Showing posts with label Pengarah Strategi PKR. Show all posts

Hanya tiru pendekatan pak Lah

KUALA LUMPUR: Tindakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak memotong elaun keraian anggota kabinet hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pada  2008 yang juga mengumumkan pemotongan elaun keraian menteri sebanyak 10 peratus.

Namun langkah itu tidak sedikit pun menghentikan pembaziran dan keborosan BN  sehingga defisit berpanjangan selama 16 tahun berturut-turut, tegas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.
 
Sehubungan itu, beliau mengingatkan sekali lagi bahawa punca utama masalah kewangan negara adalah pucuk pimpinan pentadbiran yang tidak serius membanteras rasuah malah terpalit dengan rasuah. 

"Akibat amalan rasuah inilah banyak projek yang ditanggung kerajaan dibayar pada harga berkali ganda mahal atau pun menjadi pembaziran kerana tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencabar pentadbiran Najib menghentikan perjanjian-perjanjian berat sebelah dan dasar kerajaan yang membebankan rakyat jika kerajaan BN serius mahu menangani krisis kenaikan kos sara hidup.

Empat tindakan yang perlu dilaksanakan secepat mungkin itu jelas beliau adalah:

1.      Menurunkan cukai eksais kereta serta-merta sebanyak 30% ke arah menghapuskan cukai eksais kereta sepenuhnya. Hutang kereta adalah salah satu bebanan utama rakyat dan penurunan cukai eksais kereta akan mengurangkan tanggungan hutang bulanan;

2.      Menghentikan kenaikan tol seperti yang dirancang dan merundingkan kembali perjanjian-perjanjian konsesi tol supaya lebuhraya yang sudah mendapat kembali modal pelaburan dikembalikan kepada rakyat;

3.      Membatalkan peruntukan untuk projek yang bertujuan memberi ruang berbelanja kepada menteri-menteri tanpa matlamat yang jelas, contohnya peruntukan untuk National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang berjumlah RM278 juta seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2014;

4.      Membekukan kesemua program penswastaan yang diusahakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) terutamanya penswastaan kampus-kampus UiTM di seluruh negara yang dijangka membebankan rakyat dan kerajaan dengan berbilion ringgit yang perlu dibayar sebagai sewa kepada pemegang konsesi di masa hadapan.

 "Perkara-perkara yang saya senaraikan di atas adalah contoh-contoh langkah mudah yang boleh diambil sekiranya Dato’ Seri Najib benar-benar prihatin dengan kepayahan rakyat. 

"Pengumuman beliau setakat ini hanyalah reaksi gentar kepada suara kemarahan rakyat yang semakin dizahirkan akhir-akhir ini, bukanlah satu langkah penyelesaian yang berkesan," tegasnya lagi.
Seterusnya >>>

Himpunan 15 Jun diteruskan - Rafizi


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Aman Black505 pada 15 Jun ini akan diteruskan seperti yang dirancang walaupun berdepan sikap double standard pihak berkuasa yang disifatkan cuba untuk melengah-lengahkannya.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuba melengah-lengahkan himpunan tersebut apabila mula berdolak-dalik berhubung kebenaran penggunaan Padang Merbok.

Beliau berkata, tindakan polis dan DBKL itu bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman.

“Kita berpendapat kita memenuhi keperluan memberi notis 10 hari kepada polis dan mengemukakan permohonan penggunaan padang kepada DBKL.

“Sebelum ini polis juga mengambil pendirian serupa, kena dapatkan kebenaran pemilik tempat dahulu, tetapi pada masa sama bila kita cuba dapatkan kebenaran daripada pemilik tempat.

“Pemilik tempat pula memberi alasan perlu mendapatkan kebenaran polis dahulu dan ini jadi permainan oleh badan-badan kerajaan ini yang menjaga harta awam untuk melengah-lengahkan dan menyukarkan perhimpunan,” kata Rafizi kepada TV Selangor.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad ketika mengesahkan penerimaan notis tersebut memberitahu TV Selangor, penganjur Perhimpunan Aman Black505 gagal mematuhi syarat di bawah Seksyen 10C Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat kebenaran DBKL bagi menggunakan Padang Merbok.

Justeru, perhimpunan tersebut dianggap sebagai perhimpunan haram sekiranya diteruskan.
Seterusnya >>>

PR akan desak reformasi SPR ‘di mahkamah, jalanan dan Parlimen’


GEORGE TOWN, 17 Mei — Pakatan Rakyat (PR) akan terus mendesak kerajaan untuk melakukan reformasi menyeluruh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika Malaysia mahu melihat pilihan raya bersih pada masa akan datang, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
Bercakap dalam satu forum mengenai fakta di belakang kemenangan undi popular PR dalam Pilihan Raya 2013 di sini malam tadi, beliau mengatakan satu-satunya cara adalah dengan terus melawan dan memberikan tekanan supaya SPR benar-benar diubah dan digantikan oleh mereka yang adil dan percaya dengan pilihan raya bersih.
“Kita perlukan SPR direformasikan sepenuhnya di mana pengerusi sehingga semua pegawainya digantikan oleh pegawai baru yang dipersetujui oleh PR dan orang awam untuk menjamin mereka tidak berpihak kepada mana-mana parti,” katanya.
Menurutnya, hanya selepas SPR direformasikan secara menyeluruh pilihan raya semula akan diadakan bagi membuktikan terdapat kecurangan dan penipuan terutamanya di 30 kerusi marginal.
Seterusnya >>>
HKR-112-18

SHAH ALAM 8 MEI : Perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat yang dijadual berlangsung malam ini di Stadium Kelana Jaya akan tetap diteruskan sepertimana dirancang, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.
Dalam satu kenyataan media, Rafizi menjelaskan bahawa pihak PKR melalui Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad sudah memaklumkan secara rasmi kepada pihak polis berkenaan perhimpunan tersebut.
“Sebagai menyambut gesaan (Ketua Polis Negara) Tan Sri Ismail Omar, kita sudah maklumkan kepada pihak balai polis, bertepatan dengan amalan biasa sebelum ini.
“Memandangkan perhimpunan diadakan di tempat persendirian yang telah dipersetujui dengan pengurusan dan pemilik stadium.
“Ia juga mengikut semangat Akta Perhimpunan Aman yang digunapakai sebelum ini yang tidak memerlukan permit untuk perhimpunan, hanyalah sekadar memaklumkan pihak polis,” jelas Ahli Parlimen Pandan ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sebelum ini mengeluarkan kenyataan meminta penganjur perhimpunan untuk mematuhi undang-undang selain menggunakan saluran betul dengan meminta kebenaran ketua polis daerah.
Sehubungan itu, Rafizi menggesa orang ramai khususnya mereka yang menuntut pilihanraya adil dan menolak penipuan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) untuk turun dengan memakai baju hitam pada perhimpunan malam ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata akan membuat satu laporan polis pada petang ini berhubung cubaan pihak tertentu menimbulkan huru hara dan ketakutan dengan memainkan sentimen perkauman melalui edaran Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
“Saya mengecam sepenuhnya anasir penghasut yang cuba menakut-nakutkan rakyat terutamanya golongan bukan Melayu kononnya perhimpunan itu adalah satu alasan agar satu pergolakan kaum bermula.
“Beberapa pesanan ringkas merujuk kepada peristiwa 13 Mei yang kononnya dikaitkan dengan perhimpunan malam ini sedang berlegar, yang jelas berniat jahat,” ujar Rafizi.
Seterusnya >>>

PKR persoal 1MDB pindah RM7 bilion ke akaun sulit


 
KUALA LUMPUR: PKR hari ini mempersoal maklumat bahawa 1MDB, badan pelaburan milik rakyat yang dikawal sepenuhnya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memindahkan sejumlah RM7 bilion dana ke akaun sulit di Cayman Island.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, maklumat tersebut turut dilaporkan dalam Laporan Tahunan 1MDB dan diulas di dalam keluaran terbaru akhbar perniagaan mingguan The Edge.

