Showing posts with label Nik Aziz. Show all posts

Nik Aziz: Umno jangan nak 'bermuka-muka'


SHAH ALAM - Pas hari ini membidas kenyataan Umno yang mendakwa parti itu perkakas kepada DAP dan PKR apabila sanggup tunduk kepada dua parti tersebut dalam banyak perkara.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dipetik dalam laman sosial Facebooknya berkata perkara yang dilakukan Umno tersebut tidak bersifat baik sekali gus meminta bukti daripada pihak yang mengeluarkan kenyataan itu.

Beliau juga berkata pemimpin politik perlu bercakap menggunakan fakta dan tidak "bermuka-muka".

"Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak di dalam akhbar Sinar Harian halaman tiga hari ini.

"Katanya, Pas merupakan alat kepada DAP dan PKR. Saya ingin bertanya, UMNO pula alat kepada siapa?

"Di hadapan bangsa Melayu, inilah yang diungkapkan, di hadapan bukan Melayu, dikatakan pula DAP alat kepada Pas. Bermuka-muka begini bukan sifat manusia yang baik," katanya.

Mengikut laporan akhbar Sinar Harian hari ini, BN mendakwa Pas hanya perkakas DAP dan PKR apabila sanggup tunduk kepada dua parti tersebut dalam banyak perkara.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, rakyat perlu bijak menilai untuk memilih parti mana yang dapat membela orang Melayu dan Islam pada masa sekarang dan jangka panjang.

Dakwanya, di sesetengah tempat, Pas memberitahu ia tidak mahu menjaga orang Melayu, tetapi menjaga Islam walau apapun bangsa mereka.

“Mereka kata Pas bukan lagi untuk orang Melayu sahaja tetapi untuk Islam sedangkan kita juga perjuang untuk Islam dan bangsa Melayu juga tidak dipinggirkan. Kita tingkatkan syiar Islam di negara ini.

“Jika Pas perintah di Terengganu, jangan ingat DAP atau PKR tidak boleh campur tangan dan Pas kena banyak jaga hati kedua-dua parti itu dalam banyak perkara,” katanya.
Seterusnya >>>

Rampasan kuasa di Mesir, Amerika dalang?

Tindakan Amerika dan sekutunya (menyokong rampasan kuasa) adalah menghina umat Islam Mesir yang telah membuat keputusan memilih seorang presiden dari kumpulan Islamis secara sah. Sikap Amerika itu adalah kelangsungan daripada penghinaan yang pernah dilakukan oleh regim sekular Mesir sebelum ini yang dipimpinan oleh Gamal Abdel Nasir, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak.

Sesungguhnya penghinaan Amerika itu samalah dengan puak-puak Ahli Kitab yang sentiasa bersikap suka menghina orang Arab dan sanggup berdusta terhadap Allah. Menurut Al-Quran, Ahli Kitab itu berkata: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi (ditujukan kepada orang-orang Arab), dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” (Maksud Al-Quran Surah Ali-Imran ayat 75).

Berdasarkan firman Allah SWT ini, seharusnya umat Islam menganggap penghinaan Amerika itu sebenarnya turut menghina secara langsung persoalan hak dan akidah umat Islam Mesir, malah di seluruh dunia. Ini kerana umat Islam diajar untuk memilih kebenaran dalam melantik pemimpin yang benar-benar ingin melaksanakan Islam dalam urusan kerajaan. Maka sikap Amerika dan sekutunya itu sudah mencabar iman umat Islam kerana mendorong umat Islam mengikut telunjuk mereka.

Justeru atas prinsip keimanan (menjaga akidah) didoakan agar umat Islam di Mesir dibekalkan oleh Allah kekuatan dan kemenangan demi menjulang panji-panji perjuangan Islam terus subur di bumi anbiya’ itu. Kepada Amerika ingatlah, sehebat mana sekalipun kamu dalam mencaturi politik umat Islam Mesir, akan sampai ketikanya kamu pasti berdepan dengan kemusnahan. Lihatlah sebelum ini Rusia, salah satu kuasa besar dunia turut menjadi pencatur utama politik dunia, akhirnya Rusia tidak boleh gah lagi. Ia berpecah-belah setelah kebangkitan kuasa rakyat. Begitu juga bumi Mesir sebelum ini, paling bersejarah dengan kekuasaan kerajaan Firaun, berjaya mencipta tamadun piramid dan kemakmuran Lembah Nil, tetapi sampai ketikanya Firaun turut kecundangan berdepan dengan kebenaran yang dipimpin oleh Nabi Musa.

Justeru Amerika yang mengadu domba umat Islam Mesir hari ini pasti berdepan dengan kekecewaan. Berdasarkan perkembangan terbaru, menyaksikan kebangkitan dan kesediaan umat Islam Mesir mempertahankan kebenaran dan hak melawan campur tangan tentera Mesir dan Amerika. Kekentalan semangat jihad penyokong Morsi dan rakan Ikhwanul Muslimin yang tidak berganjak mendesak pemulihan kuasa rakyat dan pembelaan terhadap Morsi adalah lambang kuasa kebenaran (baca demokrasi) berdepan dengan percaturan Amerika dan tentera Mesir. Ia suatu kesedaran dan kebangkitan sekali lagi rakyat menolak pencabulan hak dan kebenaran demi mengembalikan maruah Islam yang tercalar. Semoga Allah menolong orang-orang yang beriman dan berjuang di atas jalan-Nya.

Nik Abdul Aziz Nik Mat,
AL-MURSYIDUL AM PAS.
Seterusnya >>>

Wajah sebenar Amerika terdedah


Saya membaca berita penahanan bekas Al-Mursyidul Am khwanul Muslimin, Sheikh Muhammad Mehdi Akif oleh tentera Mesir dengan penuh kesal dan simpati. Beliau yang sudah berusia lebih 80 tahun sewajarnya tidak perlu ditahan sedemikian rupa, apalah sangat kudrat seorang tua yang sudah uzur untuk menentang kekuatan tentera Mesir? Teringat saya pertemuan dengan beliau ketika beliau menziarahi kami di Kelantan tahun lepas. Pada waktu itu turut menyambut beliau ialah Almarhum Ustaz Yahya Othman yang juga telah uzur namun menggagahkan dirinya untuk meraikan kehadiran orang penting di dalam gerakan Ikhwanul Muslimin tersebut.

