Jika kita melihat kempen Umno-Barisan Nasional menerusi media
massa, sama ada Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan lebih lebih
lagi TV3, kita akan melihat seolah-olahnya Pakatan Rakyat akan musnah
dan tidak mampu mentadbir negara.
Media yang dikawal sepenuhnya oleh Umno-BN ini, setiap detik dan
hari, memang sengaja memaparkan imej yang paling buruk kepada Pakatan
Rakyat. PAS, PKR dan DAP diserang siang malam. Pemimpin Pakatan Rakyat
juga diserang setiap masa.
Media pencacai ini cuba untuk menonjolkan imej hebat Umno-BN. BN yang
sangat hebat dan berpengalaman berkuasa selama lebih 50 tahun dalam
negara.
BN yang dikhabarkan begitu kuat dan ampuh daripada sebarang cabaran.
Namun, kehebatan Umno-BN yang digembar-gemburkan, yang ditonjolkan
dengan begitu hebat, tetapi realitinya berada di dalam kegelabahan untuk
berhadapan dengan Pakatan Rakyat.
Jika Umno-BN terlalu kuat dan sukar digugat, mengapa Perdana Menteri
tidak membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13
diadakan?
Pada kita, memang tiada halangan untuk Perdana Menteri membiarkan
Parlimen terbubar dengan sendirinya selepas tamat tempoh lima tahun
kerajaan BN pada Mac 2013.
Namun jika Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membiarkan tempoh kerajaan
berakhir secara automatik, sedangkan dia ada kuasa membubarkan Parlimen
lebih awal, ia hanya akan mencacatkan persepsi rakyat terhadap Umno-BN
sahaja.
Tindakan itu bakal membuktikan bahawa selama ini Najib amat takut
untuk membubarkan Parlimen. Najib tidak yakin BN akan menang, jika
dipanggil Pilihan Raya Umum lebih awal daripada tarikh luputnya.
Bermula dari sekarang, Najib ada tiga bulan sahaja untuk 'survive'.
Sebagai PM beliau ada kuasa untuk menentukan bila Parlimen hendak
dibubar, bagi diadakan PRU.
Tetapi jika Najib hendak membubarkan Parlimen, beliau memerlukan
indikator dan petunjuk yang meyakinkan. Najib sedar, dia harus menang
besar, jika BN menang, tetapi lebih buruk daripada 2008, sudah tentu
Najib akan 'ghuyub'.
Tetapi malangnya, selepas tiga minggu Perhimpunan Agung Umno (PAU
2012) diadakan, yang dikatakan perhimpunan menyuntik semangat juang
Umno-BN, tiada apa-apa impak positif yang beliau peroleh.
PAU 2012 yang mendapat liputan media pencacai siang dan malam, ibarat
melaporkan kisah 'seekor ayam yang bertelur tetapi riuh sereban.' Tiada
apa yang dapat membantu Najib untuk membubarkan Parlimen, selain
perhimpunan 'sarkas' yang mendapat sambutan kerana lawak terbaik.
Secara seriusnya, pembentangan Belanjawan 2013 tidak dapat membantu
Najib. Sebarang program dalam jelajah 'Janji Ditepati' semakin kelam dan
dilupakan. Perhimpunan parti-parti komponen BN sebelum ini, juga gagal
memulihkan sokongan kaum masing-masing kepada BN.
Malah, PAU 2012 pun gagal membantu kerana ia menjadi platform ramai
yang melobi dan berkempen untuk menjadi calon PRU daripada memikirkan
kekuatan parti.
Najib tidak yakin bukan kerana faktor luaran. Najib tidak yakin
kerana faktor dalaman Umno dan BN yang masih tidak menentu dan celaru.
Najib sebenarnya, sedang menghadapi tekanan dan kritikan yang berat
dari pada orang-orang Umno, khususnya mantan Presiden Umno dan PM, yang
tidak yakin kemampuannya mengemudi bahtera BN untuk berhadapan dengan
Pakatan Rakyat
Tekanan yang hebat ini ibarat 'api dalam sekam'. Ia disembunyikan
media pencacai demi menyelamatkan 'kapal Umno' daripada karam. Namun,
bagi Umno, mereka sudah menghantat isyarat yang cukup jelas, bahawa
selepas PRU 2013, mereka tidak mahukan Najib.
Sehingga ada suara-suara sumbang dalam PAU 2012 mengatakan, mereka
terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan nyawa Umno pada PRU, dan
selepas itu mereka akan membuang Najib. Itupun jika Umno-BN menang.
Nampak gayanya, BN payah hendak menang. Pertama, kerana Umno dan
seluruh anggota komponennya, tidak solid untuk hadapi Pakatan Rakyat.
Dalam hal ini, walaupun Pakatan difitnah dengan pelbagai tohmahan, ia
kekal solid dan gagah.
Kedua, kerana sokongan kepada BN diperoleh berasaskan kaum, yang
sehingga kini gagal dipulihkan oleh MCA, Gerakan, PBB dan MIC,
khususnya. Sokongan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan-Dusun, sudah
beralih kepada Pakatan Rakyat.
Ketiga, produk transformasi yang 'dipasarkan' Najib tidak mendapat
sambutan rakyat, berbanding banyak produk Pakatan, yang diyakini dan
disenangi rakyat.
Keempat, pelbagai himpunan yang ditaja untuk BN, gagal meraih
populariti untuk Najib, berbanding dengan banyak Himpunan Kebangkitan
Rakyat yang dianjurkan Pakatan di seluruh negara, yang secara
konsistennya mendapat sambutan rakyat.
Ada banyak faktor yang boleh digariskan untuk membezakan Pakatan
Rakyat dengan BN. Yang jelas kepada kita adalah, setakat ini, walaupun
mempunyai kuasa 'menggembar-gemburkan' cerita, Najib masih tiada
keyakinan.
Najib sudah merasai arus menolaknya semakin kuat dalam Umno. Dan
beliau sedang mencongak dilukah mana beliau hendak berpaut, bagi
menyelamatkan karier politiknya.
Bagi Pakatan Rakyat, sama ada Najib atau sesiapa yang mengemudi
Umno-BN bukan soalnya. Pada kita, PRU 2013 nanti Umno-BN harus
diberhentikan, daripada terus berkuasa dalam negara.
0 Komen pengunjong :