GEORGE TOWN, 17 Mei — Pakatan Rakyat (PR) akan terus mendesak
kerajaan untuk melakukan reformasi menyeluruh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) jika Malaysia mahu melihat pilihan raya bersih pada masa akan
datang, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
Bercakap dalam satu forum mengenai fakta di belakang kemenangan undi
popular PR dalam Pilihan Raya 2013 di sini malam tadi, beliau mengatakan
satu-satunya cara adalah dengan terus melawan dan memberikan tekanan
supaya SPR benar-benar diubah dan digantikan oleh mereka yang adil dan
percaya dengan pilihan raya bersih.
“Kita perlukan SPR direformasikan sepenuhnya di mana pengerusi
sehingga semua pegawainya digantikan oleh pegawai baru yang dipersetujui
oleh PR dan orang awam untuk menjamin mereka tidak berpihak kepada
mana-mana parti,” katanya.
Menurutnya, hanya selepas SPR direformasikan secara menyeluruh
pilihan raya semula akan diadakan bagi membuktikan terdapat kecurangan
dan penipuan terutamanya di 30 kerusi marginal.
0 Komen pengunjong :