Hakikatnya inilah dia wajah sebenar Amerika dan Israel. Merekalah yang melaungkan demokrasi dan merekalah yang menodainya. Morsi ditabalkan sebagai presiden melalui pilihanraya yang sah bukan melalui revolusi jalanan, sewajibnya beliau diberikan peluang untuk mentadbir sehingga tamat penggal. Namun, musuh-musuhnya tidak senang duduk dan tidak mungkin dapat membiarkan pentadbiran Morsi berjalan lancar. Justeru tidak pelik jika Amerika yang kononnya selama ini menjadi juara demokrasi tiba-tiba menyokong rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera di Mesir. Tidak terkecuali pihak yang memberikan sokongan ialah negara-negara yang terkenal selama ini menjadi alat Amerika di Timur Tengah.

Allah SWT seringkali mengingatkan kita di dalam Surah al-Fatihah yang kita baca di dalam solat bahawa golongan Yahudi dan Nasrani ialah golongan yang sesat dan dimurkai. Padahal Allah SWT boleh menggunakan kalimah Yahudi dan Nasrani di dalam surah tersebut, namun ia tidak berlaku. Allah SWT menggunakan kalimah yang menandakan sifat mereka iaitu golongan yang sesat dan golongan yang dimurkai. Ia jelas menunjukkan bahawa sekalipun Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah SAW telah pupus namun sifat mereka diwarisi oleh anak cucu mereka sehingga ke hari kiamat.

Israel mewakili Yahudi dan Amerika mewakili Nasrani sentiasa beruasaha memadamkan cahaya Allah SWT. Mereka lupa bahawa kebangkitan Islam ini umpama air yang mengalir deras. Jika disekat di tepi, ke tengahlah ia mengalir, jika dihalang di tengah, ia menerobos ke atas dan ke bawah. Jika semua arah ia ditahan, ia akan menunggu untuk menghancurkan banteng penghalang. Hari ini, rampasan tentera di Mesir hanya akan menyaksikan kebangkitan lebih besar rakyat Mesir menghancurkan gerombolan secular yang berhajat untuk kembali ke tampuk kuasa.

Saya yakin, Amerika dan Israel akan berterusan memainkan jarum mereka di Timur Tengah. Mereka melaungkan slogan demokrasi namun apabila demokrasi menikam mereka, tanpa malu-malu mereka akan mencabul demokrasi. Lihat sahaja, adakah mereka menghormati pilihan rakyat di Algeria ketika FIS digulingkan? Adakah mereka menghormati pilihan rakyat ketika Najmuddin Erbakan dinafikan hak untuk berkuasa di Turki? Demikian juga yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat ketika Hamas memenangi pilihanraya, adakah mereka berpegang kepada prinsip demokrasi?

Itulah Yahudi dan Amerika. Justeru, mereka yang tidak menghormati pilihan rakyat secara demokrasi dan berusaha menggulingkan kerajaan sah dengan membeli wakil rakyat dan sebagainya adalah saudara mara kepada Yahudi dan Amerika. Tidak ketinggalan juga yang melakukan penipuan besar-besaran di dalam pilihanraya lalu mendakwa inilah demokrasi, pun tergolong dalam golongan yang sama.

Berdoalah. Semua pencinta Islam wajib berdoa agar dikembalikan semula pemerintahan Mesir kepada yang berhak.

Salam hormat.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh: 27 Syaaban 1434H bersamaan 6 Julai 2013M
Seterusnya >>>

Cadangan PAS bersama Umno, pungguk rindukan bulan


Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling seperti yang tersiar di dalam Sinar Harian hari ini 20 Jun 2013. Saya kira kenyataan yang dikeluarkan sangat tidak terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata. Nampaknya pandangan karut ini cuba untuk disebarkan atas nama akademik kononnya, padahal jelas nampak kepentingan UMNO timbul di permukaan air.

Di dalam kenyataannya itu, beliau mencadangkan agar PAS bergabung dengan UMNO untuk memperjuangkan Islam. Ini kerana parti-parti yang ada di sekeliling PAS semuanya mengkhianati Islam. Hanya UMNO sahaja yang memperjuangkan Islam.

Pada saya, kenyataan ini sangatlah tidak berasas. Jika umpama dahan pokok untuk berpaut, profesor ini nyata sekali sedang bergayut di dahan yang rapuh. Barangkali kerana bimbang jatuh ke tanah digigit semut, terus menerus tangan memeluk dahan yang menunggu masa untuk tersemban. Lambat laun sebenarnya dahan ini akan jatuh jua.

Amatlah lucu sekali apabila beliau menyatakan bahawa hanya UMNO yang memperjuangkan Islam. Barangkali langkah UMNO membenarkan premis judi di Kelantan sebelum tahun 1990 dahulu salah satu daripada perjuangan Islam menurut kacamata 'orang cerdik pandai' ini?

Di Melaka, pernah seorang Ketua Menteri yang merupakan pimpinan tertinggi UMNO mencadangkan agar pusat hiburan dilanjutkan masa pembukaannya sehingga ke awal pagi, inipun juga barangkali perjuangan untuk menegakkan Islam. Itu belum dicampur kenyataan-kenyataan yang menghina Islam yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini. Semuanya termaktub di dalam lipatan sejarah dan generasi kita tidak buta untuk membaca semula catitan ini.

Saya ingin bertanya, jika sekarang mahu mengajak PAS bersatu dengan UMNO, apa lebihnya UMNO berbanding dengan PAS dalam hal memperjuangkan Islam?

Sewaktu pemimpin parti komponen Barisan Nasional menghina seorang wakil rakyat UMNO di Johor yang mencadangkan hudud dengan label 'hilang akal', di mana pemimpin UMNO menyembunyikan diri? Jika lebihnya UMNO ialah kerana bilangan kerusi, saya suka mencadangkan agar ADUN UMNO di Kelantan menyertai PAS kerana bilangan kerusi yang dimiliki oleh PAS di Kelantan lebih banyak jauh mengatasi UMNO!

