Liwat ll : Giliran Ahli Kimia Forensik DNA Kemuka Keterangan


KUALA LUMPUR 23 FEB : Perbicaraan kes fitnah 2 melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung hari ini menyaksikan giliran ahli kimia forensik DNA Jabatan Kimia, Nor Aidura Saedon mengambil tempat di kandang saksi. 
Saksi kini telah bekerja di Jabatan Kimia, Petaling Jaya sejak 12 tahun dahulu dan memberitahu mahkamah beliau telah menguruskan lebih dari 100 ribu sampel DNA sepanjang kariernya.
Aidora memberitahu mahkamah bahawa beliau berada di makmal kimia Jabatan Kimia Malaysia pada 17 Julai 2008 hari bungkusan plastik D, D1, D2, dan D3 yang mengandungi elemen bukti kes liwat diperolehi daripada DSP Jude Priere.
Noorin kemudian menyoal keadaan empat bungkusan tersebut.
"Dalam keadaan baik dan masih ditutup rapat," jelas Aidura.
Peguambela kemudian diberi peluang menyemak bungkusan plastik tersebut.
Justeru mahkamah kemudian mendapati terdapat lima bungkusan sampul dan saksi menjelaskan bahawa sampul terakhir ditambah oleh beliau untuk mengasingkan sehelai rambut yang ditemui.
"Ketika membuat analisis, saya jumpa rambut pada exhibit berlabel D2 dan saya letakkan dalam sampul baru dan melabelkannya sebagai D2(a)," jelas Aidura kepada mahkamah. 
Sebelum itu, Aidura telah menerangkan kepada mahkamah bahawa calitan DNA diambil pada berus gigi, tuala muka, botol mineral dan serpihan kertas berdasarkan bahan bukti yang diterima sebelum kesemuanya ditempatkan di dalam sampul dan dilabel.
Beliau menambah, profil DNA dilakukan pada 19 Julai 2008 sehari selepas ujian dilakukan dan keputusan lengkap diperolehi pada 21 Julai 2008.
Aidura turut menerangkan kepada mahkamah tentang keunikan DNA.
"Tiada siapa yang mempunyai DNA yang sama kecuali kes kecil bagi kembar seiras," katanya.
Mahkamah kini dibekalkan dengan satu set salinan laporan graf Elektroferograf (EPG) yang mencatatkan bacaan analisis profil DNA bahan bukti.
Berdasarkan laporan tersebut, Aidura kemudian memberitahu beliau membuat perbandingan dengan laporan EPG oleh Dr Seah Lay Hong yang menemui DNA 'lelaki Y' pada tuala muka, berus gigi dan botol mineral.
Sejurus itu, peguam Karpal Singh mencelah dengan mempersoal perbandingan laporan EPG kedua-dua ahli kimia itu.
Katanya, laporan perbandingan tersebut bukan sebahagian daripada kertas yang ditunjukkan kepada mahkamah dan peguambela.Justeru Karpal berkata bukti oral tidak boleh digunapakai mahkamah kerana sama dengan laporan bertulis.
"Beliau bukan mengimbas memori tapi rujuk kepada dokumen. Saksi datang ke mahkamah dan hanya membaca. Ini bukan cara mengimbas memori," ujar Karpal.
Pasukan peguambela kemudian mendapatkan salinan laporan perbandingan EPG.Pendakwaraya Datuk Yusof Zainal Abiden kemudian memberitahu bahawa saksi tidak mampu mengingati semua data lalu merujuk dalam kandang saksi.
Sankara Nair bingkas bangun lalu menyatakan graf tersebut perlu mendapat perhatian pakar.
"Graf adalah rumit dan perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar kimia," ujar beliau.
Hakim Zabidin menangguhkan perbicaraan sehingga jam 2.30 petang.

0 Komen pengunjong :