Kuasa orang Melayu kekal di bawah Pakatan Rakyat


SHAH ALAM: Kuasa orang Melayu di dalam pentadbiran kekal sekiranya Pakatan Rakyat menerajui kerajaan, kata ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Beliau mendakwa Umno-BN bimbang kehilangan kuasa sekiranya rakyat mengambil keputusan mengubah pemerintah sedia ada.
“Ianya tidak ada kena mengena mengenai survival menyelamatkan politik orang Melayu tetapi untuk menyelamatkan Umno. Kedudukan orang Melayu tetap sama cuma bezanya jenis orang Melayu yang memerintah,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.
Khalid turut mengingatkan orang Melayu supaya tidak terpedaya dengan dakyah yang dimainkan oleh Umno-BN supaya tidak menyokong penipuan  daftar pemilih yang sedang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat.
Katanya, dakwaan berlakunya keraguan dalam daftar pemilih seperti di Sabah tidak dinafikan pada sesi persidangan Parlimen.
Jelas beliau, Pakatan Rakyat bukan bertujuan untuk menjatuhkan politik Melayu sebaliknya ingin menggantikan pemimpin Melayu yang sedia ada kepada yang lebih amanah dan berintegriti.
Sementara itu, Khalid turut meminta agar kakitangan kerajaan mengutamakan kesetiaan kepada negara dan kerajaan bukan atas dasar parti yang sedang berkuasa.
“Tidak ada masalah sekiranya kakitangan kerajaan menegur atau menolak pihak kerajaan yang sedang ditadbir Umno-BN  pada pilihanraya akan datang sekiranya mereka melihat penyelewengan yang berlaku serta memilih untuk bersama dengan agenda perubahan,” katanya.

1 comment :

  1. maaf saya ingin beri pandangan bukan kpd isi artikel tapi pada perkataan 'kakitangan kerajaan' yg sebenarnya merendahkan martabat pekerja..kakitangan rujuk pd kaki dn tangan yg tak berfikiran.. kerajaan rujuk pada absolute power yg hanya Allah pemileknya..memang perkataan'kakitangan kerajaan' kerap diguna waktu pentadbiran mantan pm Mahathir supaya penjawat awam ikut perintah tanpa guna akal..saya mohon janganlah hina penjawat awam sebab semua diberi akal oleh Yg Maha Kuasa..jika dapat disampaikan kpd yg berkenaan saya ucapkan terima kasih tak terhingga..

    ReplyDelete