PETALING JAYA 12 MAC: Polis gagal mengambil sebarang tindakan
terhadap serangan samseng Umno ke atas bangunan ibu pejabat KEADILAN
semalam, walaupun kejadian berlaku berdekatan balai.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Balai Polis
Tropicana hanya selang dua pintu dari pejabat itu, tetapi tiada seorang
pun anggota menghalang serangan tersebut.
“Ia
sangat memalukan. Mereka hanya berpeluk tubuh dan tidak diberi arahan
oleh ketua mereka supaya menahan samseng yang membuat serangan,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Rafizi berkata, serangan itu perlu dipandang serius kerana menjejaskan keselamatan awam dan bertentangan undang-undang.
“Keganasan ini jelas dirancang kerana mereka membawa telur, batang
kayu dan kon lalu lintas khusus untuk menyerang. Mereka juga mengugut
untuk membakar pejabat kami. Ini kesalahan jenayah serius,” kata Rafizi.
Dalam
kejadian serangan yang bermula 5 petang semalam, hampir 30 samseng Umno
membuat kecoh di hadapan ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya,
menyebabkan seorang kakitangan cedera dan harta benda rosak.
Mereka mendakwa kononnya datang untuk membantah kenyataan Naib
Presiden KEADILAN, Tian Chua berhubung pencerobohan pengganas Sulu di
Lahad Datu.
Mereka memakai baju putih bercetak anti-Anwar, menyerang dengan
melontarkan telur, kayu, batu, kon lalulintas dan membakar bendera
KEADILAN.
Insiden
ini merupakan rentetan serangan terhadap Jelajah Merdeka Rakyat bersama
Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Melaka dan serangan depan
pejabat Tian, masing-masing pada minggu lepas.
Menurut Rafizi, siri keganasan terhadap pimpinan KEADILAN perancangan
tersusun Umno yang mengambil kesempatan di atas insiden pencerobohan
Lahad Datu, sebagai modal politik untuk menimbulkan kebencian terhadap
Anwar dan pemimpin parti.
“Selain propaganda di media perdana, kumpulan samseng Umno digerakkan
untuk mengugut dan menimbulkan kebencian melalui keganasan. Politik
kebencian yang dimainkan Umno ini dijadikan alasan untuk mengancam
keselamatan pimpinan KEADILAN melalui siri keganasan berterusan.
“Saya
tidak menolak politik kebencian ini dijadikan kesempatan oleh anasir
tertentu Umno BN untuk memastikan Anwar ditahan, disiasat seterusnya
didakwa,” tegas Rafizi.
Berikutan itu, KEADILAN menggesa polis menyiasat kejadian semalam dan
keganasan berterusan yang dicetus kumpulan samseng terhadap pemimpin
parti itu.
“Tindakan keras perlu diambil terhadap sesiapa yang terlibat dan
menjadi dalang. Insiden ini tidak sepatutnya berlaku. Polis tidak boleh
mengambil sikap ‘double standard’ dalam soal ini,” kata Rafizi. – NS
0 Komen pengunjong :