Akhbar itu turut mempersoalkan kewajaran sebuah badan pelaburan milik negara memindahkan RM7 bilion ke dalam akaun rahsia di pusat kewangan pesisir pantai seperti Cayman Island.

berikut adalah kenyataan penuh beliau:


1MDB pindah RM7 bilion wang rakyat ke akaun sulit


KEADILAN memandang serius maklumat bahawa 1MDB, badan pelaburan milik rakyat yang dikawal sepenuhnya oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memindahkan sejumlah RM7 bilion dana ke akaun sulit di Cayman Island.

Maklumat ini terkandung di dalam Laporan Tahunan 1MDB dan diulas di dalam keluaran terbaru akhbar perniagaan mingguan The Edge, yang turut sama mempersoalkan kewajaran sebuah badan pelaburan milik negara memindahkan RM7 bilion ke dalam akaun rahsia di pusat kewangan pesisir pantai seperti Cayman Island.

Akaun sulit di pusat kewangan pesisir pantai hanya digunakan bagi urusniaga yang dirahsiakan kerana pusat kewangan pesisir pantai mempunyai undang-undang yang melindungi urusniaga sebegini walaupun berunsur jenayah atau rasuah. Sebelum ini pun, laporan antarabangsa telah mempersoalkan tokoh-tokoh yang rapat dengan Barisan Nasional seperti Mirzan Mahathir, Raja Nong Chik dan Michael Chia yang mempunyai akaun sulit di pusat kewangan pesisir pantai kerana ia disyaki bersabit dengan urusniaga yang tidak betul.

1MDB mendapat modal melalui terbitan bon sebanyak RM5 bilion yang dijamin oleh kerajaan. Dari modal ini, ia melabur di dalam beberapa pelaburan di luar negara terutamanya di dalam Petro Saudi International (PSI) yang diragui kewujudan dan aktivitinya.

Dari urusniaga dengan PSI yang penuh kerahsiaan inilah, sejumlah RM7 bilion dilaporkan dipindahkan ke akaun rahsia di Cayman Island, sebuah pusat kewangan pesisir pantai.

Pemindahan wang RM7 bilion oleh 1MDB ini perlu dijawab segera oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana beliau berkuasa penuh ke atas 1MDB. Pemindahan wang ke sebuah akaun rahsia pesisir pantai seperti Cayman Island bertentangan prinsip ketelusan dan tata kelola baik yang sepatutnya diamalkan oleh sebuah badan pelaburan kerajaan seperti 1MDB.

Saya khuatir sekiranya Barisan Nasional kalah dalam PRU13, wang RM7 bilion ini tidak dapat dijejaki dan hilang begitu sahaja, bermakna kerajaan menanggung kerugian besar ke atas hutang RM5 bilion yang diambil sebagai modal 1MDB.

Saya memberi amaran keras kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa beliau akan bertanggungjawab ke atas setiap satu sen kerugian yang ditanggung 1MDB. Pemindahan wang RM7 bilion ke akaun rahsia di Cayman Island adalah satu tindakan yang berunsurkan jenayah yang perlu disiasat segera.

Oleh yang demikian, untuk membolehkan satu siasatan dimulakan serta merta sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa dalam 2 minggu akan datang, saya akan membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia, Polis diRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada hari Rabu dan Khamis minggu ini supaya wang RM7 bilion ini dibawa balik ke Malaysia secepat mungkin dan mereka yang bertanggungjawab memindahkan wang ke akaun rahsia di Cayman Island dihadapkan ke muka keadilan.


RAFIZI RAMLI

Pengarah Strategi PKR
Seterusnya >>>

Analisis BN terhadap Manifesto Pakatan salah, berniat jahat

manifesto

PETALING JAYA 15 APRIL: Tuduhan mengatakan Manifesto Pakatan Rakyat akan menyebabkan defisit negara melambung sehingga 13.2 peratus berpunca daripada analisis kewangan Umno BN yang salah, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak tepat, menyeleweng dan berniat jahat, Rafizi berkata, kegagalan Umno BN membidas Manifesto Pakatan kerana analisis kewangan digunapakai tidak mengambil kira dasar penjimatan Pakatan.
“Anggaran Umno BN tersasar kerana tidak mengambil dua strategi Pakatan untuk mengawal perbelanjaan dan mendapatkan nilai terbaik dari wang rakyat iaitu pertama, menghentikan perbelanjaan melampau yang diluluskan setiap tahun yang sekarang ini mencecah RM20 bilion.
“Kedua menghapuskan ketirisan dan rasuah dengan penjimatan sebanyak 10 peratus daripada RM205 bilion perbelanjaan di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan.
“Hasil penjimatan sebanyak RM25 bilion itu akan diperuntukkan bagi membiayai program manifesto,” kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Penjelasan itu selepas meneliti dokumen sulit setebal 20 muka surat bertajuk ‘Pakatan Rakyat Manifesto Rebuttals’ yang diperolehinya pada Jumaat lepas.
“Hanya tiga muka surat sahaja yang saya dedahkan kerana mahu menjadikan ‘permainan’ ini lebih menarik.
“Sepanjang minggu ini, saya akan meneliti dan menjawab seluruh dokumen ini bagi membuktikan analisis kewangan yang digunakan Umno BN dibuat atas asas dan andaian yang salah,” kata calon Parlimen Pandan itu. – NS
Seterusnya >>>

Hanya 14 peratus manifesto BN mengandungi perkara baru

NONE

Hanya 23 janji atau 14 peratus daripada manifesto BN yang diumumkan pada Sabtu lalu mengandungi perkara baru, kata PKR.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (kanan) berkata, kebanyakan idea yang dikemukakan hanya kepanjangan daripada program kerajaan, yang sekali gus menunjukkan kelemahan.

"Kira-kira 15 peratus janji disalin daripada janji yang sedia ada dalam manifesto Pakatan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Menyelar Najib yang didakwanya tanpa segan silu menggunakan idea Pakatan, Rafizi menuntut perdana menteri tampil mempertahankan keaslian manifesto BN itu.

