“
APA yang pasti Anwar Ibrahim tidak lagi dibenarkan bebas seperti sekarang. Kes liwat kedua hanya sebagai penyebab semata-mata,” ujar satu sumber Umno di Kuala Lumpur.
Sebelum ini ramai berhujah Anwar tidak mungkin bebas kalau Tun Dr Mahathir Mohamad masih berada di kerusi lamanya. Buktinya tidak lama selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Dr Mahathir, Anwar dibebaskan. Anwar dibebaskan pada September 2004.
Pak Lah menggantikan Dr Mahathir pada Oktober 2003. Sekarang Pak Lah sudah disingkirkan dan kuasa politik Dr Mahathir mulai mencengkam kembali.
Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998. Tidak lama kemudian dihumbang ke penjara atas alasan mengugut penjawat awam.
”Alasan yang dimasyhur ketika itu bukannya kesalahan liwat versi pertama seperti diuar-uarkan, sebaliknya mengugut penjawat awam,” kata puteri sulung Anwar, Nurul Izzah.
Nurul Izzah muncul ikon baru politik di Tanah Malaya. Baru-baru ini ceramahnya di Machang dan Kuala Krai menarik ribuan pendengar.
Sebaliknya versi liwat kedua memperlihatkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal-awal lagi menyimpulkan Anwar ada prima facie.
Mengejutkan apabila Hakim Dato’ Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat rumusan Mohd Saiful Bukhari seorang yang berwibawa dan keterangannya boleh dipercayai.
Saiful ada hubungan
Sedangkan ramai tidak lupa seorang peguam daripada pasukan pendakwa yang mengendali kes liwat II digugurkan kerana dakwaan mempunyai hubungan dengan Saiful.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dikatakan ada hubungan dengan saksi utama pihak pendakwa. Hubungan romantik mereka dibongkarkan blogger, Raja Petra Kamarudin.
Ramai juga masih belum lupa adik ipar kepada Saiful menafikan dia melarikan adik saksi utama pendakwa itu ke selatan Thailand.
Sebaliknya Faez Khairi, 28 mendakwa adik Saiful, Saidati Adha secara rela mengikutinya ke negara itu untuk berkahwin.
Sebelum itu Saiful ada membuat pengakuan di mahkamah, Faez dan Saidati melarikan diri. Pendedahan mengenai keluarga saksi utama terbabit terbongkar ketika beliau menjawab soalan peguam Karpal Singh.
Pada keterangan tersebut Saiful memberitahu ibu bapanya sudah bercerai ketika beliau berumur tujuh tahun. Oleh itu rumusan awal dibuat hakim seperti menyimpang daripada senario yang berlaku.
”Biar apa pun saya sering mendengar pemimpin Umno bercakap mengenai Anwar. Setiap kali ada mesyuarat Majlis Tertinggi isu Anwar menjadi fokus,” ujar sumber Umno tadi.
Maka berdasar kepada fenomena yang berlaku sekarang ledakan reformasi 1998 sekali lagi bakal menarik simpati pengundi Melayu.
Fakta Anwar dan kemelesetan ekonomi yang berlaku ketika itu menyebabkan orang Melayu beralih daripada Umno kepada Barisan Alternatif (BA).
Inilah yang dikatakan ramai sarjana budaya baru politik di Malaysia. Prof Dr Loh Kok Wah dari USM mentafsirkan perubahan tersebut sebagai gambaran politik baru mulai dicetus di negara ini.
Keberanian orang Melayu turun ke jalan-jalan raya menuntut keadilan untuk Anwar mencetus ledakan perubahan pada pola pengundian pilihanraya umum 1999.
Kesannya BA berjaya menawan negeri-negeri majoriti Melayu iaitu Terengganu dan mengekalkan Kelantan di tangan PAS.
Selain itu berjaya menembusi kerusi-kerusi majoriti Melayu di Selangor, Perak, Pahang, Perlis dan Pulau Pinang.
Perkembangan reformasi memberi saham berganda buat PAS sehingga berjaya menduduki kerusi di Dun Selangor, Perak dan Pahang. PAS juga mengukuhkan kedudukan di Kedah.
