SHAH ALAM 7 Ogos - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa pihak polis dan kerajaan Malaysia menghormati peranan dan tugas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memantau perjalanan hak asasi manusia di negara ini.
Suaram menyifatkan tindakan Suhakam menghantar wakil pemerhati pada perhimpunan aman membantah perlaksanaan 50 tahun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Padang Timur Dataran MBPJ Ahad lalu sebagai langkah positif.
"Bagaimanapun, melalui pengunaan kekerasan berlebihan oleh polis dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam menyurai peserta perhimpunan aman nyalaan lilin, jelas membuktikan cadangan berulang Suhakam kepada kerajaan tidak dihiraukan.
"Suaram dengan tegas menyeru polis dan kerajaan Malaysia supaya menghormati pandangan Suhakam dan keputusannya berhubung perhimpunan anti ISA dan melaksanakan semua cadangan yang dikemukakan Suhakam, " tegas badan itu.
Menurut Suaram, penangkapan semasa perhimpunan nyalaan lilin 1 Ogos lalu adalah contoh terkini keengganan kerajaan untuk mematuhi cadangan suruhanjaya itu supaya menghormati hak orang ramai mengadakan perhimpunan aman seperti yang dijamin Perlembagaan.
"Ia termasuk yang terkandung dalam laporan suruhanjaya itu berhubung pertanyaan umumnya dalam kes perhimpunan Lebuh Raya Kesas (2001), perhimpunan “Bloody Sunday” di KLCC (2006), dan kejadian di Bandar Mahkota Cheras (2008).
"Dalam laporan siasatan orang awam dalam kejadian “Bloody Sunday” misalnya, Suhakam mencadangkan perhimpunan aman sepatutnya dibenarkan tanpa permit," ujar Suaram.
Pada perhimpunan itu, Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam dan Muhammad Sha'ani ditemani lima pegawai hadir sebelum acara memasang lilin itu diadakan dan meneruskan pemantauan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya sehingga kira-kira jam 4.30 pagi.
Menurut Suaram, ia merupakan langkah positif berikutan keengganan Suhakam melakukan perkara sama tahun lalu dalam perhimpunan besar ISA yang diadakan pada Ogos 2009 yang menyaksikan seramai 589 individu ditahan.
"Usaha baru sebegini dalam tugas Suhakam dialukan terutama dan bertepatan memandangkan kejadian berterusan pelanggaran hak manusia yang serius di negara ini," ujar badan itu lagi.
Suaram turut mendesak suruhanjaya itu meneruskan saranannya yang dibuat kepada kerajaan berhubung hak kebebasan bersuara dan berhimpun dengan aman.
"Suhakam harus memastikan yang ia memperbaiki usaha melindungi dan memperkenalkan hak asasi manusia serta tidak terhenti dengan kejadian ini," tegas Suaram.
Lelaki tular tampar isteri ditahan pagi tadi
3 months ago
0 Komen pengunjong :