TAHUN
malap dan malang buat BN ialah 2013. Mereka tidak boleh lagi berlagak
bijak dan bodoh sombong seperti dulu. Para wakil rakyat mereka tidak
boleh lagi ketagih untuk dicium tangan. Masa ini adalah masa terbaik
untuk berkhidmat dan bukan lagi khianat.
Bagi kita, rakyat Malaysia, kalau jalan raya sanggup berarak, asap
kanister pun mampu diharung, inikan pula di peti undi. Tidak ada siapa
lagi yang mampu menangguh kesedaran nurani kita yang berani melakar
perubahan politik Malaysia.
Bagaimanapun, BN nampaknya masih bermimpi, mereka menuduh peralihan
undi rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR) pada PRU-13 ini sebagai satu
perubahan akibat emosi dan sentimen perkauman. Sekali lagi, BN jerut
leher sendiri.
Kalau tidak kerana orang Melayu memilih Khalid Samad daripada PAS di
Shah Alam, sudah tentu bilangan orang Cina yang hanya sekitar 15 peratus
takkan mampu memenangkan beliau. Dan kalau tidak orang Melayu memilih
Wee Jeck Seng daripada MCA, takkan juga Madhzir Ibrahim yang mewakili
DAP di Tanjung Piai tewas. Politik perkauman cuma mainan BN untuk meraih
undi, realitinya, sudah lama orang Melayu boleh memilih calon bukan
Melayu dan begitu juga sebaliknya.
Politik sumbat menyumbat
BN perlu akur, kita sudah sedar dengan bahaya perkauman, kita telah
faham benar dengan politik projek parit longkang dan politik subsidi.
Sebab itu juga, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Raja Nong Chik tewas
ditangan Nurul Izzah Anwar biarpun bekas menteri itu agresif menyumbat
segala macam pembangunan dan projek naik taraf kemudahan masyarakat di
Lembah Pantai.
Adakah BN faham mesej yang disampaikan? rakyat memilih Pakatan Rakyat
kerana mahu negara ini ditadbir oleh mereka yang benar-benar layak.
Kita mahu Malaysia bebas rasuah, bebas diskriminasi, bebas monopoli, dan
menjalankan segala dasar kerajaan yang pro-rakyat. Kita mahu politik
baru, politik yang dicerahkan dengan ilmu, kefahaman dan fakta bukannya
politik perkauman, politik fitnah dan rasuah.
Masa berlalu pantas meninggalkan cebisan hitam sejarah bangsa yang
dikeronyokkan. Sebab itu kita tidak hairan bila Najib berjaya melakar
prestasi terburuk dalam sejarah BN pada PRU-13 ini biarpun bukan sedikit
duit yang ditabur.
Soalan mudah untuk BN
Membina bangunan, menyediakan ruang niaga, menyediakan bantuan membina
reban ayam, kendang lembu dan kambing, memberi TOL tanam labu dan
keledek, adakah ini hujah paling kukuh bagi BN untuk menyatakan mereka
cukup berjasa dan perlu terus diberi kepercayaan untuk memerintah?
Adakah ini juga hujah terbaik BN yang berkata rakyat seharusnya
bersyukur? Siapa pula yang membiayai segala projek kerajaan kalau bukan
kita sebagai pembayar cukai.
Bagaimana pula dengan Altantuya? Teoh Beng Hock? Ahmad Sharbani? A
Kugan? Memali? RCI Sabah? Ratusan bilion ringgit keluar secara haram?
Kebanjiran PATI? Kemerosotan tahap pendidikan anak-anak kita? Lynas?
Rapid? Kes mati dalam tahanan? dan lain-lain?
Kemudian, bagaimana pula dengan segala aduan dan rekod salah guna
kuasa, rasuah dan penyelewengan yang menyebabkan kita terbeban dengan
kos sara hidup yang makin meningkat? Sampai bila BN perlu mengajar kita
untuk bersyukur? Sampai bila BN akan terus memainkan politik perkauman?
Sampai bila BN mampu untuk mengawal daya fikir kita?
Malaysia telah sampai ke era pencerahan politik. Politik kolot dan
hodoh bawaan BN ini memang wajar kita kuburkan. Sepertimana hodohnya
design poster dan kain rentang mereka, dan seperti berkuburnya politik
Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin, Ali Rustam, Chua Soi Lek, Abdul Ghani
Othman dan lain-lain.
– Roketkini.com
0 Komen pengunjong :