Jika UMNO memperjuangkan Melayu, kenapa Kelantan dinafikan hak ke atas royalti minyak dalam keadaan majoriti rakyat Kelantan berbangsa Melayu dan beragama Islam? Kenapa UMNO memainkan peranan untuk menyekat pembangunan ke Kelantan dan ini diakui sendiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan satu ketika dahulu? Apakah perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan sikap seperti ini selain daripada pengkhianat?

Pada saya, Islam yang dibawa oleh UMNO ialah Islam celup. Selagi dasar yang menjadi tunjang perjuangan UMNO ialah kebangsaan, tiada apa-apa nilai terhadap gerak laku UMNO sekalipun nampak seolah-olah ia pro-Islam. Di zaman Rasulullah SAW, masjid Dhirar diperintahkan untuk diruntuhkan sekalipun ia sebuah masjid kerana ia didirikan bukan di atas semangat Islam yang sebenar.

Kerana itu, saya tetap berpendirian, PAS tidak akan bersama-sama UMNO selagi UMNO tidak menukar dasar. Berhentilah menjadi pungguk yang rindukan bulan. Saban malam merenung bulan sambil memanggil-manggil, mahu terbang sayap kecil, mahu biarkan sahaja, hati pula tidak sanggup melihat bulan dipagar bintang. Akhirnya si pungguk hanya mampu berbuat bising!

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh: 11 Syaaban 1434H bersamaan 20 Jun 2013M
Seterusnya >>>

Nik Aziz: Membelakangi titah Sultan dalam isu royalti minyak juga menghina


KUALA LUMPUR, 6 Jun — Pihak yang membelakangi titah Sultan Kelantan dalam royalti minyak juga penghinaan kepada institusi monarki negara, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini, selepas penahanan individu yang disyaki meghina Yang di-Pertuan Agong.
Baru-baru ini, media melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pihak polis telah berjaya menahan seorang wanita yang merupakan suspek menhina YDP Agong dalam laman sosial Facebook serta disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika disabitkan kesalahan boleh didakwa dibawah Akta Hasutan 1948.
“Di sebuah negeri, pernah Sultan negeri berkenaan bertitah di dalam Dewan agar dikembalikan royalti minyak dan didaratkan gas yang ditemui di lautan negeri ke pantai yang terdekat.
“Namun malangnya pembangkang di negeri berkenaan membelakangi titah Sultan. Barangkali ini juga boleh dimasukkan di dalam kategori menghina raja,” kata Nik Abdul Aziz yang dipetik berkata dalam laman Facebook akaun peribadinya hari ini.
Walau bagaimanapun, Nik Aziz yakin pihak berkuasa akan mengambil tindakan dengan adil terhadap wanita yang ditahan, namun, pada masa sama, mahukan siasatan juga dijalankan ke atas mereka yang mempertikai titah Sultan Kelantan.
“Saya membaca laporan akhbar berkenaan seorang wanita ditahan kerana menghina Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
“Saya optimis pihak berkuasa akan menjalankan siasatan sebaik-baiknya,” tambah bekas menteri besar Kelantan tersebut lagi.
Dalam perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun lepas, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah: “Gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) sudah mulai dikeluarkan. “Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan zon indutri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun 1990-an lagi”.
Namun, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang ketika itu merupakan timbalan menteri kewangan berkata kerajaan Pusat tidak pernah berjanji untuk mendaratkan minyak yang diperolehi di telaga di perairan antara sempadan Malaysia dan Thailand di Bachok.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh Ishar Singh pada minggu lalu mengesahkan pihaknya telah menerima enam laporan polis berhubung tindakan menghina Ynag di-Pertuan Agong tersebut.
Beliau berkata kesemua enam laporan tersebut dibuat di Balai Polis Dang wangi oleh individu yang mewakili enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kes berkenaan jelasnya boleh disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.
Seterusnya >>>

Bukan dahan baru, tebang terus pohon itu

KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pemimpin Umno dan BN terpaksa mencari dahan baru untuk berpaut selepas parti itu ditolak rakyat pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Saya kira inilah bukti jelas menunjukkan bahawa BN sedar mereka semakin dipinggirkan rakyat. Politik perkauman dan penindasan yang diamalkan semakin ditolak rakyat.

“Dalam tidak sedar sebenarnya bukan dahan baru yang perlu dicari, bahkan pohon tua bernama BN itu perlu ditebang terus,” kata Mursyidul Am PAS di sini.
Seterusnya >>>

Selepas dituduh kafir harbi, diajak masuk BN!


KOTA BHARU: "Bukankah DAP yang dituduh sebagai chauvinis, komunis dan kafir harbi selama ini?" kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai reaksi kepada cadangan agar DAP menyertai BN. Selain itu, kata Tuan Guru Nik Aziz, bukankah DAP yang dituduh sedang berusaha menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian dan berusaha menggadaikan kalimah Allah?

"Tiba-tiba hari ini DAP ditawar masuk BN?" kata Tuan Guru Nik Aziz kepelikan.

Kafir harbi dan berusaha menjadikan Malaysia negara Kristian adalah laporan utama akhbar Umno, Utusan Malaysia yang ditujukan kepada DAP dalam sessi kempen PRU 13 baru-baru ini. Kafir harbi dari tafsiran perundangan Islam adalah orang bukan Islam yang memerangi Islam dan mereka dihalalkan darah oleh Islam.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz dalam kenyataannya, beliau membaca kenyataan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang menyarankan agar DAP menyertai Barisan Nasional (BN) untuk menguatkan kerajaan BN.

"Saya bagaikan kurang percaya bagaimana seorang bekas pemimpin Umno yang masih setia kepada parti tersebut boleh mengeluarkan cadangan seperti ini?" katanya.

Ekoran itu, Tuan Guru Nik Aziz berkata, "Saya kira inilah bukti jelas menunjukkan bahawa BN sedar mereka semakin dipinggirkan rakyat."

Politik perkauman dan penindasan yang diamalkan semakin ditolak sehingga menyebabkan mereka terpaksa mencari dahan baru untuk berpaut.

"Dalam tidak sedar, sebenarnya bukan dahan baru yang perlu dicari, bahkan pohon tua bernama BN itu perlu ditebang terus!" tegas bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Bagi beliau, daripada DAP masuk BN, lebih baik Umno keluar BN dan menyertai Pakatan Rakyat.

