KUALA LUMPUR: Kongres
Melayu Pulau Pinang berpendapat dalam situasi yang munasabah adalah
satu usaha yang sia-sia sahaja sekiranya dibiarkan parlimen terbubar
dengan sendirinya.
Presidennya, Rahmad Isahak berkata, ini
amat jelas di antara tarikh 9 Mac 2013 hingga 28 April 2013 iaitu
bersamaan 51 hari tersebut bererti Kerajaan Malaysia serta penerajunya
beroperasi tanpa mandat dari rakyat tetapi sebaliknya bernafas melalui
talian hayat parlimen semata-mata.
“Amat bertepatan pihak kami katakan dalam tempoh 51 hari berkenaan negara ini sedang ditadbir oleh caretaker government tanpa sebab yang munasabah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau.
Tanggal 8 Mac 2008 hingga tarikh 8 Mac 2013 adalah merupakan hari
genap lima tahun kuasa rakyat terhadap pehak pemerintah di negara ini
untuk mentadbir sudah berakhir.
Tempoh 5 tahun berkenaan adalah juga kehendak Perlembagaan negara ini
yang sudah terlaksana semenjak 12 siri pilihanraya umum terdahulu.
Kuasa rakyat bukanlah barang komersial yang boleh diperdagangkan.
Hari ini tercipta satu lagi sejarah hitam di mana mandat rakyat telah
dipermainkan sewenang-wenangnya seakan-akan undi rakyat sudah tidak
bermakna lagi.
Kedudukan kuasa politik dalam situasi kepura-puraan kerana takut
hilangnya kuasa adalah lebih penting dari segala-galanya. Tapi jangan
lupa bahawa pengundi bukannya boleh dipersendakan apatah lagi di
perbodohkan. Lambat laun hukuman dari sudut demokrasi pasti berlaku.
Negara pada hari ini secara pasrahnya sedang bernafas melalui talian
hayat Dewan Rakyat (Parlimen) sehingga 28 April 2013 dan bukan lagi
menerusi nadi rakyat yang berjumlah hampir 29 juta orang.
Bagaimana hendak kita istilahkan keadaan kuasa pentadbir negara ini
pada masa sekarang? Apakah ini hadiah untuk rakyat selepas kita melalui
12 pilihanraya umum sebelum ini dan wajarkah rakyat didera dalam
menanti detik pembubaran parlimen?
Kemelut demi kemelut, insiden demi insiden serta isu-isu semasa
tumbuh bagai cendawan di mana semua ini perlu dijawab oleh pakar-pakar
politik negara ini yang konsepnya berteraskan amalan demokrasi.
Tetapi adakah persoalan istilah demokrasi tersebut pada masa kini
menguntungkan rakyat? Rasanya tidak, malah lebih menjurus kepada
kemarahan disebabkan hak rakyat tidak diutamakan.
Tidak rasional sedikitpun serta langsung tidak memberikan kesan
positif jikalau sepanjang masa kebelakangan ini pemimpin kita asyik
berjanji dengan bermacam imbuhan sama ada secara tunai mahupun dalam
bentuk prasarana awam.
Apa yang terpenting di sini adalah kembalikan mandat kepada rakyat.
Negara ini bukannya hak milik seorang sahaja malah ianya adalah milik
hampir 29 juta warga negara Malaysia.
Pihak kami berpendapat dalam situasi yang munasabah adalah satu usaha
yang sia-sia sahaja sekiranya dibiarkan parlimen terbubar dengan
sendirinya. Ini amat jelas di antara tarikh 9 Mac 2013 hingga 28 April
2013 iaitu bersamaan 51 hari tersebut bererti Kerajaan Malaysia serta
penerajunya beroperasi tanpa mandat dari rakyat tetapi sebaliknya
bernafas melalui talian hayat parlimen semata-mata.
Amat bertepatan pihak kami katakan dalam tempoh 51 hari berkenaan negara ini sedang ditadbir oleh caretaker government tanpa sebab yang munasabah.
Apakah tempoh 51 hari berkenaan akan menjadi kenyataan? Apakah itu kehendak rakyat ataupun sebaliknya?
Pihak kami berpendirian hanya YAB Perdana Menteri sahaja yang lebih bijak menilai di antara kualiti dan laibiliti.
Sebagai rakyat biasa pihak kami mengharapkan amalan tulen demokrasi
dapat diterjemahkan semasa proses pilihanraya berlangsung. Kita tidak
mahu rakyat yang menanggung musibah diatas permainan politik rakus
disebabkan kuasa.
Akhir sekali adalah amat tidak menyenangkan apabila Perdana Menteri
akan dikenang dalam lipatan sejarah negara ini kerana gagal
memartabatkan transformasi jangka masa 5 tahun berkenaan.
0 Komen pengunjong :