SHAH ALAM,19 DIS : Menteri Kewangan perlu menjelaskan bagaimana
hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari Malaysia pada tahun
2010 yang meletakkan negara di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi
Asia, China, dalam pengaliran modal global.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia
(MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jika beliau tidak dapat
menjelaskan kedudukan isu dengan telus dan jujur maka menteri tersebut
wajar meletakkan jawatan.
“Ini adalah suatu kepincangan yang sangat besar untuk diketepikan tanpa pertanggungjawapan penuh dari Menteri Kewangan.
“Di peringkat antarabangsa aliran wang haram adalah suatu jenayah
serius yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Azmi dalam kenyataan
medianya.
Beliau menjelaskan, laporan dari badan badan pemantau – Global
Financial Integrity (GFI) dalam laporan terbarunya yang menjejaki
pengaliran modal menyatakan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia
itu pada tahun 2010 yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di
Malaysia – dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada
AS$64.38 bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.
“Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih
10 tahun – dari 2001-2010 – Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia,
selepas China dan Mexico.
“Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285
bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion, dan
Mexico, AS$476 bilion,” katanya.
Tegas Azmi, ekonomi negara mengalami kerugian pada tahap berbilion ringgit jika isu ini tidak di atasi dengan tegas.
Ia bukan sahaja akan mengakibatkan negara kehilangan pendapatan yang
sangat tinggi dari cukai malah integriti pengurusan kewangan negara
dilihat sangat lemah dan wang negara akan terjejas teruk bila aliran
keluar wang berlaku tanpa kawalan.
“Kini kita berhadapan dengan pengeluaran wang keluar dari Malaysia
secara haram yang menunjukkan tahap pengawasan sangat lemah dan begitu
mudah untuk bolos keluar,” ujar beliau.
Beliau berkata, Menteri Kewangan(Datuk Seri Najib Razak) harus
mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini yang melambangkan
kelemahan dan kepincangan yang amat ketara yang melibatkan masa depan
ekonomi negara .
“Jika Menteri berkenaan tidak boleh mengatasi masalah ini maka beliau
perlu melepaskan jawatan dan diserah kepada seorang yang lebih kompeten
dan berkelayakan untuk menguruskan kewangan negara,” katanya.
0 Komen pengunjong :