KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 hadir ceramah ‘Kuning Kuning, Najib
Pening’ di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Markaz
Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar, Gombak malam tadi.
Seperti
pesta, dengan puluhan kedai menjual pelbagai aksesori dan pakaian
bertema ‘Bersih 3.0 Duduk Bantah’ selain kedai ‘sup ceramah’ dipenuhi
ribuan hadirin hingga tidak cukup tempat duduk.
Sambutan luar jangka menyebabkan penganjur terpaksa menyediakan layar
besar di luar dewan berikutan dewan utama tidak dapat menampung hadirin
yang ramai.
Kaum ibu, anak muda dan mahasiswa bersahut-sahutan melaung slogan ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Bersih Pilihan Raya’.
Antara tamu jemputan dan pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua;
Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Tan Sri Kadir Sheikh
Fadzir.
“Dalam dunia ini tidak ada pilihan raya yang bebas dan adil selagi
media tidak dibebaskan. Kalau pilihan raya dijalankan begini, jelaslah
Malaysia bukan negara demokratik,” kata Kadir yang juga bekas Menteri
Penerangan.
Hadirin turut ‘dibakar’ dengan bacaan sajak pernuh bersemangat oleh penyair Johor, Amni Jagat berjudul ‘Tanah, maruah rakyat’.
Amni turut mengingatkan hadirin untuk memberi sokongan pada ‘Himpunan
Tanah’ yang dianjur di Plaza Angsana, Johor Bahru, 5 Mei ini.
Meskipun dalam suasana tidak selesa – sebahagian besar hadirin
melimpah ke luar Dewan dan bersila di lantai, mereka tekun mendengar
amanat pimpinan.
“Esok
kita turun ke Dataran Merdeka bagi menunjukkan kepada kerajaan bahawa
rakyat tegas menuntut pilihan raya yang bebas dan adil,” kata Tian Chua.
Speaker terakhir, Mohamad Sabu berkata selagi pilihan raya tidak
bersih dan tidak adil, tiada harapan untuk melihat rakyat yang tertindas
dapat dibebaskan.
“Kehadiran kita dalam himpunan Bersih 3.0 adalah bukti rasa cinta rakyat kepada negara,” tegasnya disambut laungan takbir.
0 Komen pengunjong :