Katanya, Najib memilih memasukkan idea Pakatan kerana janji-janji itu sangat popular.
Seterusnya >>>

Kenyataan Musa Hitam 'testimoni' manifesto PR realistik

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR - Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam kelmarin bahawa negara tidak akan muflis jikapun Pakatan Rakyat (PR) memerintah sebenarnya satu 'testimoni' yang dasar perikatan itu adalah realistik, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 PR boleh diguna pakai dan tidak menunjukkan akan berdepan masalah negara boleh bankrap atau muflis jika ia dinilai secara objektif dan jujur.

Malah kata beliau, jika manifesto PR diteliti sepertimana yang dinilai oleh Musa, yang juga bekas Timbalan Presiden Umno, ia tidak menunjukkan negara akan muflis.

Rafizi berkata, sekiranya dalam tempoh dua tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) membelanjakan lebih daripada jumlah diluluskan iaitu RM44 bilion, sudah tentu PR mampu menanggung RM45 bilion yang diperlukan untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto itu yang dilancarkan 25 Februari lalu.

"Kalau kita tengok (manifesto PR) angka-angkanya begitu jelas, saya kira sudah tentu tiada siapa pun kata ia akan mufliskan negara.

"Cuma soalnya, apabila tidak ada kesediaan daripada pihak Umno dan BN untuk berdebat dan berdepan dengan kita secara ikhlas dan membincangkan berkenaan angka-angka itu (pecahan perbelanjaan)," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada Forum Manifesto Rakyat di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Musa yang mengatakan negara tidak akan bankrap meskipun diperintah oleh PR.

Rafizi berkata, PR yakin sekiranya perbincangan itu dibuat secara jujur dan objektif tidak timbul soal muflis seperti yang dikatakan oleh Musa.

"Sehingga sekarang, selepas manifesto PR dilancarkan kita belum menerima bidasan terperinci daripada BN.

"Jadi mereka boleh buat pilihan dan boleh terus main sembunyi-sembunyi. Tetapi PR telus tunjukkan setiap perkiraan, saya yakin rakyat boleh bezakan dan bandingkan dan semua dalam risalah manifesto kita tunjukkan setiap pecahan perbelanjaan secara jelas," katanya.

Ketika muncul pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian kelmarin, Musa menegaskan, tidak adil jika dikatakan negara akan bankrap jika PR berjaya memerintah negara.

Katanya, sekiranya PR mengambil alih Putrajaya, gabungan tersebut akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara berkembang dengan baik.
Seterusnya >>>

Samseng Umno serang pejabat PKR, polis hanya peluk tubuh

rAFIZI

PETALING JAYA 12 MAC: Polis gagal mengambil sebarang tindakan terhadap serangan samseng Umno ke atas bangunan ibu pejabat KEADILAN semalam, walaupun kejadian berlaku berdekatan balai.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Balai Polis Tropicana hanya selang dua pintu dari pejabat itu, tetapi tiada seorang pun anggota menghalang serangan tersebut.
“Ia sangat memalukan. Mereka hanya berpeluk tubuh dan tidak diberi arahan oleh ketua mereka supaya menahan samseng yang membuat serangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Rafizi berkata, serangan itu perlu dipandang serius kerana menjejaskan keselamatan awam dan bertentangan undang-undang.
“Keganasan ini jelas dirancang kerana mereka membawa telur, batang kayu dan kon lalu lintas khusus untuk menyerang. Mereka juga mengugut untuk membakar pejabat kami. Ini kesalahan jenayah serius,” kata Rafizi.

hqtelur

Dalam kejadian serangan yang bermula 5 petang semalam, hampir 30 samseng Umno membuat kecoh di hadapan ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, menyebabkan seorang kakitangan cedera dan harta benda rosak.
Mereka mendakwa kononnya datang untuk membantah kenyataan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berhubung pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.
Mereka memakai baju putih bercetak anti-Anwar, menyerang dengan melontarkan telur, kayu, batu, kon lalulintas dan membakar bendera KEADILAN.

Insiden ini merupakan rentetan serangan terhadap Jelajah Merdeka Rakyat bersama Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Melaka dan serangan depan pejabat Tian, masing-masing pada minggu lepas.

549430_10151466616347512_1346932869_n

Menurut Rafizi, siri keganasan terhadap pimpinan KEADILAN perancangan tersusun Umno yang mengambil kesempatan di atas insiden pencerobohan Lahad Datu, sebagai modal politik untuk menimbulkan kebencian terhadap Anwar dan pemimpin parti.
“Selain propaganda di media perdana, kumpulan samseng Umno digerakkan untuk mengugut dan menimbulkan kebencian melalui keganasan. Politik kebencian yang dimainkan Umno ini dijadikan alasan untuk mengancam keselamatan pimpinan KEADILAN melalui siri keganasan berterusan.
“Saya tidak menolak politik kebencian ini dijadikan kesempatan oleh anasir tertentu Umno BN untuk memastikan Anwar ditahan, disiasat seterusnya didakwa,” tegas Rafizi.

hqoecah

Berikutan itu, KEADILAN menggesa polis menyiasat kejadian semalam dan keganasan berterusan yang dicetus kumpulan samseng terhadap pemimpin parti itu.
“Tindakan keras perlu diambil terhadap sesiapa yang terlibat dan menjadi dalang. Insiden ini tidak sepatutnya berlaku. Polis tidak boleh mengambil sikap ‘double standard’ dalam soal ini,” kata Rafizi. – NS
Seterusnya >>>

Pengarah Strategi PKR bidas tuduhan Perdana Menteri

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli

PETALING JAYA - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini membidas tuduhan perdana menteri yang mendakwa salah satu fokus manifesto Pakatan Rakyat (PR) mahu mengecilkan saiz tenaga kerja sektor awam, dan menyifatkan kenyataan itu sebagai "politik murahan."

Sebaliknya beliau berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak cuba memutarbelitkan dasar yang disepakati PR dalam manifesto, yang dilancarkan 25 Februari lalu, malah usaha beliau untuk memperlekehkannya di hadapan penjawat awam nyata untuk meraih sokongan bagi memenangkan Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

"Itu politik murahan, PR bukannya nak kecilkan perkhidmatan awam, lebih penting kembalikan kedudukan dan kebebasan dalam pentadbiran negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Dalam kenyataannya ketika mengumumkan senarai sembilan insentif penting perkhidmatan awam, yang kini dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa istiqamah untuk menjadi sebuah kerajaan yang adil dan penuh bertanggungjawab tanpa memperjudikan apa-apa keputusan sehingga merosakkan kedudukan dan kewangan negara.

Beliau berkata jika mahu, kerajaan Barisan Nasional boleh sahaja mengambil sikap populis dengan menjanjikan pelbagai perkara seperti kenaikan gaji dan elaun yang tinggi, tanpa mengira kemampuan kewangan sepertimana yang dicanangkan pihak tertentu.

