Pemuda Pakatan Rakyat sokong himpunan

PRPemuda Pakatan Rakyat (PR) menyokong usaha anak-anak muda untuk hadir berhimpun di Dataran Merdeka pada malam ini. Insiatif anak-anak muda berhimpun bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenaikan harga barang keperluan menandakan solidariti anak-anak muda serta keprihatinan mereka terhadap isu-isu semasa khususnya yang berkaitan dengan isu rakyat.
Himpunan pada malam ini memberi pengertian bahawa anak-anak muda semakin matang dan celik politik. Mereka tampil membela jutaan rakyat Malaysia yang terhimpit dengan kenaikan kos hidup yang mendadak ekoran kenaikan harga yang melampau. Rakyat Malaysia semakin miskin dan jauh dari kemampuan sebenar memiliki kemudahan asas dan memenuhi keperluan hidup.
Pemuda PR juga merasa kecewa dengan wujudnya anasir keganasan yang didakwa akan dicetus oleh pihak tertentu dengan memainkan isu ancaman bom atau kejadian letupan semasa perhimpunan malam ini nanti. Pemuda PR menganggap isu ancaman bom adalah cetusan rasa gelisah mereka yang tidak bertanggungjawab mahu menakut-nakutkan rakyat khususnya anak-anak muda daripada bangkit menghadiri perhimpunan itu nanti. Pihak tertentu sengaja mencetus isu ancaman bom dengan mengulangi skrip letupan bom semasa perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah Jalan Duta beberapa tahun lepas yang masih menjadi misteri dan belum diselesaikan sehingga kini.
Pemuda PR sepenuhnya percaya pasukan keselamatan akan memainkan peranan mereka memastikan tiada letupan atau kejadian tidak diingini akan berlaku semasa perhimpunan itu nanti. Pemuda PR juga berkeyakinan perhimpunan ini adalah suatu perhimpunan aman sebagaimana perhimpunan-perhimpunan yang dianjurkan sebelum ini dan rakyat tidak perlu khuatir berlaku insiden yang tidak diingini.
Akhirnya, Pemuda PR mengajak seluruh ahli dan pendokong Dewan Pemuda PAS (DPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) untuk turut hadir bersama anak-anak muda memeriahkan himpunan ini. Tahun 2013 akan melabuh tirai dengan catatan sejarah penuh gemilang anak-anak muda bangkit penuh kemarahan menandakan rakyat bukan lagi barang dagangan yang boleh diperlakukan sesuka hati.

0 Komen pengunjong :