Hanya tiru pendekatan pak Lah

KUALA LUMPUR: Tindakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak memotong elaun keraian anggota kabinet hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pada  2008 yang juga mengumumkan pemotongan elaun keraian menteri sebanyak 10 peratus.

Namun langkah itu tidak sedikit pun menghentikan pembaziran dan keborosan BN  sehingga defisit berpanjangan selama 16 tahun berturut-turut, tegas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.
 
Sehubungan itu, beliau mengingatkan sekali lagi bahawa punca utama masalah kewangan negara adalah pucuk pimpinan pentadbiran yang tidak serius membanteras rasuah malah terpalit dengan rasuah. 

"Akibat amalan rasuah inilah banyak projek yang ditanggung kerajaan dibayar pada harga berkali ganda mahal atau pun menjadi pembaziran kerana tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencabar pentadbiran Najib menghentikan perjanjian-perjanjian berat sebelah dan dasar kerajaan yang membebankan rakyat jika kerajaan BN serius mahu menangani krisis kenaikan kos sara hidup.

Empat tindakan yang perlu dilaksanakan secepat mungkin itu jelas beliau adalah:

1.      Menurunkan cukai eksais kereta serta-merta sebanyak 30% ke arah menghapuskan cukai eksais kereta sepenuhnya. Hutang kereta adalah salah satu bebanan utama rakyat dan penurunan cukai eksais kereta akan mengurangkan tanggungan hutang bulanan;

2.      Menghentikan kenaikan tol seperti yang dirancang dan merundingkan kembali perjanjian-perjanjian konsesi tol supaya lebuhraya yang sudah mendapat kembali modal pelaburan dikembalikan kepada rakyat;

3.      Membatalkan peruntukan untuk projek yang bertujuan memberi ruang berbelanja kepada menteri-menteri tanpa matlamat yang jelas, contohnya peruntukan untuk National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang berjumlah RM278 juta seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2014;

4.      Membekukan kesemua program penswastaan yang diusahakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) terutamanya penswastaan kampus-kampus UiTM di seluruh negara yang dijangka membebankan rakyat dan kerajaan dengan berbilion ringgit yang perlu dibayar sebagai sewa kepada pemegang konsesi di masa hadapan.

 "Perkara-perkara yang saya senaraikan di atas adalah contoh-contoh langkah mudah yang boleh diambil sekiranya Dato’ Seri Najib benar-benar prihatin dengan kepayahan rakyat. 

"Pengumuman beliau setakat ini hanyalah reaksi gentar kepada suara kemarahan rakyat yang semakin dizahirkan akhir-akhir ini, bukanlah satu langkah penyelesaian yang berkesan," tegasnya lagi.

0 Komen pengunjong :