"Memang kerajaan seperti itu akan menjadi lebih popular, semua akan merasa seronok, teruja tetapi itu hanyalah buat seketika.

"Sebenarnya kita perlu berfikiran waras apa akan jadi kemudian hari nanti, akibat daripada tindakan populis itu," kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

Beliau berkata rakyat perlu melihat rekod pihak tersebut dari segi menepati janji amatlah buruk, bagi mereka manifesto bukannya janji, kalau manifesto tidak boleh dianggap janji maka buat apa percaya dengan kandungannya.

"Soalnya... sebagai pihak yang mahu memperoleh kepercayaan bagi membentuk kerajaan, perlu berterus terang dengan rakyat bahawa tidakkah pembiayaan semua program mereka memerlukan kepada cukai dinaikkan.

"Amat sukar untuk menilai keikhlasan, namun kita berupaya mengukur kejujuran dengan melihat prestasi rekod mereka yang berjanji. Kalau janji lama pun tidak mampu ditepati atau ditunaikan maka berhati-hatilah dengan janji baru," katanya.

Rafizi seterusnya berkata: "... Najib sendiri terlalu bergantung dengan pakar perunding sebelum ini dalam penyediaan rangka pelan pembangunan negara."

Rafizi berkata, jika PR diberi peluang mengambil alih pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, mereka tidak akan bergantung kepada khidmat perunding luar yang jauh lebih tinggi kosnya dalam menyediakan dasar pembangunan negara.

"PR janji tidak akan bergantung guna perunding luar," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, kenaikan gaji dan pelbagai insentif buat penjawat awam yang diumumkan oleh Najib semalam tidak menjamin sokongan berpihak kepada Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Malah tindakan Najib yang mengumumkan pakej insentif buat 1.4 juta penjawat awam itu menjelang pilihan raya nanti sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana cuba membeli undi kakitangan awam supaya berpihak kepada Umno-BN.

"Penjawat awam akan tengok secara menyeluruh, bukan gaji saja tapi perkhidmatan kepada mereka, dia tidak ada jaminan jaringan sosial selepas pencen. Kalau naik gaji RM100 pun, ia masih tidak membantu pun dari segi pemilikan perumahan," katanya.

Malah beliau menyakini pakej insentif tersebut tidak mampu menaikkan moral kakitangan awam yang masih jauh ketinggalan khususnya dalam soal pemilikan kediaman dan bebanan kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Saya tidak fikir pakej itu benar-benar menyeluruh dan mengambil kira tuntutan kakitangan awam. Penjawat awam tidak yakin tukar sokongan dan boleh naikkan moral mereka," katanya.

Bagaimanapun Rafizi menyifatkan tawaran yang dibuat dalam manifesto PR lebih ikhlas dan mengambil kira kebajikan semua peringkat rakyat berbanding dasar Umno-BN yang sudah lapuk dari peredaran zaman.
Seterusnya >>>

Najib PM pertama gagal pertahan keselamatan rakyat & negara

sulu lahad datu

KUALA LUMPUR 7 MAC: Pencerobohan di Lahad Datu, Sabah bukti Najib Razak Perdana Menteri pertama gagal mempertahan keselamatan rakyat dan negara, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Katanya, kegagalan Najib memastikan keselamatan rakyat terjamin apabila kes jenayah semakin meningkat menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan.
“Inilah bukti Najib PM pertama memperlihatkan kegagalan mempertahan keselamatan negara apabila penceroboh boleh memasuki perairan negara. Ini menjadikan keselamatan rakyat terancam dan tidak dijamin,” kata Rafizi kepada Keadilan Daily.
Dalam pada itu, Rafizi membidas kritikan Perdana Menteri berhubung Manifesto Pakatan Rakyat, ketika BN masih belum membentangkan manifestonya.
Beliau berkata, Najib seolah-olah sudah bersedia menjadi Ketua Pembangkang apabila membiarkan Pakatan membentangkan manifesto terlebih dahulu.
“Najib juga Perdana Menteri pertama yang membiarkan pakatan pembangkang membentangkan manifesto. Tapi beliau asyik kritik tawaran Pakatan. Ini sangat memalukan ketika
manifesto BN belum muncul. Nampak sangat Najib sedang menyiapkan diri untuk menjadi pembangkang selepas pilihan raya,” kata Rafizi ketika dihubungi.
Najib dalam ucapannya di Kangar, Perlis Ahad lalu mengatakan kononnya manifesto Pakatan tidak boleh dipercayai dan menuduh Pakatan hanya pandai berjanji.
“Najib sepatutnya cermin diri sebelum mengkritik Manifesto Pakatan. BN sendiri mana manifesto mereka? Sepatutnya manifesto disediakan kerajaan, dan dibangkang pula pembangkang, tapi yang berlaku sekarang sebaliknya,” katanya.
“Najib selalu tunjuk berani bila berucap di kalangan orang-orangnya. Kalau nak tahu tawaran mana yang boleh dipercayai, kenapa tak berdebat saja dengan Anwar (Ibrahim)? Dengan cara itu rakyat boleh tahu manifesto siapa yang bohong atau tidak,” bidas Rafizi.
Najib dalam ucapannya turut berkata, kononnya ekonomi berkembang sejak Dasar Transformasi Nasional dilaksanakan empat tahun lalu.
“Rekod pentadbiran Najib menyaksikan ekonomi berkembang paling sedikit. Sepatutnya ekonomi boleh mencapai sehingga 7%, tetapi di bawah pentadbiran Najib, ia hanya 5%. Ini tidak seimbang dengan kekayaan sumber negara,” kata Rafizi.
Pakatan membentangkan manifesto dengan tema Pakatan Harapan Rakyat pada 25 Februari lalu.
Pelbagai kebajikan dan penurunan kos hidup untuk segenap lapisan rakyat terutama golongan miskin dan anak muda ditawar menerusi manifesto itu.
Seterusnya >>>

"Saya akan turun habis-habisan gempur Bagan Datoh"


KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli bakal gempur Bagan Datoh, Parlimen Datuk Zahid Hamidi Februari ini bagi menerangkan isu salahguna dan penyelewengan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah pentadbiran Menteri Pertahanan itu.
“Saya bersetuju beberapa tarikh untuk turun ke Bagan Datoh dalam bulan Februari.
“Saya juga masih menunggu saman Zahid Hamidi yang belum dihantar kepada saya. Tapi saya dah setuju turun habis-habisan gempur Bagan Datoh,” tulis Rafizi pada twitternya hari ini.
Zahid 25 Januari lalu memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung satu artikel di dalam laman blognya.
Tegas Rafizi, saman Zahid akan dijawab di mahkamah kerana isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota tentera yang diabai tidak boleh dipadam dengan tipu helah teknologi.
Rafizi semalam turut menolak keras laporan mendakwa beliau memohon maaf kepada Zahid dalam laman facebooknya.
“Kenyataan palsu dan berniat jahat itu dirancang laman pro-Umno dengan tujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat.
“Saya menafikan sepenuhnya kenyataan maaf dan tetap dengan pendirian membawa perkara ini ke mahkamah.
“Saya tidak akan berganjak membawa isu salahguna dana Angkatan Tentera Malaysia,” katanya pada kenyataan.
Rafizi berkata, tindakan menggodam akaun dan laman pro-Pakatan Rakyat, termasuk laman web dan facebook pimpinan Pakatan berpunca kegagalan Umno BN berdepan pendedahan memalukan.
“Ini kejadian kedua dalam tempoh dua hari selepas laman facebook Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.
“Saya mengutuk muslihat dan tipu helah yang digunakan cybertrooper Umno kerana tidak beretika,” tegasnya
Seterusnya >>>

Rafizi bersedia ke mahkamah menghadapi saman Zahid Hamidi.


