KUALA LUMPUR:
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru para
mufti agar menjaga nama baik mereka dan tidak bermain politik partisan
untuk kepentingan pihak tertentu.
Ingatan itu berhubung
kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS, Datuk
Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang didakwa sebagai
'Amanat Haji Hadi'.
"Boleh berbincang dengan cara yang elok dan tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti.
"Jangan jual harga mufti dengan murah," tulisnya dalam Facebook petang tadi.
Menurut Menteri Besar Kelantan itu lagi, beliau secara peribadi sangat
mengenali Tuan Guru Abdul Hadi dan meyakini bahawa ilmu yang dimiliki
oleh Presiden PAS itu tidak lebih rendah daripada ilmu yang dimiliki
oleh para mufti.
"Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang.
"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," katanya.
Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah
Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilaporkan menggesa Tuan Guru
Abdul Hadi menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang pernah
dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.
Harussani berkata, tidak
mudah untuk meletakkan orang itu kafir dan, perkara itu sudah pun
dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti, sementara Wan Zahidi pula
berkata, amanat tersebut tidak berbahaya kepada Umno sebaliknya kepada
diri Hadi sendiri.
Amanat Tuan Guru Abdul Hadi merujuk kepada
satu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh beliau di Kampung
Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.
0 Komen pengunjong :