Pengusiran Xenophon bukti PRU 13 bakal kotor



KUALA LUMPUR, 24 Feb — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan isyarat awal kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Pilihan Raya 2013 akan menjadi yang terkotor, menegaskan pengusiran Senator Australian Nick Xenophon sebagai bukti Barisan Nasional (BN) berhasrat mengekalkan kuasa menerusi penipuan pengundian.
Pemimpin utama PKR tersebut dipetik dalam sebuah artikel di media Australia berkata penahanan dan penghantaran semula  Xenophon petanda Putrajaya tidak berminat mengadakan pilihan raya bebas dan adil disamping keengganan untuk bekerjasama dengan pemantau antarabangsa yang lantang mengkritik kerajaan supaya memperbaiki sistem pilihan raya Malaysia.
Beliau berkata kempen pilihan raya bebas dan adil baru-baru ini yang menarik ribuan rakyat Malaysia ke jalanraya untuk menunjukkan bantahan adalah “usaha yang sia-sia” memandangkan insiden pengusiran Xenophon berbeza sama sekali dengan janji pentadbiran Najib untuk menghormati proses demokrasi.
“Hak untuk proses tersebut diiktiraf dalam semua demokrasi. Tiga syarat mesti dipenuhi:. Audit bebas daftar pemilih, tempoh kempen minimum tempoh yang munasabah, dan membenarkan pemerhati antarabangsa di stesen mengundi.
“Tindakan pentadbiran Najib minggu lepas menahan dan mengusir Senator Australia Nick Xenophon di Kuala Lumpur untuk bertemu dengan saya dan juga pemimpin kerajaan bagi berbincang cara dan bertujuan memenuhi syarat-syarat yang telah diminta  untuk pilihanraya yang bebas dan adil adalah usaha sia-sia,” kata Anwar dalam tulisan pendapatnya.
Xenophon tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu untuk menemui Anwar , Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi telah ditahan di Terminal Pengangkutan Tambang Murah, Sepang dan dihantar pulang pada hari sama.
Beliau dikatakan sebagai “ancaman kepada negara” dan dihalang daripada memasuki Malaysia dibawah Akta Imigresen 8 (3) kerana senator tersebut telah mengeluarkan kenyataan yang didakwa mencemarkan imej Malaysia.
Dalam maklum balas kemelut tersebut, pegawai di pejabat Nazri mengeluarkan kenyataan nama Xenophon tiada dalam senarai delegasi Asutralia yang dikatakan akan melawat.
Walaubagaimanapun Xenophon dilaporkan dalam media Australia menegaskan lawatannya ke Malaysia untuk memantau sistem pilihan raya negara adalah “urusan rasmi”.
Anwar, yang juga merupakan bekas timbalan perdana menteri dengan serta-merta telah mengecam pengusiran tersebut oleh pihak kerajaan Malaysia.
“Saya mengecam dengan keras penahanan senator Australia Nick Xenophon di LCCT yang dikatakan mengancam keselamatan nasional dan dilabel sebagai ‘musuh negara’. Tuduhan-tuduhan itu adalah tidak berasas,” kata Anwar.
Menurut Anwar, Xenophon yang melahirkan kebimbangan terhadap pilihan raya akan datang, tidak melanggar sebarang undang-undang mahupun mengancam keselamatan negara.
Menurut Anwar, tindakan menahan dan menghantar pulang Xenophon bermotifkan politik dan merupakan salahguna kuasa.
Ekoran insiden tersebut, delegasi Australia yang dijadualkan membuat lawatan telah membatalkannya selepas Xenophon diusir.
Xenophon merupakan salah seorang daripada delegasi antarabangsa yang terlibat dalam memerhatikan perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 28 April tahun lalu.
Pengusiran Xenophon menjadi berita utama di Australia, dengan Sydney Morning Herald mengatakan insiden itu menunjukkan pentadbiran Najib “takut” rakyat Malaysia akhirnya mencapai kematangan dalam kebebasan demokrasi.

0 Komen pengunjong :