KUALA LUMPUR, 26 Jan — Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli tidak akan tarik balik kenyataannya berkenaan Kementerian Pertahanan menggunakan dana awam untuk membeli saham Astacanggih, milik peniaga permaidani Deepak Jaikishan berharga RM30 juta dan membeli tanah Raja Roopiah bernilai RM160 juta di Bukit Raja.
Beliau yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, rakyat Malaysia secara umumnya sudah mengetahui kes ini dan beliau sedia ke mahkamah menghadapi saman dari Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Ya, saya akan hadapi saman tersebut. Saya akan go through dengan lawyer saya mengenai isu ini," kata Rafizi.
Semalam, Ahmad Zahid berkata beliau akan menyaman Rafizi berkenaan tulisannya di dalam blognya, yang didakwa berunsur fitnah, palsu dan tidak benar.
Saman itu dikemukakan berhubung artikel yang mengaitkan beliau dengan seorang ahli perniagaan karpet, Deepak Jaikishan.
Ahmad Zahid selaku plaintif berkata, perkataan tersebut antaranya membawa maksud beliau tidak kompeten, salah guna kuasa sebagai Menteri Pertahanan dan tidak jujur.
Menteri Pertahanan itu antaranya menuntut ganti rugi am dan khas bagi fitnah bertulis, ganti rugi teladan dan melampau serta menarik balik sepenuhnya kata-kata fitnah itu.
Pengarah strategi PKR itu berkata, beliau bersedia untuk ke mahkamah agar semua dokumen yang terlibat dapat disapina di mahkamah.
“Kalau dia saman saya, baguslah, kita boleh sapina semua dokumen nanti.
“Apa yang saya katakan, beliau selaku Menteri Pertahanan harus bertanggungjawab kepada dana awam,” kata Rafizi lagi.
Ahmad Zahid menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teladan, penarikan penuh segala kata-kata fitnah serta meminta maaf dalam format yang diberikan Ahmad Zahid dan diiklankan dalam empat surat khabar tempatan, empat bahasa selama dua hari.
Beliau juga menuntut perintah supaya defendan mengeluarkan artikel tersebut daripada blog miliknya, perintah larangan daripada mengulangi atau menerbitkan semula termasuk di ceramah, perhimpunan dan kempen pilihan raya.
Turut dituntut ialah faedah empat peratus ke atas jumlah ganti rugi, kos dan relif lain.
Seterusnya >>>

Rafizi: Anwar mungkin tak jamin imuniti pada Deepak

NONEPengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata ketua pembangkang parti Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak dapat memberi jaminan untuk memberi imuniti kepada ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan perlindungan penuh bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

"Saya tidak fikir sesiapapun atau Anwar sekalipun dapat memberi jaminan lateral untuk Deepak. Kita kena ikut undang-undang dan juga agensi yang terlibat," kata ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau kesediaan Deepak untuk mendedahkan urusan melibatkan personaliti berkuasa dalam kerajaan dalam perhimpunan mega anjuran Pakatan Rakyat Hari ini.

Deepak berkata beliau sedia berbuat demikian sekiranya Pakatan boleh menjamin imunit kepadanya sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.

Rafizi menjelaskan, Deepak secara automatik akan gugur status sebagai pemberi maklumat sekiranya bertindak mendedahkan perkara itu melalui kepada umum, seperti tindakan berucap dalam himpunan mega hari ini.

"Undang-undang itu hanya memberi perlindungan sekiranya anda beri maklumat kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysiua) atau kepada polis.

"Tetapi jika dia umumkan dalam perhimpunan atau dalam ceramah, secara automatik akan dibatalkan (perlindungan) bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat," katanya.

Rafizi berkata itu hanyalah pendapat peribadinya dan menyerahkan perkara itu untuk diputuskan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

"Saya rasa ia adalah keputusan politik yang saya serahkan kepada Pakatan," katanya lagi.

Deepak hari ini muncul di kalangan penyokong Pakatan Rakyat di Stadium Merdeka pagi ini, kira-kira tiga jam sebelum Himpunan Kebangkitan Rakyat dijadualkan bermula.

Deepak yang mengenakan baju-T dan berkasut sukan berliau pada mulanya berarak bersama dengan pemimpin dan penyokong PAS dari ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laun pada jam 11 pagi.

"Saya ke sini untuk menunjukkan sokongan saya kepada semua rakyat Malaysia. Kami datang bersama-sama untuk menuntut bahawa kerajaan perlu mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil. Orang ramai telah sedar - ini bukan tsunami, ini adalah gempa bumi.

Apabila ditanya sama ada dia mahu berucap di atas pentas lewat  petang ini, beliau menjawab: "Jika saya diberi peluang, ya."
Seterusnya >>>

PKR akan bantu Deepak dedah perjanjian kontroversi


PETALING JAYA, 6 Jan — Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli berkata beliau akan membantu Deepak Jaikishan mendedahkan cerita sebenar disebalik perjanjian projek kontroversi demi kepentingan orang ramai.

Ahli perniagaan itu dikatakan terlibat dalam urusan tanah yang turut melibatkan syarikat dimiliki ketua Wanita Umno Datuk Raja Ropiaah dan juga Lembaga Tabung Angkatan Tentera. "Yang paling penting, ini bukan untuk kepentingan politik, tetapi kepentingan orang ramai," kata Rafizi kepada The Malaysian Insider dalam sebuah temubual.
"Niat kita cuma satu, kita tidak mahu wang pencen tentera berjumlah RM160 juta digunakan untuk ini," kata pengarah strategi PKR itu, merujuk kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang terlibat dalam perjanjian tersbeut. Deepak baru-baru ini memanggil ahli politik dalam membantunya, dalam apa yang dikatakan menghadapi "ribut dan taufan 350km/j".
Ahli perniagaan kontroversi itu pada awalnya mengkritik Rafizi kerana mendedahkan transaksi bank antara beliau dan dua pembekal intan berlian berjumlah AS$4 juta (RM12.15 juta), menuduh pengarah strategi PKR itu menggunakan beliau untuk kepentingan politik.
Deepak menafikan dokumen tersebut adalah milik beliau. Beliau juga menafikan bertemu Rafizi untuk menyerahkan dokumen tersebut.
Rafizi masih memegang pendirian bahawa Deepak yang menyerahkan dokumen tersebut kepada pemimpin PKR, yang kemudiannya sampai kepadanya.