"Sedarlah, ideologi perjuangan Umno hari ini sudah ketinggalan zaman, di Semenanjung Malaysia yang agak maju dari sudut teknologi dan pendedahan maklumat, mereka telah ditolak dan Pakatan Rakyat telah menang!

"Sudah sampai masanya BN dan Umno bermuhasabah, jika tidak akan sampai masanya mereka dibuang terus dari pentas politik negara, pada masa itu tiada yang akan sudi menerima, jatuh di tanah ayam tidak patuk itik tidak sudu!" ujar beliau.
Seterusnya >>>

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan lepas jawatan


Mursyidul Am PAS itu sekali lagi berjaya memimpin parti Islam tersebut untuk menang semalam dalam Pilihan Raya 2013 menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) berjaya mendapat 32 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekaligus mempertahankan negeri yang diperintah semenjak 1990.
The Star Online mengesahkan pengganti Nik Aziz, Ahmad akan mengangkat sumpah di Istana Kubang Kerian pada pukul 4.30 petang hari ini.
Selain itu, timbalan menteri besar baru Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan barisan Exco baru akan turut mengangkat sumpah petang ini.
Seterusnya >>>

Nik Aziz: 'Saya hanya pemegang amanah'

Nik Abdul Aziz Nik Mat

KOTA BHARU-Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan secara sinis mahu memberikan satu lot tanah kepada calon Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali jika tanah yang didakwa adalah haknya.
Nik Aziz mengakui tanah tersebut menggunakan namanya, tetapi ia adalah syarat sebagai pemegang amanah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
“Saya kata, tanah itu seratus peratus itu hak saya. Saya nak beri saja (percuma) kepada dia (Ibrahim), tetapi tanah itu atas nama saya sebagai pemegang amanah.
“Saja (sengaja) dia (Ibrahim) buat begitu, walhal dia pun tahu, tetapi dia guna macam-macam (cara) untuk menabur (fitnah) ke atas pemikiran rakyat,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan pelaksanaan pemasangan kabel optik di Kota Bharu dan kawasan-kawasan lain di Kelantan di pekarangan Loji Air, Kampung Puteh, di sini bagi tujuan mempercepatkan kelajuan internet di negeri ini.
Dalam ucapan perasmian majlis itu, Nik Aziz berkata, selain menjadi pemegang amanah PMBK, beliau turut memegang jawatan itu dalam beberapa pertubuhan lain.
“Saya pegang amanah. Pejabat Pas itu pun nama saya, tetapi sebagai pemegang amanah. Tiap-tiap tanah parti, ada tiga orang pemegang amanah; Ketua, Bendahari dan Setiausaha.
“Pihak Pas kalau jual dapat berapa juta, tetapi perkara itu tidak boleh dilakukan sebab pegang amanah. Tanah Tunjung itu, nama saya, tapi pegang amanah, ada cop, ada kertas,” katanya.
Seterusnya >>>

Nik Aziz: Kuburkan Umno 5 Mei ini

husam

PUTRAJAYA 27 APRIL : Manusia tidak akan hidup dengan selamat dan tenang di atas muka bumi ini jika menolak Islam sepertimana yang dilakukan Umno, kata Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Ujarnya, Islam tidak seharusnya ditolak lebih-lebih lagi ia diturunkan Allah sebagai panduan bagi membawa rahmat ke atas semua.
“Tetapi bagi Umno, Islam ini diibaratkan ‘lakhnat fil al amin’.
“Inilah kecelakaan yang menimpa pemikiran orang Islam di sebelah sini sebagaimana yang menimpa pemikiran orang Arab di Timur Luar sana,” kata Menteri Besar Kelantan ini.
Beliau berucap demikian di hadapan lebih 10, 000 hadirin yang hadir dalam satu ceramah di sini malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit menguburkan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum Ke 13, seterusnya membina empayar pentadbiran baru mengikut acuan sebenar Islam.
“Di Kelantan, bermula daripada awal 90-an kita sudah amalkan Islam secara menyeluruh meliputi aspek sosial, ekonomi, budaya, dan sebagainya.
“Sembahyang, tunaikan haji, ikut cara Nabi tetapi kenapa dalam soal pentadbiran negeri tidak boleh ikut cara Baginda, kenapa ditolak dan ikut cara orang putih.
“Insya Allah pada 5 Mei nanti kita akan menang dan bersama-sama rayakannya pada 6 Mei,” tambah Nik Aziz.
Terdahulu, beliau menerima borang keahlian PAS daripada 100 orang bekas ahli Umno, daripada empat cawangan PAS di Putrajaya.
Seterusnya >>>

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi tersohor iktiraf Anwar paling layak jadi PM

Ulama tersohor iktiraf Anwar paling layak jadi PM
Nik Aziz bersama Nurul Izzah menunjukkan surat yang dikirim Yusuf al-Qaradawi.

SHAH ALAM – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan surat terbuka Ketua Ijtihad Ulama Dunia, Sheikh Dr Yusuf  al-Qaradawi yang mengiktiraf Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai layak memerintah Malaysia.

Pelancaran itu  disempurnakan Nik Aziz pada majlis anjuran calon PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, di pekarangan Apartment Pantai Permai, semalam.

Di dalam surat tersebut, Yusuf disebut sebagai berkata Anwar paling layak menjadi perdana menteri.

Menurut surat itu, ulama itu berkata, berdasarkan sejarah, kebijaksanaan, kesabaran, kecekalan dan sokongan rakyat pelbagai kaum, Anwar layak memimpin negara ini.

“Beliau adalah orang yang paling layak menduduki kerusi kepimpinan ini, paling layak untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan bernegara yang cukup penting bagi membangunkan Malaysia dan memajukannya dari semua sudut,” surat itu menyebut.

Sebelum ini, Perkasa mendakwa pihak pembangkang akan berusaha mengelirukan rakyat negara ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan menyebarkan kira-kira satu juta risalah, kononnya Anwar mendapat sokongan Yusuf untuk menjadi perdana menteri.

Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Nordin berkata, pihaknya telah mendapat salinan risalah tersebut yang antara lain, mengandungi isi surat sokongan Yusuf bertarikh 2 Mac lalu, yang dipercayai palsu.
Seterusnya >>>

Kita kena lebih cerdik dari BN – TG Nik Aziz


KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat lebih cerdik daripada Barisan Nasional (BN) agar tidak mudah dipermainkan oleh mereka.

