Agak
kecewa saya membaca kenyataan Mufti Perak, Sohibus Samahah Tan Sri
Harussani Zakaria yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini 24
Februari 2013 di muka hadapan. Mengikut laporan tersebut, beliau
menyatakan bahawa sikap PAS lebih teruk dari kafir kerana tidak setuju
dengan pelbagai dasar dan usaha kerajaan memajukan rakyat.
Saya
mengira kenyataan ini sangat berat apatah lagi jika ia keluar dari
mulut seorang mufti yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak berpihak
dalam pertembungan parti-parti politik. Jika ia hanya satu manipulasi
media, satu penafian perlu dibuat dengan segera. Tetapi melihat kepada
rekod sebelum ini di mana belum pernah kedengaran sebarang penafian
dibuat terhadap laporan akhbar mengenai kenyataannya, saya kira
kenyataan itu benar-benar keluar dari mulut beliau.
Saya pohon
kepada Mufti Perak, agar berhati-hati di dalam membuat ulasan. Hari ini
maklumat boleh diakses dengan mudah, sebarang ulasan berkenaan
kenyataan saya dan pemimpin PAS yang lain khususnya eloklah dirujuk
kepada sumbernya yang sahih. Rakaman ucapan saya yang didakwa
menyifatkan penerima bantuan sebagai 'haiwan' juga sudah disiarkan
dengan meluas, mustahil pejabat mufti Perak berhalangan untuk
mendapatkannya.
Adakah dalam rakaman tersebut saya menyifatkan
penerima bantuan sebagai haiwan? Tentu sekali tidak. Bahkan saya selama
ini menggalakkan rakyat Kelantan yang layak menerima bantuan untuk
beramai-ramai mengambil bantuan yang diberikan. Ini kerana wang yang
diberikan tentu sekali bukan wang UMNO/Barisan Nasional tetapi wang
kerajaan dan milik rakyat. Namun mengambil kesempatan daripada majlis
pembahagian bantuan seperti ini untuk menyampaikan dakyah ideologi
kepartian ialah satu perbuatan yang terkutuk.
PAS juga dituduh
berkerat rotan dengan UMNO. Kenyataan begini sebenarnya berpunca
daripada jahil sejarah. Rujuklah sejarah politik negara, bukankah PAS
pernah menyertai Barisan Nasional? Apabila PAS berada dalam Barisan
Nasional, UMNO pula mengambil pendirian untuk menendang PAS keluar
kerana 'cemburu buta'. Saya ingin ulangi, bukan PAS yang keluar
daripada Barisan Nasional tetapi UMNO yang membuat ketetapan untuk
menendang PAS keluar. Inilah yang termaktub di dalam ucapan Allahyarham
Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977.
Justeru, Tan Sri Mufti
Perak wajar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Jika perkataan
sebegini keluar dari mulut saya, agaknya berbulan-bulan ia akan diratib
tanpa henti oleh media massa. Pesan saya kepada Tan Sri Mufti Perak,
janganlah melampau-lampau sangat menunjukkan sokongan kepada
UMNO/Barisan Nasional. Jika ditakdirkan nanti UMNO tersemban dalam
pilihanraya, saya bimbang ada individu yang mencari makan dengan UMNO
terkial-kial kelemasan mencari pelampung!
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kuala Lumpur.
13 Rabiul Akhir 1434H bersamaan 24 Februari 2013M
0 Komen pengunjong :