Saya terpanggil untuk mencari penjelasan daripada Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mengenai
fatwa berikut:
'Adalah haram buat umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik.'
Pertama, perhimpunan BERSIH 3.0 untuk pilihan raya bebas dan adil telah
mendapat kebenaran serta kelulusan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan
Aman dan memenuhi syarat 'bertujuan baik' kerana tentunya tuntutan
pilihanraya bebas dan adil tidak haram?
Kedua, arahan mahkamah melarang perhimpunan ke ruangan Dataran Merdeka
adalah menafikan hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik, oleh
itu ia 'bertujuan tidak baik' dan menimbulkan 'suasana konfrontasi'.
Justeru, adakah tindakan ini haram?
Ketiga, tindakan berlebihan pihak berkuasa mengepung dan menghalang
orang ramai bersurai secara teratur dan aman serta tindakan menggunakan
kekerasan berlebihan seperti gas pemedih mata, pancutan air kimia,
pukulan dengan cota dan kekerasan yang diperlakukan segelintir anggota
polis secara am -adakah semuanya haram?
Keempat, Pengerusi Jawatankuasa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor
Husin juga menyebut: "Tindakan merusuh, mewujudkan kacau bilau dan
merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam.
Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang
melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama."
Oleh demikian bagaimana fatwa tindakan umat Islam di Tunisia, Mesir,
Libya dan kini Syria ke atas kerajaan masing-masing yang sah di sisi
undang-undang juga haram?
Kelima, apakah fatwa untuk menipu di pilihanraya dengan berbagai kaedah
seperti menghalang rayuan mahkamah dibuat di atas kesahihan Daftar
Pemilih (Akta Pilihanraya - Seksyen 9A), menghalang wakil-wakil parti
dan bukan parti menyaksikan dan menyemak kad pengenalan pengundi dengan
Daftar Pemilih pada hari mengundi (Akta Kesalahan Pilihanraya - Seksyen
26A (2) dan (3)), persempadanan kawasan pilihanraya tidak adil melalui
pindaan Artikel 116 Perlembagaan Persekutuan mengenai nisbah perbezaan
jumlah pengundi tidak melebihi 15% setiap kawasan, penyalahgunaan undi
pos, akses media terhad untuk semua parti politik, pengunaan politik
wang merasuah pengundi dan pengunaan pengundi hantu - adakah ia haram?
Keenam, apakah fatwa mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk berdasarkan
pilihanraya yang tidak bebas dan tidak adil - adakah ia kerajaan haram?
Sebagai makluman, saya telah membuat pertanyaan rasmi di sidang Parlimen
yang lepas kepada Perdana Menteri merujuk soalan berikut:
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : Y.B. PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR
[LEMBAH PANTAI]
TARIKH : 22 MAC 2012 [KHAMIS]
SOALAN :
Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI
menyatakan adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan Fatwa
tentang amalan penipuan pelbagai bentuk dan cara dalam pilihan raya dan
penganugerahan status kewarganegaraan kepada warga asing sebagai balasan
sokongan kepada Kerajaan Pusat.
JAWAPAN: (Y.B SENATOR MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HAJI BAHAROM (B), MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI)
Tuan Yang di-Pertua,
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia berpandangan tidak ada keperluan untuk berbincang dan
memberikan fatwa berkaitan penipuan dalam pilihanraya. Ini kerana, dalam
Islam, hukum bagi sebarang bentuk penipuan adalah jelas iaitu tidak
dibenarkan.
Suruhanjaya Pilihanraya juga telah mempunyai undang-undang dan peraturan
yang boleh mengawal dan mengendalikan proses serta perjalanan
pilihanraya di Negara ini agar berlangsung dengan telus dan adil.
Sekian, terima kasih
Malangnya jawapan yang diberikan oleh wakil PM iaitu Menteri di Jabatan
Perdana Menteri adalah bahawa Majlis Fatwa tidak perlu membuat fatwa di
atas perkara yang ditanya walaupun semua bentuk penipuan adalah tidak
dibenarkan agama Islam.
Akhir sekali, saya berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan dengan segera
memberikan jawapan kepada kesemua persoalan di atas agar kesucian Islam
terpelihara.
.
0 Komen pengunjong :