Beliau berkata demikian pada program peluncur warkah amanat Yusuf Qardhawi di Lembah Pantai petang tadi.

Turut hadir program tersebut adalah calon Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Tuan Guru Nik Aziz mengulangi rakyat boleh mengambil apa sahaja yang diberi BN tetapi pada pilihanraya perlu memilih calon dari Pakatan Rakyat.

"Kalau BN bagi duit, kain atau gula kita ambil tetapi apabila mengundi nanti pilih calon dari Pakatan Rakyat.

"Kita kena lebih cerdik dari BN baru mereka tidak boleh mempermainkan kita," kata beliau.

Beliau turut meminta agar rakyat memilih sebuah kerajaan yang berlandaskan Islam serta meletakkan kebajikan rakyat pada pilihan raya nanti.

Beliau yang dalam rangka lawatan ke kawasan Parlimen Putrajaya sempat hadir di Lembah Pantai bagi memenuhi harapan pengundi di situ.

Sementara itu, Nurul Izzah yang menghargai kesanggupan Tuan Guru Nik Aziz walaupun berada dalam keadaan uzur tetapi sanggup berjuang untuk memastikan sebuah kerajaan yang adil dapat dibina.

Katanya lagi, semangat perjuangan ini harus dicontohi dan rakyat perlu membuat pilihan agar PAS terus memerintah Kelantan dan memastikan Pakatan Rakyat dapat menerajui Putrajaya.
Seterusnya >>>

Pas tetap laksana hudud

Pas tetap laksana hududKOTA BHARU- Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei ini walaupun ditentang parti komponennya, DAP.
Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bagaimanapun hudud hanya akan dilaksanakan untuk orang Islam tanpa melibatkan golongan bukan Islam.
“Hudud ini dalam agama Islam, juzud daripada Islam, sokong atau tidak ia adalah asam garam daripada al-Quran sendiri.
“Tentang hudud kita laksanakan pada orang Islam sahaja dan ia akan diluluskan oleh satu badan dipanggil kehakiman, bukan orang politik,” katanya kepada media selepas merasmikan projek pembangunan bercampur Taman Iman Jaya, Wakaf Che Yeh di sini, semalam.
Menurutnya, kelulusan daripada badan kehakiman pula bergantung kepada syarat tertentu sebelum ia benar-benar dapat dilaksanakan.
“Jika tak cukup syarat, maka turun hudud kepada takzim, cukup syarat dia baru guna hudud, itulah sudah direkod sudah ditulis bertahun-tahun dulu,” katanya mengulas kenyataan Timbalannya, Datuk Haron Din yang menyifatkan persetujuan DAP menggunakan logo Pas bermakna parti itu (DAP) bersetuju dengan dasar Pas.
Seterusnya >>>

Akhirnya Roket mendarat di Bulan - TG Nik Aziz


Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh pada petang ini bahawa calon-calon DAP akan menggunakan logo PAS di Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak di dalam pilihanraya umum 5 Mei ini.

Ini berikutan sehingga jam 3 petang hari ini, DAP belum mendapat mendapat sebarang respon penarikan balik surat penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda surat itu akan tiba.

Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok hari. Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman.

Isu logo sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.

Dari sudut yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia ditubuhkan.

Dalam melayari bahtera politik tanah air, PAS dan DAP sering dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Di hadapan bangsa Melayu, pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP dan begitu juga sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka digembar-gemburkan dengan imej PAS sebagai taliban, radikal dan sebagainya.

Natijahnya, Melayu Islam dan bukan Melayu terus hidup dalam keadaan syak wasangka antara satu sama lain.

Hari ini, benteng tersebut telah runtuh sepenuhnya. DAP tanpa takut-takut lagi telah merobohkan persepsi ini apabila bertindak berani memilih logo PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang telah diperuntukkan kepada mereka khususnya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Saya kira, inilah saat di mana perjuangan PAS sudah tidak menjadi kegerunan lagi kepada bangsa Cina. Sekalipun ia masih belum diterima sepenuhnya, namun sedikit demi sedikit ia telah hilang.

Saya mengimbau kembali saat ketika Perjanjian Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Musyrikin Mekkah.

Kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk Islam mengambil keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan Islam Madinah.

Di saat itulah, sahabat-sahabat Rasulullah SAW diuji dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian tersebut berat sebelah.

Namun kesabaran mereka segera diganjari oleh Allah SWT apabila perjanjian tersebut membuka peluang Rasulullah SAW menakluki kota Makkah apabila perjanian tersebut dilanggar di mana Bani Khuzaah yang masih belum memeluk Islam dan berlindung di bawah naungan Islam diserang oleh kaum Musyrikin.

Alhamdulillah, ketika UMNO masih menjaja keris tumpulnya merata-rata, perjuangan PAS sudah mula diterima di kalangan non muslim. Ketika UMNO main kayu tiga dengan perjuangan bangsa Melayu, PAS terus ke hadapan membawa misi dakwah dengan slogan PAS for All.

Non Muslim di sana sini tidak lagi segan silu membawa bendera PAS dan sebaliknya tidak pernah kita saksikan mereka membawa bendera keris tidak bersarung milik UMNO.

Saya yakin, benih Islamphobia yang disemai UMNO semakin mati tunasnya. Keputusan DAP ini insya-Allah satu rahmat besar buat PAS. Ia sebenarnya rezeki buat perjuangan Islam.

Mungkin Barisan Nasional merasakan langkah ini bakal membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia mengandungi rahmat yang sangat besar.

Jika Perjanjian Hudaibiyyah membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah kerajaan Barisan Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya dan pembinaan Malaysia Baru.

Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti, perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh negara menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional.