PAS ketua pembangkang
Tuahnya buat PAS apabila berjaya menghantar seramai 27 wakil rakyat ke Parlimen ketika itu. Walhasilnya bekas Presiden PAS, Dato’ Fadzil Mohd Noor buat pertama kali dalam sejarah parti Islam dilantik sebagai ketua pembangkang.
Berdasar kepada percikan reformasi fasa pertama, orang Melayu beramai-ramai meninggalkan Umno. Ternyata strategik Dr Mahahir silap apabila ’membunuh’ karektor utama dengan cara yang sukar diterima resam Melayu.
Dan hari ini situasi itu seperti berulang kembali. Orang Melayu yang berpegang teguh dengan agama tidak boleh menerima fitnah dicetus secara mudah.
Liwat versi kedua dan adegan video seks yang cuba dipalitkan terhadap Anwar menyebabkan pengundi Melayu menjadi mual.
Mereka tidak mampu menerima cerita lama mengulangi apa yang pernah terjadi kepada Nabi Yusof. Baginda dianiayai adik beradik sendiri sehingga dibuang ke dalam perigi.
Kemudian dicetus fitnah Zulaikha mahu mengoda baginda. Namun kemaraan Nabi Yusof tidak mampu disekat. Baginda akhirnya bangkit memimpin umat Islam ketika itu.
Sudah lama cerita itu difahami orang Melayu beragama Islam.
Orang Melayu Islam yang sering bertandang ke masjid setiap bulan Rejab juga pastinya pernah mendengar kisah di sebalik peristiwa Israk Mikraj.
Ustaz dan ulama sering memberitahu baginda Rasulullah SAW menghadapi cabaran paling hebat dalam sejarah dakwah baginda. Semasa baginda menyampaikan dakwah di Taif, baginda SAW dilemparkan dengan batu dan diejek-ejek pemuda nakal.
Baginda dilempar batu sehingga berdarah kaki. Selepas itu baginda meninggalkan Taif sambil berehat membalut lukanya di sebuah kebun kepunyaan adik beradik iaitu Utbah dan Syaibah bin Rabiah.
Di saat itulah baginda SAW merintih kepada Allah SWT dengan doanya;
”Wahai Tuhanku, kepada Engkaulah aku mengadu segala kelemahanku, sempitnya daya usahaku dan hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Engkaulah pelindung orang-orang yang lemah dan Engkaulah Tuhanku.
”Kepada mereka yang jauh dan menghadapi aku dengan muka masam, atau kepada musuh, atau kepada musuh yang menguasaiku? Kalau Engkau tidak murkaiku, tidaklah aku pedulikan.
”Tetapi kemaafahan Engkaulah yang sangat aku harapkan dan memberi kelapangan kepadaku. Aku mohon berlindung di bawah cahayaMu yang menerangi semua kegelapan dan di atasNyalah semua urusan dunia dan akhirat menjadi baik.
”Agar janganlah kiranya Engkau turunkan murkaMu dan kebencianMu kepadaku. Kepada Engkaulah aku merayu sehingga Engkau meredhainya. Tidak ada daya usahaku dengan kekuatanMu.” (Lihat Abu Fathan dalam Peranan Islam Dalam Masyarakat Melayu, 1996).
Kisah sentimental itu tidak mampu dijarakkan daripada jiwa orang Melayu yang masih kuat berpaut kepada Islam.
Setiap kali bulan Rejab kisah tersebut diulang-ulang semula sebagai pengajaran buat orang beriman. Namun malangnya, masih ramai orang Melayu hanya Islam pada nama dan tidak amalnya.
Bagi golongan tersebut tiada pengajaran mampu diambil daripada kisah Israk Mikraj. Maka tidak hairanlah diuar-uarkan kisah lucah dan hantu bagi menghalang kebenaran Islam bertapak subur dalam jiwa orang Melayu.
Maka ramai berhujah situasi politik hari ini mengundang fenomena 1999 berulang kembali. Ia sudah dibuktikan di Singapura baru-baru ini apabila pengundi Melayu beralih kepada Parti Buruh.
0 Komen pengunjong :