Berani, positif dan bermaruah


Yang berjasa ialah membangunkan negara adalah rakyat. Kerajaan hanya pengurus untuk memastikan negara dapat dibangunkan.
Kerana itu setiap undi kita bernilai untuk membentuk kerajaan yang berjiwa rakyat. Oleh itu amat sedih dan tidak bermaruah jika ada orang sanggup menjual undi dengan sekampit beras dan beberapa keping wang ringgit..
Kerajaan yang menang pilihan raya diamanah mengurus wang dan mentadbir negara. Tdiak lebih dari itu.
Yang dikatakan ketaatan rakyat pula hanya kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara yang berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Tidak timbul isu taat kepada UMNO-BN.

Apa istimewanya kedudukan Melayu?
Kedudukan istimewa Melayu yang tidak mengetepikan hak-hak kaum lain sudah tertera dalam Perlembagaan. Tidak boleh kurang atau lebih dari itu. Ia adalah kedudukan istimewa (special privileges) dan bukan hak (rights) yang telah dipersetujui bersama oleh tokoh-tokoh kemerdekaan kita dahulu.
Namun, apa yang telah berlaku sekarang ialah kedudukan istimewa Melayu telah menjadi hak istimewa kumpulan Melayu tertentu, sebagaimana yang dikatakan oleh ahli akademik Islam Dr Siddiq Fadzil yang terkenal dengan bukunya “Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Kedaulatan Rakyat”, dalam satu pertemuan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Siapa Melayu tertentu yang mempunyai hak istimewa itu? Paling dekat contohnya adalah kes hutang Tan Sri Tajudin Ramli melibatkan RM589.4 juta yang “dilangsaikan” oleh kerajaan UMNO-BN dengan menggunakan wang rakyat.
Kalau dihitung RM589.4 juta ini, ia boleh digunakan untuk membina 16,840 unit rumah kos rendah yang bernilai RM35,000 setiap unit!
Hakikatnya sekarang, para pemimpin UMNO mempergunakan isu kedudukan istimewa Melayu sebagai slogan untuk menakutkan orang Melayu. Wal hal kita semua hidup di bawah satu bendera, sama-sama bayar cukai, dan sama-sama bayar tol, dan sama-sama pun minum teh tarik dengan pasembor.

Tolak UMNO bererti menjadi bangsa yang bermaruah
Kita perlu menolak UMNO-BN bukan sekadar sebab kes Tajudin Ramli sahaja. Selama mana usia UMNO di bumi Malaysia ini, banyak pemimpin UMNO telah merekodkan butir panjang pengkhianatan mereka terhadap amanah rakyat, tanah air dan orang Melayu sendiri.
Apa ertinya negeri yang kaya sumber asli seperti Sabah, Terengganu dan Perak tetapi mencatatkan statistik kemiskinan yang tinggi di Malaysia? Apa ertinya ‘kerancakkan ekonomi negara’ sedangkan hutang kerajaan (baca: wang rakyat) semakin meningkat saban tahun? Apa ertinya sebuah negara pengeluar minyak sedangkan rakyat sendiri terbeban dengan kenaikan harga petrol dan cukai perkhidmatan yang semakin meningkat?
Maka, menolak UMNO bererti meletakkan semula Melayu ke landasan yang positif. Paling penting ialah menjadi rakyat Malaysia yang berani dan bermaruah kerana ia merupakan sebuah pembebasan dari budaya perhambaan minda yang kotor.
Ibarat kata Dr. Siddiq Fadzil, “Untuk kuatkan Melayu, untuk perkasakan Melayu, perlu ada nilai budaya positif dan agenda pemerkasaan budaya.”

Tukar kerajaan, negara akan lebih baik
Hakikatnya, tukarlah kepada kerajaan ‘brand’ apa pun, Perdana Menteri tetap ditentukan oleh rakyat melalui sistem demokrasi, parti yang memerintah ditentukan oleh majoriti rakyat yang memilihnya dan ketua negara tetap Yang di-Pertuan Agong yang bertanggungjawab menjaga kebajikan negara serta melindungi kedudukan Melayu dan Islam.
Umum mengetahui orang Melayu dan Islam adalah majoriti penduduk, malah pengundi di Malaysia. Maka itu, walau pun UMNO-BN sudah tidak lagi berkuasa, orang Melayu Islam bukan sahaja kekal kedudukan mereka, malah akan lebih baik lagi bersama kerajaan baru yang tidak mengamalkan pilih kasih atau hanya mementingkan “Melayu ternetu yang istimewa”.
UMNO-BN cuma parti semata-mata, pemimpin mereka boleh bersara atau memulakan kerjaya baru sebagai pembangkang, atau jika sanggup, sertai kerajaan baru. Tidak ada pun sebarang pun masalah atau hak rakyat, khususnya orang Melayu, akan hilang atau terhakis.
Contohnya, bila Indonesia bertukar sistem, parti  dan presiden – daripada Sukarno kepada Suharto kemudian BJ Habibie digantikan Gus Dur, dan selepas itu Megawati dan sekarang pula Susilo Bambang Yudhoyono, Indonesia semakin mengorak langkah ke arah negara yang lebih demokratik, terbuka, lebih bersih dan rasuah yang semakin berkurang. Malah kepedulian rakyat terhadap negara semakin tinggi.

Bukti-bukti kehidupan lebih baik bila UMNO-BN ditolak
Di Malaysia pula, sejak mengambil alih pentadbiran dari kelompok UMNO-BN, pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang diterajui DAP telah mencatatkan kemajuan, pembangunan dan usaha kebajikan yang hebat dalam masa empat tahun sahaja. Sedangkan berpuluh tahun lamanya Pulau Pinang mandom di bawah UMNO-BN.
Lupakah kita kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS yang mengutamakan kebajikan sosial apabila memulakan projek perumahan tiga bilik dan cuti bersalin 90 hari kepada kakitangan kerajaan? Siapa pula yang meniru Selangor dan Pulau Pinang apabila kerajaan negeri memberi banyak insentif kewangan tahunan kepada rakyat negeri melalui pelbagai program?
Apakah kita mahu nafikan usaha kepimpinan DAP-PR di Pulau Pinang yang mengangkat martabat agama Islam dengan membantu para huffaz, sekolah agama rakyat serta peruntukan tahunan yang berkali ganda kepada aktiviti Islam di negeri itu?
Dulu semasa UMNO-BN memerintah Selangor, pelbagai skandal kewangan berlaku. Sekarang bukan sahaja dapat dikurangkan secara drastik, malah rakyat negeri yang berpendapatan tendah mendapat bekalan air percuma serta pelbagai program kebajikan.
Malah di Pulau Pinang dan Selangor, amalan tender terbuka yang tidak memilih kroni semakin menjadi budaya dan diterima rakyat. Yang mendapat feadah termasuk kontraktor-kontraktor Melayu yang layak dan berkebolehan tanpa perlu menggunakan kabel politik lagi.
Ini contoh penambahbaikan yang membuktikan Melayu mampu bersaing dan tidak perlukan “perlindungan” UMNO buat selama-lamanya. Buktinya sangat banyak.
Adakah kita masih mahu duduk dalam lingkung dongeng ciptaan UMNO sendiri atau kita harus maju ke hadapan, positif dan merasai nikmat kehidupan dan bernegara?

–/ Roketkini.com
.

0 Komen pengunjong :