Yakinlah keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)


Bertarikh : 8 Jamadil Akhir 1434H bersamaan 19 April 2013M
Seterusnya >>>

Nik Aziz kritik ‘kebebasan media’ ala BN


SHAH ALAM, 15 April — PAS mengkritik kebebasan media yang dilaungkan Barisan Nasional (BN) kerana mereka seolah-olah memaksa rakyat untuk mengundi parti pemerintah itu tanpa memberi peluang kepada rakyat untuk menilai pembangkang.
Mursyidul AM PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan langkah BN berkempen menggunakan seluruh saluran media arus perdana itu juga umpama memaksa rakyat untuk mengundi mereka, sedangkan pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) tidak diberi peluang melakukan perkara sama.
“Pilihan raya lain ... ini paksaan raya. Rakyat Malaysia dipaksa memilih mereka kerana rakyat hanya diberi melihat media mereka,” kata veteran PAS itu ketika pelancaran bukunya di program “Bicara Cinta: Bicara Ini Demi Ilahi” di Kompleks Karangkraf di sini.
“Ini bukan demokrasi, ini komunis ... kenapa rakyat tengok TV, radio kamu sahaja.
“Nak mengundi, mengundilah, tapi jangan paksa rakyat pilih kamu,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Beliau yang sebelum ini merupakan menteri besar Kelantan itu juga turut berkata PAS akan membenarkan DAP bertanding menggunakan lambang parti berkenaan sekiranya rakan komponennya itu mempunyai masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Kalau DAP diharamkan ROS, kita benarkan dia bertanding pakai lambang bulan,” katanya merujuk kepada bendera rasmi PAS.
DAP sebelum ini telah disiasat berhubung dakwaan penyelewengan ketika pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Pengerusi DAP Karpal Singh juga sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan terdapat masalah teknikal pada pemilihan parti itu tetapi tidak ada penipuan dan salah tanggapan sebagaimana dakwaan pihak-pihak tertentu.
Dua pemimpin DAP, Pooi Weng Keong dan Dr Ong Kian Meng juga telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada ROS.
Seterusnya >>>

Kes Fitnah II: Nik Aziz bersyukur kebenaran terdedah sendiri

tgna_veteran

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur berikutan  fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin jelas kebenarannya.
Bercakap pada Himpunan Veteran 2013 di Perkarangan Infra Quest, Jalan Datuk Lundang di sini, semalam beliau berkata, sebarang pendustaan tidak kekal lama, tiba waktu kebenarannya akan terdedah dengan sendiri.
Sambil melahirkan rasa syukur tidak terhingga, Nik Aziz berkata walau selicik mana sekalipun seseorang  merangka pelan tertentu, kebenarannya pasti akan terbongkar.
Beliau turut menolak dan tidak percaya dakwaan kononnya Anwar membayar kepada ayah Saiful sebagai sesuatu yang tidak mungkin.
“Dia (Anwar) mana ada duit, sebanyak-banyak duit Anwar Ibrahim pun, banyak lagi duit menteri atau Perdana Menteri,” katanya mengulas pendedahan bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim.
Dipetik Harakah Daily, Nik Aziz berharap nama baik Ketua Umum KEADILAN itu semakin baik dan rakyat juga semakin sedar tentang pembohongan yang dibuat pihak tertentu sebelum ini.
Seterusnya >>>

Bingkisan Tuan Guru Nik Aziz Mufti Perak


Agak kecewa saya membaca kenyataan Mufti Perak, Sohibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini 24 Februari 2013 di muka hadapan. Mengikut laporan tersebut, beliau menyatakan bahawa sikap PAS lebih teruk dari kafir kerana tidak setuju dengan pelbagai dasar dan usaha kerajaan memajukan rakyat.

Saya mengira kenyataan ini sangat berat apatah lagi jika ia keluar dari mulut seorang mufti yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak berpihak dalam pertembungan parti-parti politik. Jika ia hanya satu manipulasi media, satu penafian perlu dibuat dengan segera. Tetapi melihat kepada rekod sebelum ini di mana belum pernah kedengaran sebarang penafian dibuat terhadap laporan akhbar mengenai kenyataannya, saya kira kenyataan itu benar-benar keluar dari mulut beliau.

Saya pohon kepada Mufti Perak, agar berhati-hati di dalam membuat ulasan. Hari ini maklumat boleh diakses dengan mudah, sebarang ulasan berkenaan kenyataan saya dan pemimpin PAS yang lain khususnya eloklah dirujuk kepada sumbernya yang sahih. Rakaman ucapan saya yang didakwa menyifatkan penerima bantuan sebagai 'haiwan' juga sudah disiarkan dengan meluas, mustahil pejabat mufti Perak berhalangan untuk mendapatkannya.

Adakah dalam rakaman tersebut saya menyifatkan penerima bantuan sebagai haiwan? Tentu sekali tidak. Bahkan saya selama ini menggalakkan rakyat Kelantan yang layak menerima bantuan untuk beramai-ramai mengambil bantuan yang diberikan. Ini kerana wang yang diberikan tentu sekali bukan wang UMNO/Barisan Nasional tetapi wang kerajaan dan milik rakyat. Namun mengambil kesempatan daripada majlis pembahagian bantuan seperti ini untuk menyampaikan dakyah ideologi kepartian ialah satu perbuatan yang terkutuk.

PAS juga dituduh berkerat rotan dengan UMNO. Kenyataan begini sebenarnya berpunca daripada jahil sejarah. Rujuklah sejarah politik negara, bukankah PAS pernah menyertai Barisan Nasional? Apabila PAS berada dalam Barisan Nasional, UMNO pula mengambil pendirian untuk menendang PAS keluar kerana 'cemburu buta'. Saya ingin ulangi, bukan PAS yang keluar daripada Barisan Nasional tetapi  UMNO yang membuat ketetapan untuk menendang PAS keluar. Inilah yang termaktub di dalam ucapan Allahyarham Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977.

Justeru, Tan Sri Mufti Perak wajar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Jika perkataan sebegini keluar dari mulut saya, agaknya berbulan-bulan ia akan diratib tanpa henti oleh media massa. Pesan saya kepada Tan Sri Mufti Perak, janganlah melampau-lampau sangat menunjukkan sokongan kepada UMNO/Barisan Nasional. Jika ditakdirkan nanti UMNO tersemban dalam pilihanraya, saya bimbang ada individu yang mencari makan dengan UMNO terkial-kial kelemasan mencari pelampung!

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kuala Lumpur.
13 Rabiul Akhir 1434H bersamaan 24 Februari 2013M
Seterusnya >>>

"BN jadikan rakyat umpama haiwan"


PENGKALAN CHEPA: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan Umno dan BN bertindak menjadikan rakyat seumpama haiwan apabila terpaksa menaburkan duit untuk hadir pada majlis mereka.

