Saya
membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh pada
petang ini bahawa calon-calon DAP akan menggunakan logo PAS di
Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak di dalam
pilihanraya umum 5 Mei ini.
Ini berikutan sehingga jam 3 petang
hari ini, DAP belum mendapat mendapat sebarang respon penarikan balik
surat penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu
daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda surat itu
akan tiba.
Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas
tragedi yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok
hari. Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran
terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman.
Isu logo sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.
Dari
sudut yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan
sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh
abad ia ditubuhkan.
Dalam melayari bahtera politik tanah air,
PAS dan DAP sering dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Di hadapan
bangsa Melayu, pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP
dan begitu juga sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka
digembar-gemburkan dengan imej PAS sebagai taliban, radikal dan
sebagainya.
Natijahnya, Melayu Islam dan bukan Melayu terus hidup dalam keadaan syak wasangka antara satu sama lain.
Hari
ini, benteng tersebut telah runtuh sepenuhnya. DAP tanpa takut-takut
lagi telah merobohkan persepsi ini apabila bertindak berani memilih logo
PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang telah diperuntukkan kepada
mereka khususnya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina.
Saya
kira, inilah saat di mana perjuangan PAS sudah tidak menjadi kegerunan
lagi kepada bangsa Cina. Sekalipun ia masih belum diterima sepenuhnya,
namun sedikit demi sedikit ia telah hilang.
Saya mengimbau kembali saat ketika Perjanjian Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Musyrikin Mekkah.
Kabilah-kabilah
Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk Islam mengambil
keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan Islam Madinah.
Di
saat itulah, sahabat-sahabat Rasulullah SAW diuji dengan rasa terhina
akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian tersebut berat sebelah.
Namun kesabaran mereka segera diganjari oleh Allah SWT apabila
perjanjian tersebut membuka peluang Rasulullah SAW menakluki kota Makkah
apabila perjanian tersebut dilanggar di mana Bani Khuzaah yang masih
belum memeluk Islam dan berlindung di bawah naungan Islam diserang oleh
kaum Musyrikin.
Alhamdulillah, ketika UMNO masih menjaja keris
tumpulnya merata-rata, perjuangan PAS sudah mula diterima di kalangan
non muslim. Ketika UMNO main kayu tiga dengan perjuangan bangsa Melayu,
PAS terus ke hadapan membawa misi dakwah dengan slogan PAS for All.
Non
Muslim di sana sini tidak lagi segan silu membawa bendera PAS dan
sebaliknya tidak pernah kita saksikan mereka membawa bendera keris tidak
bersarung milik UMNO.
Saya yakin, benih Islamphobia yang disemai
UMNO semakin mati tunasnya. Keputusan DAP ini insya-Allah satu rahmat
besar buat PAS. Ia sebenarnya rezeki buat perjuangan Islam.
Mungkin
Barisan Nasional merasakan langkah ini bakal membantutkan gerak langkah
Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia mengandungi rahmat yang sangat
besar.
Jika Perjanjian Hudaibiyyah membuka jalan kepada
pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah kerajaan Barisan
Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya dan pembinaan
Malaysia Baru.
Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti, perayaan
besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh negara
menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional.
Yakinlah keputusan ini
membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya
di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!
Salam hormat,
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 8 Jamadil Akhir 1434H bersamaan 19 April 2013M
0 Komen pengunjong :