PETALING JAYA 15 APRIL: Tuduhan mengatakan Manifesto Pakatan Rakyat
akan menyebabkan defisit negara melambung sehingga 13.2 peratus berpunca
daripada analisis kewangan Umno BN yang salah, kata Pengarah Strategi
KEADILAN, Rafizi Ramli.
Menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak tepat, menyeleweng dan berniat
jahat, Rafizi berkata, kegagalan Umno BN membidas Manifesto Pakatan
kerana analisis kewangan digunapakai tidak mengambil kira dasar
penjimatan Pakatan.
“Anggaran
Umno BN tersasar kerana tidak mengambil dua strategi Pakatan untuk
mengawal perbelanjaan dan mendapatkan nilai terbaik dari wang rakyat
iaitu pertama, menghentikan perbelanjaan melampau yang diluluskan setiap
tahun yang sekarang ini mencecah RM20 bilion.
“Kedua menghapuskan ketirisan dan rasuah dengan penjimatan sebanyak
10 peratus daripada RM205 bilion perbelanjaan di bawah kawalan Kerajaan
Persekutuan.
“Hasil penjimatan sebanyak RM25 bilion itu akan diperuntukkan bagi
membiayai program manifesto,” kata Rafizi pada sidang media di ibu
pejabat parti hari ini.
Penjelasan itu selepas meneliti dokumen sulit setebal 20 muka surat
bertajuk ‘Pakatan Rakyat Manifesto Rebuttals’ yang diperolehinya pada
Jumaat lepas.
“Hanya tiga muka surat sahaja yang saya dedahkan kerana mahu menjadikan ‘permainan’ ini lebih menarik.
“Sepanjang minggu ini, saya akan meneliti dan menjawab seluruh
dokumen ini bagi membuktikan analisis kewangan yang digunakan Umno BN
dibuat atas asas dan andaian yang salah,” kata calon Parlimen Pandan
itu. – NS
0 Komen pengunjong :