Beliau berkata PKR pada awalnya enggan membantu apabila Deepak mula datang kepada mereka, kerana takut terperangkap dengan permainan politik pihak lawan.
"Beliau mahu kita memperjuangkan kesnya tapi kita yang tidak mahu," kata Rafizi.

Menurut Rafizi, PKR hanya mengambil keputusan untuk bersama Deepak selepas tabung pelaburan kerajaan LTAT telah didapati terlibat dalam tuduhan Deepak.
"Perkara ini cukup sukar untuk kami, jika adanya gambar pemimpin PKR bersama Deepak, orang ramai akan mengatakan kita sedang merancang konspirasi.
"Tetapi apabila dia dah memberitahu bahawa kita tidak ada apa-apa, itu tidak mengapa," kata Rafizi lagi.
Rafizi berkata beliau memberitahu Deepak melalui pihak ketiga bahawa PKR sudi untuk duduk berbincang dengan ahli perniagaan tersebut dan mendengar apa yang beliau ingin katakan.
Beliau juga berkata Deepak telah menemui penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan ahli perniagaan itu merayu untuk bantuan undang-undang.
Deepak berkata kepada wartawan beliau bertemu Anwar pada malam sebelum kes saman beliau menentang Raja Ropiaah yang didakwa menipu beliau untuk tanah Bukit Raja.
Beliau kemudiannya diwakili oleh peguam PKR R Sivarasa dan N Surendran dalam kes tersebut, sebelum beliau membuat keputusan untuk membuang kes tersebut tanpa merujuk kepada peguamnya, kata Rafizi.
Deepak menyaman Putrajaya atas melanggar perjanjian mengenai tanah di Bukit Raja, Selangor, dan ditarik balik pada hari yang sama syarikat milik LTAT Boustead Holdings Bhd membeli 80 peratus saham Astacanggih bernilai RM30 juta.
Raja Ropiaah kekal mendiamkan diri apabila syarikatnya Awan Megah Sdn Bhd gagal membina Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) yang bernilai RM100 juta.
Seterusnya >>>

Najib minta syarikat buat berus gigi buat pusat latihan tentera

PETALING JAYA: PKR mendakwa, Datuk Seri Najib Razak melantik syarikat pembuat  berus gigi untuk membina pusat latihan tentera iaitu Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (“Puspahanas”).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa, Awan Megah Sdn Bhd yang dilantik Najib untuk membina pusat ini tidak mempunai apa-apa pengalaman.

Untuk itu, Awan Megah telah bekerjasama dengan GuppyUnip Sdn Bhd yang berpengalaman membuat berus gigi untuk membina pusat latihan tentera ini.

Rafizi berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Rafizi, Awan Megah Sdn Bhd (“Awan Megah”) dianugerahkan projek penswastaan pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (“Puspahanas”) milik Kementerian Pertahanan melalui satu perjanjian bertarikh 8 Jun 2005.

Projek penswastaan tersebut melibatkan kerja-kerja merekabentuk dan membina (design and build) sebuah kolej latihan tentera.

Sebagai balasan kepada kerja-kerja merekabentuk dan membina Puspahanas, Kementerian Pertahanan berjanji akan memindahkan tiga bidang tanah iaitu PT220 (seluas 96.825 ekar), Lot 1158 (seluas 45.420 ekar) dan PT216 (seluas 81.085 ekar).

Tanah-tanah seluas 223.33 ekar ini pada asalnya diambil oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan membina kem tentera.

Menteri Pertahanan semasa kontrak ini dianugerahkan kepada Awan Megah adalah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada keputusan untuk melantik Awan Megah.

Awan Megah adalah syarikat yang dimiliki oleh Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor.

Berdasarkan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Awan Megah adalah sebuah syarikat yang tidak pernah mempunyai apa-apa aktiviti sejak ia ditubuhkan.
Maklumat kewangan yang terakhir yang difailkan dengan SSM adalah bagi tahun kewangan 31 Disember 1993 yang menunjukkan syarikat itu tidak menjalankan apa-apa aktiviti.

Sehingga kini, tidak ada sebarang aktiviti yang dijalankan oleh Awan Megah seperti mana rekod terkini SSM bertarikh 23 Mei 2012.

Ini bermakna, di antara tahun 1994 hinggalah sekarang, Awan Megah tidak mempunyai apa-apa transaksi dan kekal sebagai syarikat yang tidak aktif.

Ini juga bermakna, kata Rafizi, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pertahanan telah melakukan penyelewengan dan salahlaku rasuah apabila beliau menganugerahkan projek penswastaan bernilai puluhan juta ringgit ini dalam tahun 2005 kepada Awan Megah.

Sedangkan Awan Megah bukanlah sebuah syarikat pembinaan yang berkemampuan untuk menjalankan projek tersebut.

Awan Megah hanyalah syarikat Ali Baba yang dilantik Datuk Seri Najib Tun Razak dan diberikan 223.33 ekar tanah lumayan.
"Oleh sebab itulah, Awan Megah terpaksa melantik sebuah syarikat lain sebagai “rakan kongsi” untuk membiayai dan menyiapkan sepenuhnya projek itu," beritahu Rafizi dalam kenyataannya.

“Rakan kongsi” yang dipilih adalah sebuah syarikat bernama GuppyUnip Sdn Bhd. Syarikat ini hanya berjaya mendapatkan kemudahan kredit dari United Overseas Bank (UOB) yang diluluskan pada 21 Julai 2010, iaitu lima tahun selepas projek ini dianugerahkan kepada Awan Megah.

Ini bermakna projek ini tergendala selama lima tahun gara-gara Awan Megah tidak mempunyai modal dan masih mencari-cari rakan kongsi.

Semakan dari surat kemudahan kredit GuppyUnip Sdn Bhd ini pula menunjukkan bahawa:

1.      Keseluruhan modal sebanyak RM59.25 juta (iaitu pinjaman TL1 hingga TL4) adalah pembayaran bagi pihak Awan Megah

2.      Pembayaran premium kepada Kerajaan Selangor bagi pindahmilik geran dan pertukaran status bagi tanah 223.33 ekar juga akan dibiayai oleh GuppyUnip Sdn Bhd

3.      Kos bagi kerja-kerja penyediaan tapak untuk membangunkan tanah 223.33 ekar itu turut dibiayai oleh GuppyUnip Sdn Bhd

"Saya merumuskan bahawa GuppyUnip Sdn Bhd menanggung keseluruhannya kos pembinaan Puspahanas dan kos pembangunan tanah 223.33 ekar itu kerana Awan Megah milik Ketua Wanita Umno Selangor hanyalah membuat keuntungan atas angin," katanya.

Keadaannya sekarang samalah seperti keseluruhan projek dan tanah-tanah ini telah diserahkan kepada GuppyUnit Sdn Bhd.

