KUALA LUMPUR: Panel Siasatan Suhakam merumuskan
kecederaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada himpunan Bersih 2.0
Julai tahun lalu adalah disebabkan pelanggaran dengan kenderaan polis.
Ianya
berdasarkan keterangan beberapa saksi termasuk tiga orang doktor yang
merawat Mohamad yang dipanggil memberi keterangan kepada panel itu.
"Panel
berpendapat, kecederaan W6 (Mohamad Sabu) berpunca daripada pelanggaran
dengan kenderaan PDRM," laporan siasatan itu dipetik.
Laporan siasatan itu turut dibaca kepada media pada sidang akhbar di pejabat Suhakam di sini tengahari tadi.
Sidang
media itu dikendalikan Pengerusi Panel Prof Datuk Dr. Khaw Lake Tee
yang juga Timbalan Pengerusi Suhakam dan dua ahli panel lain iaitu Prof
Datuk Dr Mahnood Zuhdi Abd Majid dan Detta Anak Samen.
Dalam
penemuan mereka, Suhakam bersetuju dengan pandangan doktor-doktor
tersebut bahawa tiada kesan kotoran seperti pasir atau tanah pada
bahagian cedera.
Kesemua mereka juga berpendapat ianya mungkin akibat pelanggaran dengan permukaan keras.
Walau
bagaimanapun menurut panel tersebut, tiada sebarang bukti konklusif
bagaimana cara pelanggaran berlaku sama ada kenderaan polis melanggar
Mohamad atau Mohamad sendiri melanggar kereta polis.
Dalam
laporan itu panel turut mengesyorkan pihak polis agar mengutamakan hak
asasi dan keselamatan anggota mahupun individu yang hendak ditahan.
"Satu
garis panduan haruslah diwujudkan oleh PDRM mengenai cara-cara yang
boleh digunakan oleh anggota dalam melakukan tangkapan," kata panel itu.
Dalam
pelanggaran tersebut pada 9 Julai tahun lalu, Mat Sabu yang membonceng
motosikal cedera di lutut kanannya cedera dan terpaksa dibedah ekoran
ligamennya koyak.
.
0 Komen pengunjong :