Cadangan
untuk menubuhkan sebuah akademi untuk para peguam menerima kritikan
daripada pelbagai pihak yang melihat kecenderungan Umno-Barisan Nasional
(BN) mencipta sebuah lagi institusi untuk dijadikan ‘budak suruhan’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz
membuat cadangan tersebut setelah melihat Majlis Peguam
dalam mesyuaratnya baru-baru menyelar tindakan pasukan polis
menggunakan kekerasan terhadap para peserta Bersih 3.0 pada 28 April
lalu.
Seperti yang dijangka, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad turut menyokong penubuhan akademi itu memandangkan menurutnya,
Majlis Peguam yang ada sepatutnya bertukar menjadi parti politik kerana
sering mengkritik dasar-dasar kerajaan.
Hanya kerana Majlis Peguam mahu menuntut keadilan dan mahu
keadilan itu dilihat dilaksanakan seperti mana lapan tuntutan
Bersih berhubung pilihan raya yang bebas, bersih dan adil, para
pemimpin Umno-BN dulu dan sekarang melihatnya sebagai ‘musuh’.
Mereka mahu agar Majlis Peguam juga mengikut telunjuk mereka
seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
dan beberapa aparatus yang lain seperti ‘lembu’ yang dicucuk hidung
semau-maunya.
Ketika kerajaan Terengganu jatuh kepada PAS dalam pilihan raya
umum 2004, Dr Mahathir memberi komen, BN kalah di negeri itu kerana SPR
tidak menghulurkan kerjasama. Jika SPR memihak, BN pasti menang.
Dari sudut pandangan Dr Mahathir bahawa Majlis Peguam
sepatutnya menjadi parti politik adalah berdasarkan pandangan beliau
yang tempang kerana melihat SPR adalah juga merupakan sebuah parti
komponen Umno-BN.
Berdasarkan kepada pemikiran beliau yang berat sebelah ini
juga, sebenarnya beliau sangat ingin jika sekiranya Majlis Peguam
dapat menjadi salah sebuah parti komponen dengan menyokong dasar-dasar
kerajaan.
Institusi guaman yang bebas
Tetapi ternyata Majlis Peguam dapat membuktikan bahawa ia
merupakan sebuah institusi guaman yang bebas dari sebarang
pengaruh politik.
Keadaan ini mengecewakan Dr Mahathir kerana beliau mahu Majlis
Peguam juga menjadi ‘budak suruhan’ dan mengikut telunjuk Umno- BN.
Pandangan mereka yang berat sebelah ini boleh diukur
melalui tindak-tanduk beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pro
Umno-BN seperti Gaps (Gerakan Anti-Penyelewengan Selangor), Jati (Jalur
Tiga), Tibai (Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim) dan lebih-lebih
lagi Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia).
Apabila NGO-NGO ini menganjur demonstrasi dan bantahan
terhadap kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat, tidak pula
kedengaran kritikan daripada para pemimpin Umno-BN. Sarankan saja supaya
mereka ini juga bertukar menjadi parti politik.
Perbuatan sabotaj hampir setiap hari NGO-NGO ini di
negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak pula dihalang malahan dalam beberapa
keadaan tertentu mendapat ‘perlindungan’ dan ‘kerjasama’ daripada
pasukan polis.
Contoh lain, di mana pasukan polis hanya berdiam diri ialah apa
yang berlaku di hadapan rumah pengerusi bersama Bersih yang juga bekas
presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga.
Beberapa gerai burger didirikan dan beberapa hari selepas
itu, sekumpulan 15 anggota bekas tentera dari Persatuan Veteran
Tentera Melayu membuat senaman goyang punggung di hadapan rumahnya.
Walaupun pasukan polis ditugaskan di situ tetapi tidak pula mengambil sebarang tindakan dan mereka hanya memerhatikan sahaja.
Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu
Bakar bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan memeranjatkan
banyak pihak.
Beliau tidak menyedari bahawa perbuatan-perbuatan seperti ini
adalah dilarang dan bercanggah dengan undang-undang kecil pihak berkuasa
tempatan.
Sikap double-standard seperti ini membuka ruang kepada kritikan
dan mungkin adalah lebih baik sekiranya semua NGO yang ada bertukar
status menjadi parti politik saja.
-/freemalaysiatoday
mudah sgt nak tubuh NGO......apa tujuannya entah....kadang2 hanya ajk nya saja yg jd pak sibuknya...ahli tak ada pun, kalau ada pun, banyak yg dok lena jaaaaa
ReplyDelete