Menurutnya, seharusnya sebagai pemimpin negara mereka perlu diberikan ilmu dan bukannya wang ringgit atau kebendaan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis amanat Menteri Besar Kelantan bersama warga Yik, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini tengahari ini.

“Media nak ubah kenyataan sebenar saya, ubahlah tetapi ingat mereka akan berhadapan dengan dosa, tetapi kerana tidak memahami maksud sebenar, kenapa menjadi wartawan.

“Untuk menjadi seorang wartawan, bukan putar belit cerita, sebaliknya kena cerdik, faham apa saja yang dimaksudkan penyampai berhubung sesuatu perkara,”ujarnya.

Menurutnya, Umno dan BN guna duit untuk tabur pada rakyat dalam apa juga sekalipun termasuk BR1M, seumpama memanggil manusia seperti haiwan.

“Hey itik marilah aku nak berceramah agama, mana itik nak mari (datang), jadi kena bagi hampas kelapa, baru dia datang. Kena bagi padi, nak suruh ayam, itik datang.

“Hey lembu aku nak ceramah, lembu tak akan datang sekiranya tidak diberikan rumput padanya,”ujarnya.

Jadi, sekiranya kita memanggil manusia dengan memberikan kebendaan (wang) juga, ertinya kita meletakkan manusia setaraf   haiwan.

Menurutnya, perjuangan Umno silapnya di sini kerana tidak memberikan ilmu agama pada rakyat, sebaliknya kebendaan semata-mata.

“Nak bagi macamana sebab perjuangannya tolak Islam, dalam kebangsaan mana ada Islam,”ujarnya.

Tuan Guru bagaimanapun berkeyakinan rakyat Kelantan dan seluruh Malaysia akan menolak perjuangan yang ‘menjual’ kebendaan.

Beliau turut mengambil contoh bagaimana negara maju barat khususnya Amerika yang membenarkan berkahwin sesama sejenis yang diharamkan oleh Islam.

Tegasnya, tindakan itu bukan sahaja akan memupuskan pertambahan manusia, sebaliknya amalan lebih teruk dari haiwan.

“Haiwan contohnya lembu akan cari pasangannya lembu betina, dia tak cari lembu jantan, bodoh lembupun tahu keperluan sebenar,”ujarnya.

Apa yang berlaku itu, tegasnya kerana menolak landasan Islam sebaliknya memilih kehidupan mengikut nafsu sendiri.

Berhubung calon, beliau mengakui telah banyak pencalonan yang selesai walaupun belum siap sepenuhnya.

Tuan Guru yang juga Menteri Besar juga enggan mengulas bila ditanya berhubung muka-muka baru yang bakal diketengahkan.

“Tunggu dihari pengumuman atau di hari penamaan calon,”ujarnya sambil ketawa kecil.
Seterusnya >>>

Hebatnya dakwah politik Tuan Guru Nik Aziz


Hanya sesekali dalam suatu jangka masa yang lama, seorang pemimpin politik dan dakwah muncul untuk memberikan warna kepada kegiatan politik dan dakwah di negaranya.


Ini kerana tidak semua pemimpin berkeupayaan seperti itu, lebih-lebih lagi ia mesti mempunyai ilmu politik dan dakwah, mampu memikirkan sesuatu melampauai zamannya, berfikiran terbuka, luas pendedahannya kepada masyarakat dan mempunyai aura.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat mempunyai semua kualiti ini menyebabkan ia dilihat sebagai tokoh hebat dalam dakwah dan politik seperti Almarhum Muhd Natsir di Indonesia.

Dengan kewibawaan dan jiwa besarnya sebagai tokok pemimpin gerakan Islam, Tuan Guru telah melakukan langkah besar dan penuh makna baru-baru ini apabila  selepas bertemu dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh, Tuan Guru bertemu pula dengan Bishop Pulau Pinang, Sebastian Francis di sebuah hotel di Pulau Pinang hotelnya.

Di majlis itu, Francis Sebastian telah menghadiahkan sebuah kek sempena hari lahir Tuan Guru Nik Aziz yang ke 82. Pertemuan ini tidak termasuk dalam jadual lawatan Tuan Guru Nik Aziz ke Pulau Pinang tetapi acara spontan dan ini memberi kesan mendalam kepada keharmonian antara agama di negara ini.

Pertemuan itu berlaku ketika isu nama Allah dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga menimbulkan ketegangan. Pertemuan dua tokoh agama yang berbeza ini telah meredakan ketegangan yang cuba dihangatkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan.

Dalam pertemua itu, Bishop Francis berkata, negara memerlukan contoh semangat seperti yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Semenetara itu Tuan Guru gembira dengan kunjungannya ke Pulau Pinang dalam misi untuk bertemu pemimpin Kristian dan mewujudkan keharmonian agama di negeri itu.

"Alhamudlillah, dengan izin-Nya, misi mengharmonikan hubungan antara agama berjaya ketika berkunjung ke negeri Pulau Pinang dan saya amat gembira kerana sempat menerima kunjungan Father Sebastian Michael Biskop Roman Katholik bagi negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu," katanya dalam satu tulisan di Facebooknya.

Pertemuannya dilihat oleh pemerhati sebagai usaha untuk memperbaiki hubungan antara penganut Islam dan Krisitan di negeri itu, yang menjadi tumpuan ekoran kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Sebelum itu Tuan Guru telah mengunjungi Pengerusi DAP Karpal Singh disambut air mata gembira oleh para penyokong Pakatan Rakyat.

Usaha ini bagi membina hubungan erat antara pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat dan akan menambahkan keyakinan rakyat untuk mentadbir negara dengan baik apabila Pakatan berjaya ke Putrajaya nanti.

Pertemuan penting Mursyidul Am PAS dengan Bishop dianggap oleh AJK PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa sebagai membuktikan dua agama boleh duduk berbincang dan berdialog.

