Najib keliru Bersih dan Mesir, kata Anwar


KUALA LUMPUR, 8 Mei — Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keliru antara  matlamat perhimpunan Bersih 3.0 dan kebangkitan rakyat di Dataran Tahrir, Mesir, tahun lalu yang mana Najib dakwanya menggunakan agensi kerajaan untuk mengelirukan rakyat.
Dipetik Sinar Harian Online, Anwar berkata: “Jadi dia gunakan bekas Ketua Polis (Negara) dan ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan,” kata Ketua Pembangkang itu ketika berucap pada siri Ceramah Perdana dan Jelajah Merdeka: Pasca-Bersih 3.0 di Padang Kampung Baru, Batu Caves dekat sini, malam tadi.
Siri ceramah itu susulan kepada perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April, dilihat sebagai usaha mengekalkan momentum menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berkata, mereka  mahu menggunakan platform itu untuk menjelaskan tujuan dan matlamat perhimpunan Bersih 3.0.
Pentadbiran Barisan Nasional (BN) pula termasuk Najib mendakwa pembangkang menggunakan perhimpunan itu untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana berlaku di Mesir awal tahun lalu.
Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agungnya, Datuk Saifudin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga ahli jawatankausa Pas Pusat.
Ketika menyentuh kenyataan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dikeluarkan kelmarin, Anwar menegaskan, persoalan fatwa mengenai  demonstrasi haram sudah terdijawab dalam buku ulama tersohor, Dr Yusuf Al-Qardawi.
“Buku itu bertajuk ‘Taurah Syaar’ yang bermaksud kebangkitan rakyat.
“Dah jawab dah soalan ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada bab pertama dalam buku tersebut.
“Ada orang mengatakan demonstrasi itu bukan budaya Islam, bukan budaya Arab dan diimport dari luar, tetapi Qardawi mengulas dengan menulis ayat Quran yang bermaksud ‘harus kerjasama dalam membuat kebaikan’,” kata Anwar didakwa turut mengarahkan perusuh merempuh halangan di kawasan Dataran Merdeka pada 28 April lalu.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan keyakinan untuk menang pada PRU13 dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penyokongnya.
“Jika kita menang, kita akan laksanakan pendidikan percuma, pemberian permit teksi kepada semua pemandu teksi dan memberi hak kewarganegaraan kepada kaum India yang masih tidak mendapat taraf kerakyatan.
“Politik bukanlah persaingan melalui perkataan tetapi perjuangan untuk rakyat,” tambah Anwar.
Anwar juga turut menyatakan beliau tiada masalah dengan pihak polis dan mereka juga akan menjadi penjaga keamanan negara pada kerajaan reformasi apabila PR berjaya menawan Putrajaya.
.

0 Komen pengunjong :