Lebih memeranjatkan, dakwa Rafizi, GuppyUnit Sdn Bhd bukanlah syarikat yang berpengalaman dalam bidang pembinaan.

Semakan dengan SSM menunjukkan bahawa syarikat ini hanyalah ditubuhkan pada 9 Disember 2009 (dokumen SSM disertakan bersama).

Lebih teruk lagi, syarikat ini ditubuhkan dan dikuasai oleh Cheong Chow Koh (melalui pegangan keluarganya dan syarikat utamanya Unip Berhad).
Perniagaan utama Cheong Chow Koh melalui Unip Berhad adalah sebagai pengilang berus gigi (sila rujuk laman web www.unipberhad.com yang disertakan bersama).

Sehubungan itu, beliau menyimpulkan:

1.    Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Awan Megah milik Ketua Wanita Umno Selangor yang tidak pernah menjalankan apa-apa aktiviti untuk merekabentuk dan membina Puspahanas, lalu dianugerahkan tanah seluas 223.33 ekar

2.     Secara tidak langsung, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah melantik sebuah syarikat pengeluar berus gigi untuk membina Puspahanas dan menyerahkan tanah 223.33 ekar kepada syarikat ini

"Ini adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera yang berkorban demi rakyat.

"Ia juga perlakuan rasuah dan penyelewengan secara terang-terangan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang wajib disiasat dengan segera," tambahnya.
Seterusnya >>>

Deepak Serah Sendiri Dokumen Pembelian Barang Kemas RM 13 Juta

Barang Kemas Rosmah 03

PETALING JAYA, 3 JAN : Pendedahan dokumen yang menunjukkan pembelian barang kemas bernilai RM 13 juta yang didakwa untuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah sahih dan diserahkan sendiri oleh perniaga karpet, Deepak Jaikishan.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang media hari ini berkata, Deepak telah menyerahkan kesemua dokumen itu kepada individu tertentu yang dihubunginya sebelum ini dengan harapan ia akan dibawa oleh pimpinan PKR.
Menurut Rafizi, dokumen itu kemudiannya diserahkan kepadanya oleh individu terbabit yang juga merupakan pimpinan PKR untuk disemak dan dipastikan kebenarannya.
“Saya tidak mengambil apa-apa tindakan kerana berpendapat ia tidak mempunyai unsur kepentingan awam sekiranya seseorang berbelanja besar memberi hadiah kepada VIP tanpa ada bukti habuan atau projek yang terlibat.
“Berikutan tindakan Boustead Holdings Berhad mengumumkan akan membayar RM 160 juta untuk membeli syarikat milik Deepak dan tanah dari Awan Megah Sdn Bhd, saya berpandangan ia membuka dimensi baru bahawa dakwaan Deepak sebelum itu berkaitan dengan kepentingan awam.
“Selepas menyemak dokumen itu dan mendapatkan maklumat tambahan, saya yakin bahawa ia mempunyai asas kukuh untuk disiasat oleh pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini pagi tadi.
Sehubungan itu, katanya, kenyataan Deepak wajar dijadikan bukti dalam siasatan akan datang oleh pihak berkuasa memandangkan dokumen itu melibatkan syarikat dan urusniaga syarikat beliau sendiri.
Tambah Rafizi, beliau juga telah menerima persetujuan daripada individu yang menerima dokumen itu bagi membuktikan bahawa ia diperolehi daripada Deepak.
“Jelas membuktikan bahawa tindak tanduk dan tingkah laku Deepak sebelum ini tidak berkait rapat dengan PKR.
“Ia menyangkal percubaan Umno-BN yang menuduh kononnya ini satu perencanaan oleh PKR. Malah Deepak sendiri menyatakan kekecewaannya kerana pimpinan PKR dilihat keberatan untuk berbincang dengan beliau.
“Oleh itu, setelah mengadakan perbincangan bersama pimpinan parti, maka saya boleh bertemu dengan Deepak untuk meneliti segala bukti yang dimiliki, seperti yang didakwa sebelum ini,” ujarnya.
Rafizi semalam mendedahkan dokumen yang didakwanya bukti pembelian barang kemas oleh syarikat Deepak dari dua syarikat di Hong Kong.
Antara dokumen yang didedahkan Rafizi adalah emel invois pembelian berlian dari syarikat Dehres Limited dan Firestone Co. Ltd dan slip pembayaran melalui dua buah bank.
Dokumen lain pula menunjukkan transaksi bernilai USD 3.9 juta (RM 11.8 juta) bagi pembelian cincin dan subang daripada Firestone Co Ltd.
Kesemua barangan kemas itu dibayar oleh dua syarikat Deepak iaitu Carpet Raya Sdn Bhd dan Carpet Plus Sdn Bhd dalam tempoh tiga bulan Mac hingga Mei 2009, selepas Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, di dalam beberapa laporan semalam, Deepak menafikan beliau membeli barang kemas tersebut.
Seterusnya >>>

Deepak beli barang kemas RM13 juta untuk Rosmah - PKR


PETALING JAYA 2 Januari: KEADILAN hari ini mendedahkan bukti pemindahan wang oleh ahli perniagaan, Deepak Jaikishan kepada dua syarikat barangan kemas mewah di Hong Kong berjumlah kira-kira RM13 juta, dikatakan untuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai ganjaran bagi satu urusniaga tanah.
Pengarah Strategi, Rafizi Ramli pada sidang media di ibu pejabat parti pagi ini, menunjukkan salinan invois dan pembayaran oleh dua syarikat Deepak, Karpet Raya Sdn Bhd dan Carpet Plus Sdn Bhd kepada Dehres Ltd dan Firestone Co Ltd.


Salinan itu, antara lain tertera invois bernombor 23117 dan slip pindahan wang sejumlah USD115,000 kepada Dehres Ltd oleh Carpet Raya Sdn Bhd.
Beberapa invois dari Firestone Co Ltd bagi pembelian 19 barangan kemas bernilai kira-kira RM13 juta turut ditunjukkan.
Satu salinan emel dari kakitangan Dehres Ltd juga menyebut nama Rosmah.Rafizi menggesa pihak berkuasa menyiasat sepenuhnya.

