SHAH ALAM, 15 April — PAS mengkritik kebebasan media yang dilaungkan
Barisan Nasional (BN) kerana mereka seolah-olah memaksa rakyat untuk
mengundi parti pemerintah itu tanpa memberi peluang kepada rakyat untuk
menilai pembangkang.
Mursyidul AM PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan langkah BN
berkempen menggunakan seluruh saluran media arus perdana itu juga umpama
memaksa rakyat untuk mengundi mereka, sedangkan pembangkang dari
Pakatan Rakyat (PR) tidak diberi peluang melakukan perkara sama.
“Pilihan raya lain ... ini paksaan raya. Rakyat Malaysia dipaksa
memilih mereka kerana rakyat hanya diberi melihat media mereka,” kata
veteran PAS itu ketika pelancaran bukunya di program “Bicara Cinta:
Bicara Ini Demi Ilahi” di Kompleks Karangkraf di sini.
“Ini bukan demokrasi, ini komunis ... kenapa rakyat tengok TV, radio kamu sahaja.
“Nak mengundi, mengundilah, tapi jangan paksa rakyat pilih kamu,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Beliau yang sebelum ini merupakan menteri besar Kelantan itu juga
turut berkata PAS akan membenarkan DAP bertanding menggunakan lambang
parti berkenaan sekiranya rakan komponennya itu mempunyai masalah dengan
Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Kalau DAP diharamkan ROS, kita benarkan dia bertanding pakai lambang bulan,” katanya merujuk kepada bendera rasmi PAS.
DAP sebelum ini telah disiasat berhubung dakwaan penyelewengan ketika pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Pengerusi DAP Karpal Singh juga sebelum ini menafikan dakwaan
tersebut dan menegaskan terdapat masalah teknikal pada pemilihan parti
itu tetapi tidak ada penipuan dan salah tanggapan sebagaimana dakwaan
pihak-pihak tertentu.
Dua pemimpin DAP, Pooi Weng Keong dan Dr Ong Kian Meng juga telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada ROS.
0 Komen pengunjong :