Penyokong akar umbi kecewa Zaid tarik diri

Beberapa cabang PKR yang memberi sokongan kepada calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim berasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan tindakannya menarik diri daripada bertanding merebut jawatan tersebut kelmarin.

Bahkan maklum balas yang diterima dari ahli akar umbi menyatakan mereka berasa "seolah-olah dipermain-mainkan" oleh Zaid selepas bertungkus lumus menyokongnya dalam pemilihan yang berlangsung sejak dua minggu lalu.
"Beliau datang (berasal) dari Kota Bharu. Kita mengundi kerana sentimen, jadi ramai yang menyokong beliau.

"Tapi beliau buat macam ini, serang parti, cuba nak merosakkan parti, kita tidak berpuas hati... Kalau buat macam ni, lebih baik keluar dari PKR," kata ahli jawatankuasa PKR Kota Bharu Hasanudin Roslan ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Dalam pengundian di cabang Kota Bharu pada 29 Oktober lalu, Zaid mendapat 174 undi manakala Azmin Ali mendapat 11 undi. seorang lagi calon timbalan presiden, Mustaffa Kamil Ayub pula mendapat 25 undi.
Bagaimanapun, Hasanuddin berkata beliau ada mendengar kumpulan penyokong bekas menteri itu di Kelantan bercadang untuk mendesaknya kembali bertanding jawatan tersebut.

Menurutnya cabang berkenaaan adalah Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang yang akan mengundi Jumaat ini.

"Sejauhmana cara mereka (hendak mendesak Zaid) saya tidak pasti," katanya sambil menjangka keputusan mengundi Jumaat ini di Kelantan akan menurun disebabkan tindakan Zaid itu.

Bincang sebelum merebak

Menurutnya lagi, bukan sahaja, malah penurunan peratusan mengundi itu juga disebabkan ahli akar umbi merasakan "Azmin boleh menang" kerana persaingan hanya dua penjuru dengan ketua PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub yang setakat ini mendapat undi terendah.

Selepas 87 cabang bermesyuarat hujung minggu lalu, Azmin semakin jauh di depan dengan majoriti 2,479 undi meninggalkan Zaid dan Mustaffa.

Mengikut keputusan rasmi ibu pejabat parti, Azmin mendapat 6,467 undi, manakala Zaid memperolehi 3,988 dan Mustaffa meraih 1,215 undi.

Bagaimanapun, tidak puas dengan perjalanan pemilihan langsung PKR yang julung kalinya diadakan itu, Zaid semalam menarik diri dan melepaskan semua jawatannya dalam parti.

Sementara itu, timbalan ketua cabang Batu Kawan, Mansor Md Noor turut kecewa dengan tindakan Zaid yang juga Ketua PKR Wilayah Persekutuan.

Malah, menurut Mansor, hasil perbualannya dengan beberapa rakannya dari beberapa cabang dan akar umbi PKR, mereka turut berkongsi perasaan yang sama.

"Kalau boleh, (Datuk Zaid) boleh bawa (perkara ini) dengan berbincang. Saya tengok semakin hari semakin celaru (dalam parti). Sebelum merebak (menjadi parah) lebih baik bincang di meja rundingan," katanya.

'Pembersihan' dalam parti

Katanya, beliau sendiri akan bermesyuarat dengan ahli jawatankuasanya malam ini untuk mendesak Zaid menarik balik keputusannya daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

"Pengundian masih belum selesai. Masih ada harapan (untuk menang)... Kalau beliau membuat keputusan untuk teruse bertanding, beliau kembali akan mendapat sokongan," katanya.


Mansor juga mencadangkan supaya pucuk pimpinan parti "membuat perjanjian" supaya calon yang tewas "diberi tempat" dalam kepimpinan parti.
Dalam pengundian di cabang Batu Kawan pada 31 Oktober lalu, Zaid mendapat 94 undi, Azmin (59) dan Mustaffa (9).
Di Sepanggar, Sabah, naib ketua cabang Sulaiman Aladdad berkata tindakan Zaid mengundur diri bertanding jawatan terbabit bukan sahaja "mempermain-mainkan akar umbi, malah beliau seorang pemimpin yang tidak tahan dengan cabaran".

"Ahli akar umbi menyatakan berbagai pandangan mereka. Ada yang rasa pelik, ada yang berasa kecewa dan ada yang menghormati hak beliau untuk mengundur diri.

"Rata-rata pengundi menganggap (pengunduran) sebagai satu pembersihan dalam parti... Kita perlukan pemimpin tahan lasak dan setia kepada parti," katanya sambil mendesak agar pemilihan perlu diteruskan walaupun Zaid menarik diri.

Di cabang Sepanggar, Zaid mendapat 114 undi, manakala Azmin memperolehi 49 undi, sementara Mustaffa meraih 10 undi.


*print this page Print halaman ini

0 Komen pengunjong :