( Inilah cincin berlian sebagaimana terkandung dalam dokumen pembelian  )

“Dakwaan Deepak bahawa beliau membayar pembelian barang kemas mewah berjumlah RM13 juta dalam tempoh tiga bulan untuk Rosmah sangat serius, apatah lagi beliau (Deepak) menampilkan dokumen sebagai bukti,” kata Rafizi.
Seterusnya >>>

Dakwaan Deepak ada asas: Wang rakyat disalahguna untuk menutup mulut Deepak

Dakwaan Deepak ada asas: Wang rakyat disalahguna untuk menutup mulut Deepak - RafiziPada 30 November 2012, Dato’ Seri Zahid Hamidi mengumumkan kepada wartawan dan Perhimpunan Agong Umno bahawa beliau akan menjawab dan mematahkan tuduhan Deepak yang mengaitkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pelbagai salahlaku.
Malangnya, keesokan harinya, pada 1 Disember 2012 beliau tidak mengotakan janjinya itu. Tuduhan-tuduhan Deepak kekal tidak dijawab oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Saya beranggapan itu strategi Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Zahid Hamidi – iaitu untuk tidak mengendahkan tuduhan-tuduhan tersebut atas alasan ia tuduhan liar tanpa bukti. Sehingga saat itu pun, rakyat masih samar-samar mengenai bukti yang dikemukakan oleh Deepak, apatah lagi keterlibatan Deepak dengan keluarga Dato’ Seri Najib Tun Razak menimbulkan tanda tanya mengenai motif dan kredibiliti beliau.
Oleh sebab itu, KEADILAN tidak memberi sebarang reaksi mengenai tuduhan-tuduhan tersebut, kecualilah menuntut agar ia disiasat segera.

Ikut perintah PM
Ternyata anggapan saya itu tidak tepat. Tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Deepak dipandang serius dan dibuktikan benar-benar mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga tugas untuk menyelesaikan kemelut ini diserahkan kepada Dato’ Seri Zahid Hamidi.
Walaupun awalnya Dato’ Seri Zahid Hamidi mengelak dari memberi jawapan, jalan penyelesaian yang beliau laksanakan mengikut perintah Dato’ Seri Najib Tun Razak akhirnya terbongkar kepada umum pada 27 Disember 2012.
Urusniaga mengejut melibatkan pembayaran RM30 juta untuk membeli 80% saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd adalah satu salahguna kuasa oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Najib Tun Razak bertujuan untuk menutup mulut Deepak dan menyelesaikan skandal ini yang kian merebak.
Urusniaga ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Tak peduli kepentingan anggota tentera
Modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT. Sebagai menteri yang bertanggungjawab memikul amanah ini, Dato’ Seri Zahid Hamidi haruslah berhati-hati dalam memastikan pelaburan yang dibuat oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd adalah pelaburan yang terbaik untuk kepentingan anggota tentera.
Sebab itu, sekiranya urusniaga ini diteliti, ia sudah tentu tidak menepati apa-apa garis panduan pelaburan baik berdasarkan perkara-perkara berikut:
1. Astacanggih adalah sebuah syarikat yang tidak mempunyai aset mahupun rekod perniagaan yang baik. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan ia tidak pernah pun memfailkan penyata kewangannya. Selain modal berbayar sebanyak RM20 juta, syarikat ini dibebankan dengan hutang sebanyak RM98 juta dari Kuwait Finance House (mengikut rekod SSM);
2. Nilaian RM30 juta bagi 80% saham terbitan Astacanggih itu tidak ada asas. Kenyataan Boustead Holdings Berhad bahawa nilaian RM30 juta itu dicapai atas persetujuan bersama pembeli dan penjual membuktikan bahawa urusniaga ini dibuat berdasarkan pertimbangan politik, bukan pertimbangan pelaburan komersil;
3. Pembayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd bermakna Dato’ Seri Zahid Hamidi mengambil wang sebanyak RM130 juta dari caruman anggota tentera untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa ada sebarang pertukaran aset, kerana tanah 200 ekar itu masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd;
4. Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah tersebut juga dibuat tanpa menggunakan penilaian bebas, semata-mata atas dasar persetujuan yang dicapai di antara penjual dan pembeli;
5. Pengumuman rasmi Boustead Holdings Berhad kepada Bursa Malaysia memberi alasan bahawa pembelian tanah itu bertepatan dengan bank tanah sedia ada milik anak syarikat Boustead (iaitu Jendela Hikmat Sdn Bhd) di kawasan berhampiran (rujuk perenggan 4 pengumuman). Walau bagaimana pun, semakan rekod menunjukkan tanah seluas 236 hektar yang dipindahmilikkan kepada Jendela Hikmat Sdn Bhd dinilai pada RM230 juta pada akhir tahun 2005 (rujuk laporan akhbar Utusan Malaysia yang disertakan bersama);
6. Ini bermakna tanah sekitar kawasan yang sudah dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad dinilai sekitar RM390,000 seekar, berbanding urusniaga terkini melibatkan Awan Megah yang membayar RM650,000 seekar ke atas tanah yang statusnya belum dipindahmilik.
Jelas bahawa urusniaga ini bukanlah urusniaga yang lulus pertimbangan komersial dan panduan pelaburan LTAT.
Saya hanya boleh simpulkan bahawa urusniaga ini dibuat semata-mata untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini. Makanya, tindakan tidak berwaspada Dato’ Seri Zahid Hamidi yang menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan LTAT membayar RM160 juta mengesahkan bahawa dakwaan Deepak itu benar, sehingga mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Oleh itu, saya akan mula meneliti dan mendedahkan pembayaran yang dibuat oleh Deepak terhadap pihak tertentu yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, memandangkan sudah jelas bahawa dakwaan Deepak itu ada kredibiliti dan kebenarannya.
KEADILAN akan mengadakan sidang media pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat minggu depan jam 11 pagi mengenai pendedahan ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
Seterusnya >>>

RM160 juta dana pencen tentera diguna untuk tutup mulut Deepak


KUALA LUMPUR 28 DISEMBER: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi menyalah guna kuasa apabila menggunakan wang pencen anggota tentera menutup mulut Deepak Jaikishan dari terus membuat siri pendedahan berkaitan skandal pembunuhan Altantuya Shariibuu.
Pengarah Strategik KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata wang pencen itu digunakan dalam urus niaga melibatkan bayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd (Awan Megah).
Urus niaga itu, katanya, dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah miliki penuh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Sedangkan, modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di sini, hari ini.
Rafizi berkata, bayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindah milik kepada Awan Megah sekaligus bermakna Zahid Hamidi mengambil RM130 juta dari caruman anggota tentera.
Beliau berkata, wang itu kemudian digunakan untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa sebarang tukaran aset kerana tanah berkenaan belum dipindah milik kepada Awan Megah.


“Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah itu pula dibuat semata-mata atas dasar persetujuan antara penjual dan pembeli tanpa menggunakan penilaian bebas,” katanya.
Menegaskan Zahid Hamidi patut berhati-hati dalam membuat pelaburan terbaik untuk kepentingan anggota tentera, Rafizi menyifatkan urus niaga itu bukan atas pertimbangan komersial dan panduan pelaburan LTAT.
“Ia dibuat semata-mata untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini. Maka, tindakan tidak berwaspada Zahid Hamidi menyalah guna kuasa dengan mengarahkan LTAT membayar RM160 juta mengesahkan pendedahan Deepak itu benar hingga Najib Razak.
“Saya akan mendedahkan bayaran yang dibuat Deepak terhadap pihak tertentu yang dikaitkan dengan Najib Razak, memandangkan jelas pendedahan itu ada kredibiliti dan kebenarannya,” kata beliau.
Untuk membaca kenyataan media secara penuh, klik ini.
Seterusnya >>>