"Itulah kerja Rasullulah s.a.w untuk berdakwah bukan bersikap keras sehingga orang bukan Islam pandang serong terhadap keindahan yang ada dalam Islam. Saya juga berharap selepas ini ada pertemuan yang lebih erat di mana jua termasuk dalam gereja sekalipun," katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Langkah besar pertemuan penting seperti ini hanya boleh dilakukan oleh pemimpin berjiwa besar, berilmu, terbuka dan mampu menguasai keadaan dan ini telah dilakukan oleh Tuan Guru yang dilihat sebagai cerminan dari sikap terbuka dan toleransi PAS, tetapi dalam masa yang sama ia tidak pernah berkompromi dengan dasar Islamnya.

Beliaulah orangnya yang menjadikan negeri Kelantan sebagai simbol perpaduan kaum, toleransi beragama dan sagat terbuka. Ketika sambutan hari-hari perayaan, malah di majlis perkahwinan anak cucunya, tokoh pelbagai agama antara tetamu undangannya. Beliau menjadi tokoh yang amat dikasihi oleh pelbagai kaum dan agama bukan saja di Kelantan bahkan di luar Kelantan juga.

Saya pernah menyaksikan beberapa kali di mana orang ramai pelbagai kaum – termasuk wanita Cina - berebut hendak bergambar dengan Tuan Guru. Inilah kemuliaan dan izzah yang dimiliki oleh beliau. Lebih-lebih lagi kehidupannya yang amat sederhana menjadikan beliau role-model pemimpin Islam masa kini.

Sebagai pemimpin dan ulama, Tuan Guru berusaha menterjemahkan kesyumulan dan sifat wasatiah Islam, hingga beliau dilihat sebagai tokoh dan elemen penyumbang kepada kesyumulan Islam dan benar-benar berusaha hendak menampilkan watak pemimpin Muslim yang sederhana untuk mememenuhi ciri-ciri pemimpin Islam sejati.

Bayangkan bagaimana dalam suasana yang sangat tegang berhubung isu Kalimah Allah dan isu lain, Tuan Guru mengorak langkah yang tentunya tidak diduga oleh banyak pihak, iaitu bertemu dengan Ketua Bishop utara di Pulau Pinang dan tentunya usahanya ini seperti ‘mencurah air di tengah api yang menyala’. Usaha murninya ini telah disambut pelbagai pihak, malah ada yang, khabarnya, menitiskan air mata terharu – rupanya masih ada seorang tokoh yang berjiwa besar dan berhati mulia.

Sebelum ini, ada beberapa tokoh pemimpin PAS seperti Dr. Dzulkifly Ahmad, Dr. Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad dan beberapa orang lagi mengadakan dialog dengan pemimpin Kristian di Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk bertukar-tukar pandangan dan menerangkan dasar Islam. Usaha ini berjaya membina hubungan baik antara kedua pihak, bukan kerana kepentingan politik tetapi memang sifat Islam sebagai ‘rahmat seluruh alam’.

Tidak syak lagi, usaha Tuan Guru Nik Abd Aziz dan pimpinan PAS yang lain itu tentunya mendorong pelbagai pihak yang rasional melihat PAS sebagai parti Islam yang sangat terbuka dan toleransi, dalam masa yang sama ia tetap berada di dalam orbit Islam.

Pada pendapat saya, PAS memerlukan kepimpinan yang mempunyai kemampuan seperti ini untuk melakar kejayaan PAS di masa depan.
Seterusnya >>>

Pertemuan TG Nik Aziz dengan Bishop bawa ketenangan

PULAU PINANG: Pertemuan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat bersama Bishop Katolik Sebastian Francis semalam memberikan satu ketenangan mendalam kepada rakyat Malaysia.

Ia amat bermakna kepada yang cintakan keamanan tatkala ada pihak bertanggungjawab cuba menangguk di air keruh dalam polemik perbezaan agama.

“Alhamdulillah, dengan izin-Nya, misi mengharmonikan hubungan antara agama berjaya ketika berkunjung ke negeri Pulau Pinang. Amat gembira kerana sempat menerima kunjungan Father Sebastian Michael Uskop Roman Katholik bagi negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Terima kasih YB Dr Mujahid yang menguruskannya,” tulis Nik Aziz di Facebooknya.

Dalam pertemuan bersejarah semalam, Nik Aziz menghadiahkan satu kek kepada Bishop Sebastian, yang menerajui Penang Diocese yang meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Di atas kek itu tertera perkataan mudah tapi penuh bermakna: “Kpd: Yg Mulia Bishop, Daripada: Tn Guru Dato Nik Aziz, Mursyidul Am PAS.”

TG Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan dikatakan mempunyai jadual penuh di Pulau Pinang, namun beliau membatalkan satu pertemuan supaya beliau dapat berjumpa dengan Sebastian dalam masa yang singkat.

Dalam pertemuan itu, Sebastian mendoakan kesihatan kepada Tuan Guru Nik Aziz.

Dalam perbincangan mereka, TG Nik Aziz menyentuh mengenai hal kerohanian, di mana perkara ini sangat dipersetujui oleh Sebastian yang turut merintih mengenai fokus berlebihan pada kebendaan dalam pembangunan insan masa kini.

“Negara ini perlukan kekuatan kerohanian Tuan Guru sebagai contoh,” kata Sebastian yang dipetik Anil Netto, seorang wartawan yang hadir bersama dalam pertemuan tersebut.

Kedua tokoh itu turut bersetuju bahawa tenaga yang dihabiskan untuk pertelingkahan agama sepatutnya boleh digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat.

Semasa mengambil gambar bersama, Nik Aziz juga sempat bergurau mengenai pertemuan tersebut.

“Saya tak pasti apa media media perdana akan tulis mengenai pertemuan kita,” kata beliau.

Turut bersama dalam pertemuan itu ialah ahli parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa.

Semalam, Tuan Guru Nik Aziz turut meraikan hari jadinya di kediaman Pengerusi DAP Karpal Singh.

Pertemuan tersebut melahirkan air mata gembira bagi para penyokong Pakatan Rakyat kerana tanda sepakat antara dua pemimpin tersebut cukup terserlah.

Karpal yang teramat gembira dengan kehadiran Nik Aziz itu berkata beliau terkejut kerana pemimpin PAS itu tiba 30 minit lebih awal.

"Kehadirannya memberi mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walau dengan apa yang telah berlaku.

"Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," katanya.
Seterusnya >>>