro-A.
Ini termasuklah MPP Universiti Malaya(UM), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI), Universiti Sains Islam
Malaysia(USIM), Universiti Malaysia Sabah(UMS), Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian, Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan dan Universiti Malaysia Kelantan.
Pro-M dikaitkan dengan sokongan kepada pembangkang manakala Pro A lebih cenderung kepada parti pemerintah kerajaan pusat.
Sementara itu, kumpulan Pro-M di UKM mengumumkan perlantikan Mohd Abdullah Mohamed Yusoff sebagai Presiden MPP untuk sesi ini.
Perlantikan ini diumumkan oleh Pengerusi Pro-M UKM, Mohd Hafiz Razak dalam satu sidang media hari ini.
“Kami dari peringkat gabungan mahasiswa telah memenangi 22 kerusi dari 37 kerusi yang dipertandingkan. Kami berjaya membentuk majoriti. Kami bersetuju menamakan Mohd Abdullah Mohamed Yusoff daripada Fakulti Pendidikan Tahun Tiga bidang pendidikan pemulihan matematik sebagai calon presiden,” katanya.
Mohd Abdullah akan bertemu dengan Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dr Sharipah Hapsah Syed Hasan bagi membincangkan pembentukan kabinet yang bakal diumumkan dalam tempoh dua minggu.
Dalam pada itu, Jurucakap Pro-M UKM, Ahmad Firdaus Ahmad Azam berkata, walaupun kumpulan Pro-M memenangi pemilihan kali ini, namun mereka tetap mengemukakan bantahan terhadap kemenangan calon pro-Aspirasi di sebuah fakulti.
Mereka mendakwa kemenangan calon Pro A di Fakulti Sains Kesihatan tidak sah kerana gagal hadir ke bengkel calon sebagai syarat wajib untuk bertanding.
Bagaimanapun Naib Canselor didakwa mengeluarkan surat untuk membenarkan mereka bertanding dan satu sijil dikategorikan sebagai sijil palsu turut dikeluarkan bagi menyatakan mereka hadir bagi menjayakan kursus calon pilihanraya.
“Perkara pertama yang melayakan menjadi calon adalah mereka harus mengikuti kursus calon dengan jayanya. Apa yang kita dapat respon daripada perjumpaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perlaksana, amat menegcewakan tanpa hujah yang kukuh,” katanya.
Di UM wakil Pro M, memaklumkan pihaknya akan mengadakan sidang media esok bagi mengumumkan pembentukkan kabinet kerana belum dimaklumkan secara rasmi keputusan pilihanraya oleh pihak universiti.


salam
ReplyDeletetahniah utk IPT yang dimenangi oleh Pro-M, moga segala program yang dijalankan membawa sinar baru kepada pembentukan pemikiran mahasiswa sekarang :)
@Mohamadazhan hjDesa..... mudah2an begitulah.
ReplyDelete